SURIANI: PERSIAPAN AWAL PKM HADAPI PENINDASAN PENJAJAH

Seiring dengan itu, intelijen British juga mencari saya di Pejabat PKM dan di rumah abang saya di Singapura, tapi kerana telah berwaspada, saya dapat bersembunyi. Tak lama selepas itu, saya berundur ke Johor...



Kira-kira dalam bulan Mei 1948, penjajah British memperketat perisikannya terhadap kader-kader PKM. Memandangkan situasi itu, kader-kader terbuka telah menyelenggarakan mesyuarat di Singapura. Ketika itu parti ada gerakan terbuka dan gerakan rahsia. Saya sebagai Ketua Setiausaha Pejabat Parti adalah kader yang terbuka. Kira-kira lebih kurang 20 orang lebih kader menyertai perbincangan. Dalam perbincangan itu, pihak pimpinan memberitahu supaya membuat persiapan rapi kerana penjajah British mungkin akan mengadakan tekanan ke atas parti dan kekuatan demokratik dan progresif.

Seiring dengan itu, intelijen British juga mencari saya di Pejabat PKM dan di rumah abang saya di Singapura, tapi kerana telah berwaspada, saya dapat bersembunyi. Tak lama selepas itu, saya berundur ke Johor bergabung dengan gerup Jawatankuasa Negeri Johor di bawah pimpinan Ah Tien. Saya menjadi salah satu anggota Jawatankuasa Negeri di Johor Selatan.

Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat. Di bawah keadaan ini, perjuangan bersenjata adalah satu-satunya pilihan untuk mencapai kemerdekaan. Anggota-anggota organisasi PKM yang telah bersembunyi di desa-desa atau belukar segera membentuk pasukan bersenjata. Gerup kami yang sudah ada persiapan rapi juga masuk ke hutan mendirikan pasukan gerila. Beberapa bulan selepas itu, iaitu dalam tahun 1949, pihak atasan telah memindahkan sebahagian pasukan dari Johor selatan ke utara. Saya ikut serta dalam perjalanan ini memandu 20 orang lebih kawan wanita di pasukan tersebut. Dalam perjalanan, kami menghadapi pengejaran dan penghadangan tentera British. Sebelum itu, ketika berada di Johor, saya pernah beberapa kali diserang hendap tetapi selamat. Kemudiannya, setelah kami tiba di Mentakab, Pahang, kapal terbang British mengebom unit kerja kami seminggu penuh dari pagi sampai petang, tapi kami berundur ke tepi kampung menjalankan kerja menyusun massa.
---
dipetik dari Memoir Suriani Abdullah - Setengah Abad Dalam Perjuangan

Categories

Pengikut