BIAR MATI DIPANGKAL BANIR:SITI MARIAM IDRIS DALAM KENANGAN


BIAR MATI DIPANGKAL BANIR:SITI MARIAM IDRIS DALAM KENANGAN

 oleh Ahmad Nizam Hamid (http://lanailestari.blogspot.com/2010/11/biar-mati-dipangkal-banirsiti-mariam.html)

"Janganlah balik lagi,kita berador* di rumah Wan dulu",begitulah ulas kata sayu yang keluar dari mulut wanita kecil molek itu.Saya hanya mampu tersenyum dalam sayu juga.


"Belum puas lepas rindu dah nak balik",dengan mata sayu dan dalam nada memujuk wanita itu menujukan kata-katanya kepada saya.
Mariam Binti Idris,15 Disember 1927-5 November 2010


Ya,itulah antara kata-kata dari kenangan saya bersama Allahyarham Siti Mariam Idris yang lebih mesra memanggil dirinya dengan panggilan Wan (gelaran Wan disini bermaksud Nenek mengikut slanga orang Temerloh).Saya berjumpa dengan wanita istimewa ini ketika mengziarahi Kampung Perdamaian Chulaborn Pattana 12 di Sukhirin,Thailand di hujung tahun lalu.

Sebenarnya sudah lama saya mendengar nama Wan Mariam ini dari adiknya yang saya panggil Pak De Hashim dan Hj Suhaimi Said.Pernah beberapa kali Pak De Hashim menelefon saya mengajak saya ke rumahnya untuk berjumpa dengan 'orang dalam' tetapi entah kenapa jemputan tersebut tidak pernah dapat saya penuhi.

Foto ihsan Mat Amin.Keluarga Allahyarhammah dari Temerloh mengziarahi beliau Aidil Fitri tahun ini.Dalam gambar,Pak Ali dan Pak De Hashim,kedua-duanya adik Allahyarhammah dan Halim anak saudara Allahyarhammah. Inilah pertemuan terakhir Allahyarhammah dengan keluarganya dari Temerloh.

Dihari pertama saya sampai ke Kampung Perdamaian tersebut setelah selesai mengziarahi pusara para pejuang termasuk pusara Kamarazaman Yakub,seorang anak Temerloh yang kental berjuang,saya terus meminta Pak Hasan Hj Salleh,juga anak Temerloh untuk menunjukkan saya rumah 'orang Temerloh' yang ada di kampung.Dengan dipandu oleh Pak Hasan dan Pak Awang saya dibawa kerumah Wan Mariam,yang terletak di belakang rumah Pak Abdullah CD.

Sebenarnya berjalan kaki keliling kampung dengan udara lembah yang dingin begitu menyenangkan dan mendamaikan.Segala kekusutan di fikiran seolah-olah hilang terbang dibawa angin rimba.Begitulah saya menikmati 'evening walk' keliling kampung.

Rumah Wan Mariam sederhana besar,rumah 2 tingkat nampak begitu selesa.Dihadapan rumah ada longgokan pasir dan beg simen yang menunjukkan rumah tersebut didalam renovasi.Setelah memberi salam,muncul seorang lelaki kurus semampai berbangsa Cina dari ruang dalam rumah.Kami bersalaman dan saya diperkenalkan dengan Pak Mamat,suami Wan Mariam,juga bekas perajurit Rejimen Ke-10.Pak Mamat berasal dari Triang Pahang dan telah memeluk Islam.

Wan Mariam dihadapan rumahnya di Kampung Perdamaian Chulaborn Pattana Sukhirin


Pak Mamat memohon maaf kerana beliau tidak berapa sihat,selsema katanya.Kemudian Wan Mariam pula keluar,setelah diberitahu saya dari Temerloh,wajah beliau terus berubah membayangkan rasa gembira yang tidak terkira.Sambil bersalam saya terus memberitahu bahawa saya sangat rapat dengan Hj Suhaimi Said dan keluarganya yang kami anggap sebagai keluarga kami juga.Mendengar itu,saya langsung di dakap oleh Wan Mariam.
Pak Mamat,suami tercinta Allahyarhammah.Juga anak Pahang yang lahir di Triang


Sambil menghirup teh panas dan biskut,kami berbual-saya sampaikan salam adiknya Pak De Hashim-kami bercerita seputar Temerloh yang menurut Wan Mariam sudah maju dan banyak berubah.Saya bercanda dan bergurau dan terasa kemesraan yang begitu kejap seolah-olah keluarga rapat layaknya.

Wan Mariam ialah salah seorang dari putera dan puteri Sungai Pahang yang menyerahkan seluruh jiwa raganya kepada perjuangan bersenjata melawan Inggeris demi cita-cita mengejar kemerdekaan tanahair.Siapa sangka wanita kecil molek ini punya semangat waja dan kental sanggup meninggalkan keselesaan untuk berumahtangga didalam hutan.Lebih 40 tahun bergulat dengan pelbagai pancoraba di dalam rimba belantara demi kepercayaan dan keyakinannya terhadap perjuangan yang disertainya sejak dari muda.

Wan Mariam menerima pencerahan bangun melawan penjajah Inggeris dari kegiatannya didalam Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang ketika itu aktif dan berpusat di Temerloh.Kesedaran berjuang menuntut kemerdekaan yang ditanam hasil menjadi aktivis AWAS kemudiannya mendorong beliau untuk memanggul senjata setelah Darurat di istiharkan.Tidak rela beliau melihat tanahair tercinta berterusan diperlakukan oleh penjajah dan tidak tega beliau melihat nasib anakbangsa terjajah terus di hina.
Wajah-wajah Srikandi.Allahyarhammah bergambar bersama Ibu Siti Norkiah balu Allahyarham Abu Samah Mohd Kassim.

