CERPEN: SAINGAN YANG MELUMPUHKAN

SAINGAN YANG MELUMPUHKAN.....sebuah cerpen Dr. Nasir Hashim
‘Assallammu’alaikum, silalah masuk. ’
Nada salam bersama jemputan dihembuskan dalam satu nafas.
‘ Wa’laikumsalam …. tak apalah. Saya jenguk-jenguk aje. ’
Serba salah dibuatnya. Aku melepaskan senyuman plastik. Aku bukan nak masuk. Bukan nak jenguk-jenguk. Aku nak berteduh untuk seketika aje. Tidak lebih dari itu. Lepas itu nak belah.
‘Tak mengapa. Silalah ... mana tahu ada yang suka. ’
Sebenarnya aku baru saja melintasi jalan raya. Singgah ke kedai ini kerana ingin mengelak serangan matahari. Panas terik tanpa kesudahan. Tanpa belas kasihan. Mata ku berair cuba menangkis debu-debu dan silauan matahari. Tidak payahlah bercerita tentang titisan peluh, meletup-letup membasahi bumi dan bagaimana aku berdoa panjang agar ditimpa hujan lebat. Debu-debu pula berputar ligat kerana disambar kereta-kereta yang tak sabar menguji kepantasan kudrat horse-power. Semoga mereka selamat sampai dan tidaklah menjadi tetamu-tetamu istimewa di dalam Wad Kecemasan Hospital nanti. Amin.
Aku pun masuk ke dalam. Bukan kerana jemputannya tetapi kerana inginkan deruan angin air-con yang pasti mendinginkan tubuh ku yang setengah masak ini. Tempat ini memanglah cantik dan molek. Hiasannya juga sungguh menarik, membawa gaya ala moden. Tidak nampak pembantu-pembantu wanita dan lelaki.
Mata ku terdorong kepada satu ukiran besar yang tersergam indah di pertengahan pentas pameran ini. Seekor naga yang garang dengan kedua-dua matanya yang terkeluar, memerhati setiap gerak-langkah ku. Sungguh menggerunkan. Badannya gempal dan kental, membelit-belit sisa tunggul mati. Bebola yang bercahaya terdampar pada lidah mulutnya yang merah. Kulitnya pula berkilat-kilat dan bersisik emas. Sekilas pandang, macam naga raksasa ini sedang menghembuskan api dan asap panas. Aku dalam keadaan terpukau. Terus menuju ke lembaga yang makin membesar itu. Tuan punya kedai setia mengekori jejak langkah ku.
Beliau pasti tahu bahawa anak muda ini tidak mampu membeli aneka perabot dan ukiran yang terpamer indah itu. Mungkin anak muda ini akan membeli barang-barang kecil sebagai hadiah untuk sanak saudara. Lagi pun pelanggan lain tidak ada, maka apa salahnya sekira dia melayan anak muda ini. Mungkin si pekedai sudah bosan. Amat bosan. Mungkin juga dia sudah ngantuk gila. Entah apa yang dia buat semalaman, dia saja yang tahu. Wallahualam.
‘ Ukiran ini cukup luar biasa. ’
Aku melepaskan pujian sambil membelek-belek ukiran kayu yang padat dan licin itu. Jangan tanya aku tentang jenis kaya ini. Aku tahu pasti mahal. Mempunyai keharuman yang menyegarkan. Mudah-mudahan bukan pasal ditabur minyak wangi, setanggi ataupun kemenyan wangi. Aku sudah pun menempah dosa !! Kerana mensyaki perkara yang bukan-bukan.
‘ Datangnya dari Bali. Lambang keberanian, kekuatan dan keselamatan. ’
Dia menawarkan penjelasan. Bangga dengan milikannya itu. Aku tak tanya pun.
‘ Jauhnya dia mengembara sampai ke sini. ’
Aku berseloka bodoh. Mudah-mudahan tidak dianggap sinis. Aku sudah tersengih lebar. Cuba menenteramkan kegelisahan. Takut kena beli sesuatu di dalam kedai ini. Aku adalah seorang mahasiswa yang sentiasa tidak ada duit. Aku sendiri tak faham kenapa aku hadir di dalam kedai ini. Tujuan asal, matlamat suci ku adalah untuk berteduh di anjung kedai. Itu aje.
Namun, aku tetap terpukau dengan ukiran sang naga ini. Aku cuba membayangkan sejarahnya. Ada serumpun akar kayu yang tak berharga dan entah berapa tahun terbongkang begitu saja di pinggiran hutan belantara. Maka diangkut, dibelai dan diukir halus hingga menjadi sesuatu yang sungguh bernilai dan teramat indah. Pengukirnya mestilah seorang yang terbilang dan seorang genius berjiwa seni. Mungkin aku saja yang daif kerana tak pernah melihat ukiran akar kayu sebesar ini. Segagah ini. Setiap cabang dan ranting yang menjalar dari akar kayu ini telah dihidupkan dengan ukiran yang tertib seolah-olah menghembuskan nyawa baru pada ilham si pengukir ini. Aku kagum dengan kemampuan manusia.