Atas semangat untuk membela Ibu Pertiwi maka Wan Mariam memilih untuk menyertai Rejimen Ke-10 Tentera Rakyat Malaya (TRM).Dengan tekad yang membara,bersama 40 orang putera-puteri Temerloh pada tanggal 15.12.1949 (tarikh ini menurut catatan saya ketika temubual dengan Wan Mariam pada 14.12.2009;manakala didalam blog Kini&Silam [ http://matamin02.blogspot.com/] dicatatkan tarikh Mei 1949) beliau secara rasmi meninggalkan rumah dan kampung halamannya menyertai perjuangan bersenjata melawan penjajah.

Beliau bersama suaminya,Udin,bertekad untuk terjun didalam perjuangan bersenjata melawan Inggeris tanpa menoleh ke belakang lagi.Wan Mariam terpaksa membuat pengorbanan yang begitu besar,meninggalkan anaknya yang ketika itu berusia 9 bulan didalam jagaan bondanya.Dari peristiwa ini dapat dinilai betapa kuat semangatnya untuk berjuang sehingga sanggup bukan sahaja meninggalkan keselesaan hidup dikampung malah sanggup berkorban meninggalkan anak didalam ribaan demi menyahut panggilan Ibu Pertiwi.

Dari tarikh tersebut Wan Mariam kekal berjuang bersama Rejimen Ke-10.Sesudah Perjanjian Damai tahun 1989,Wan Mariam memilih untuk terus tinggal di Thailand bersama-sama teman seperjuanganya sehinggalah beliau menghembus nafas terakhir pada di pagi Jumaat 5 November 2010.

Sewaktu pertemuan saya dengan Wan Mariam saya bertanya apa yang mendorong beliau untuk terus bersemangat berjuang dan tidak menyerah diri misalnya.

"Wan pegang pesan Mak.Mak pesan sebab saya sudah pilih jalan ini untuk berjuang,maka jangan sekali-kali menyerah diri.Jangan tampal kulit babi di muka Mak,begitu pesan Mak kepada Wan sebelum meninggalkan rumah,"jawaban yang begitu tegas dari wanita berhati waja ini bagi menjawab pertanyaan saya.

Wan Mariam bercerita memang beliau pernah mengalami waktu-waktu genting apabila pasukannya terlibat didalam pertempuran.Menurut beliau sudah tidak terhitung berapa kali mengikuti pertempuran.Beliau memanjatkan rasa syukur kerana sepanjang pengalamannya bergerila Allah masih mengasihinya,terhindar dari marabahaya kerana "mungkin Tuhan nak temukan Wan dengan anak hari ini",ujar beliau sambil tersenyum.

Dan ketika saya meminta diri untuk kembali semula ke Temerloh (jika mengikut rasa hati saya ingin tinggal lebih lama tetapi oleh kerana mengikut jadual rombongan maka hanya dapat berada di Kampung tersebut selama sehari semalam sahaja) keesokkan harinya,Wan Mariam meminta dengan sungguh-sungguh agar saya dapat tinggal lebih lama dan bermalam di rumahnya.Saya didakap erat dengan linangan airmata mengalir dan tanpa disedari saya turut mencucurkan airmata.Walaupun hanya seketika berjumpa tetapi kemesraan yang terjalin itu seoal-olah saya dihargai sebagai sebahagian daripada keluarganya juga.Dengan janji akan kembali mengziarah dan kali ini akan berador* di rumahnya saya meminta diri untuk menaikki van kembali semula ke Malaysia.

Ya,janji itu nampaknya tidak tertunaikan.Wan Mariam yang dikenali juga dengan nama Atom,Tabah,Sitah dan Tun telah terlebih dahulu kembali menemui Penciptanya.Wanita tabah dan cekal ini telah menyumbang kepada sejarah perjuangan bangsa dan tanahairnya dengan caranya tersendiri dan dengan kepercayaannya terhadap apa yang diperjuangkannya.Lebih 40 tahun Srikandi berhati waja ini menyerahkan seluruh jiwa raganya didalam perjuangan.Mariam Binti Idris tentunya sebahagian dari mata rantai sejarah dan produk zaman yang menuntut beliau membuat pilihan bagi mencapai cita-cita melihat Tanahairnya bebas dari belitan rantai kejam penjajahan.Dan beliau dengan kesedaran mendalam memilih berjuang bersama Rejimen Ke-10 TRM diatas keyakinan dan tuntutan sejarah dizamannya itu.Siapakah yang boleh menafikan sumbangan dan jasabudinya kepada tanah bertuah ini?Biar tiada tugu yang dibina meraikan budi dan jasa itu,namun saya yakin sumbangsih dan pengorbanan beliau tidak sia-sia.

Dan saya teringat kepada kata-kata penuh semangat yang tatkala saya mendengar dari mulut Wan Mariam,bulu-bulu roma saya meremang dan darah merah segera berlari mendidih disegenap urat nadi saya.

"Biar mati dipangkal banir,namun menyerah tidak sekali-kali".

Semoga Allah SWT mengampun dosa Wan Mariam dan menerima segala amalbaiknya serta ditempatkan rohnya dikalangan orang-orang soleh,amin.Al-Fatihah.

*Berador-tidur dirumah bersama-sama.Amalan berador ini merupakan bahagian sosio budaya didalam masyarakat Melayu Pahang khususnya di Temerloh.Ia lebih untuk menunjuk atau membentuk kemesraan diantara tuan rumah dan tetamu.

Categories

Pengikut