‘ Kenapa kena order dari Bali, orang kita tak boleh buat ke ?’
Soalan kebudak-budakan yang aku lemparkan kepadanya. Soalan yang tak perlu dijawab kerana sudah pasti ada jawapannya.
‘ Ukiran kayu dari Bali sudah terkenal di merata-rata dunia. Di sana budak-budak kecil sudah pandai mengukir dahan-dahan kayu dengan ilham tersendiri. Mungkin baka orang Bali sudah begitu. ’
Aku tidak berapa setuju tentang wujudnya baka atau DNA yang khusus untuk mengukir kayu. Yang aku tahu, mereka ini diajar hingga mahir. Aku juga boleh pandai sekira diajar sejak dari kecil lagi.
Aku tetap berterima kasih kerana tuan kedai sanggup melayan aku. Mungkin dia sudah boring. Mungkin peribadinya begitu .... cekap melayan pelanggan. Mungkin juga dia fikir aku ni anak jutawan menyamar sebagai orang biasa. Ha .. ha .. ha !! Mungkin juga dia merasakan kalau berbual dengan aku, otaknya akan segar kembali. Mungkin dia mengantuk kerana lapar. Entahlah.
Pekerja-pekerjanya sibuk di belakang. Berdentang-dentum. Tengah repair, varnish atau bertukang agaknya.
‘ Kalau dah terkenal kenapa tidak dieksport saja ke luar negara seperti Amerika atau Kanada. Tentu dapat untung yang lebih besar lagi .’
‘ Cadangan itu memang bagus, tapi ada masalah sikit .’
‘ Masalah kos transport atau tak ada agen ke ?’
Aku sengaja nak memberitahu bahawasanya aku pun tahu tentang perniagaan. Maklum sajalah, aku tengah mengikuti Kursus Perniagaan.
‘ Tidak tahan ‘
Pendek saja jawapannya. Apa pulak yang tak tahan. Aku cerita tentang pengangkutan dan agen perniagaan, dia pulak kata tak tahan. Tidak tahan saingan ke !!! Dia sedar .... aku sudah keliru.
‘ Kayu ni tak tahan. ’
‘ Mustahil. Ini kan kayu bagus. Kayu A-1. Tak boleh dikunyah anai-anai !!’
Aku menjawab secara spontan. Seolah-olah nak mengajar dia pulak. Kadang-kadang mulut celopar ku ini memakan diri sendiri. Nampaknya aku sudah melanggar batas bualan. Dia relaks aje. Sudah biasa dengan soalan bodoh seperti ini.
‘ Saya setuju, tapi bukan pasal itu. ’
Aku bingung lagi. Dia sambung lagi.
‘ Iklim di Amerika dan Kanada memang lain. Lebih kering dan tak selembap macam Bali dan negara-negara di sini. Bila kering sangat, kayu mudah merekah dan pecah. Cacatlah ukiran dan hilanglah seninya. Siapa nak beli benda yang cacat ?’
Aku terima logiknya. Aku rasa dia ni orang berpelajaran jugak. Aku nak kata, kayu yang merekah dan usang juga ada seninya. Aku berjaya katup mulut celopar ku itu. Tak sangka tahap kekeringan udara boleh mengganggu ketahanan ukiran kayu. Aku ingat kerosakan pada kayu adalah kerana serangan kulat atau serangga. Lagi pun siapa sanggup membeli barang rosak dengan harga yang beribu-ribu ringgit itu. Walau bagaimana pun aku yakin dia lebih tahu. Tak kanlah dia nak jual benda yang tak boleh laku. Pasti dia sudah membuat perhitungan.
Sejak kehadiran ku dalam kedai ini, aku tak nampak orang berpusu-pusu masuk untuk membeli perabotnya. Mungkin juga sangkaan ku tidaklah tepat kerana tempat ini bukanlah pasar borong atau pasar raya. Aku ingin bertanya.
‘ Bagaimana dengan perniagaan di sini. Untungnya .. lumayan ke ?’
Maklum sajalah aku sedang mengikuti program ijazah Ekonomi dan Perdagangan. Aku diajar bahawa keuntungan adalah penggerak utama di dalam dunia perniagaan. Aku saja nak uji ilmu ku. Mana tau ada sesuatu yang dapat aku belajar dari tuan kedai perabot ini. Mudah-mudahan dia tak tersinggung dengan soalan-soalan ku itu.
‘ Bolehlah tahan. Tidaklah kencang. Sepatutnya kencang. Kedudukan kedai ini memang sesuai dan berdekatan dengan kawasan orang-orang yang kaya dan profesional. Mereka ini memang suka barang-barang seni yang berkualiti. ’
‘ Saya pun rasa tempat ini ok. Lagi pun susunan dan persembahan alat-alat dalam kedai sungguh menarik sekali. ’
Dia mengangguk-angguk kepalanya tanda setuju.
‘ Malangnya ramai tak datang. Kerana ada dua kedai perabot di seberang jalan sana (lalu memuncungkan mulutnya), menawarkan promosi jualan murah. Orang tertarik dengan barang-barang murah. Nampaknya Abang kena bertahan kalau tidak kedai Abang kena bungkus. Kena tutup. ’
‘ Habis kenapa Abang tak buat begitu. ... buat promosi. ’
Aku bersimpati dengannya, tentang keluhannya, dan berharap dia melakukan sesuatu supaya dapat mempertahankan kedudukannya itu.
‘ Abang dah buat promosi dua bulan yang lalu. Kedai baru, kenalah ada promosi untuk mengenalkan barang-barang kedai. Tapi dia orang betul-betul jual murah. ’
‘ Kalau dia orang jual murah lama sangat tentulah rugi. Dia orang boleh bertahan ke ?’
Dalam perkiraan ku, jual murah yang terlalu lama akan menjejaskan keuntungan.
‘ Tujuan mereka ini bukanlah nak jual stok-stok lama dengan harga yang murah. Tetapi nak matikan kedai perabot Abang ni. Nak patahkan saingan. Abang percaya mereka sudah bersubahat menentang Abang. ’
Aku terkejut besar. Kerana persaingan sudah sampai ke tahap mematikan perniagaan orang lain. Aku bersimpati dengan dilema Abang ini. Mungkin juga amalan lingkup-melingkupkan sungguh lumrah di dalam dunia perniagaan.
‘ Kalau Abang tak lawan balik, tentu Abang bermasalah nanti. Kena tutup kedai. Habislah. ’
Aku mengeluh. Dia tersenyum saja. Terlalu relaks. Pada ku, dia sedang menghadapi cabaran tsunami. Aku pulak yang menggelabah. Bukan dia. Macam kedai ini kedai aku pulak. Dia ada strategi ke ?
‘ Satu cara adalah Abang boleh jual barang perabot dengan harga yang lebih murah lagi. Tapi ini merugikan. Kerana Abang pun nak untung. ’
‘ Habis, kalau macam itu matilah Abang. ’
Aku ketandusan ilham. Walaupun baru bersua muka, aku tetap bersimpati dengan Abang ini. Ilmu ku cetek dan pengalaman ku tak membanggakan. Kelentong boleh. Tapi takut salah tempat ... tak kena tempat. Maklumlah tengah berbincang tentang perkara yang serius.
‘ Tidaklah sampai mati (dia tersenyum, menghargai keprihatinan ku itu). Pada dasarnya Abang setuju. Sekiranya inilah satu-satunya kedai Abang, maka sudah pasti orang-orang itu akan menang. Maka itu Abang bertahan aje. ’
Wooeei !! Hati ku berkata-kata. Ini bukan strategi. Bertahan bukan strategi. Menunggu maut namanya. Abang ini terlalu yakin dengan kemampuannya. Adakah dia berserah kepada takdir ?
‘ Abang nak bertahan macam mana. Dengan ape ? ’
‘ Wang abang masih cukup untuk bertahan. Cukup untuk bayar gaji pekerja-pekerja, api dan air. Abang tahu saingan ini akan berlaku. ’
Wah, itu sudah bagus. Aku kira dia mesti ada wang simpanan yang banyak. Tapi kalaulah promosi musuh berpanjangan, maka habislah wang simpanannya. Maka habislah dia. Barulah dia tau. Menghabiskan wang simpanan bukanlah satu strategi.
‘ Yang paling penting kita mencabar mereka. Berapa lama mereka boleh bertahan, menjual barangan dengan harga yang murah semacam itu. ’
Wah, sekarang dia bertindak untuk mencabar pulak. Selalunya orang yang kuat-kuat saja yang berani mencabar musuhnya.
‘ Tapi, nanti Abang juga senasib dengan mereka. Dia mencabar Abang dan Abang pula mencabar mereka. Maka kemungkinan besar kedua-dua lingkup. ‘
‘ Tapi Abang ada business lain. Boleh tampung-menampung kedai perabot Abang ni. ’
Wah, aku tak tahu dia ni ada business lain. Bermakna dia boleh hidup tanpa kedai perabotnya ini. Ini bukan pasal periuk nasi lagi. Ini adalah saingan merebut medan perniagaan !!!
Business apa tu ?’
Aku bertanya. Nak tahu sama ada dia ada kedai perabot lain.
Business kedai pakaian, kedai perabot, pasar raya sederhana dan kilang spare-parts kereta.’
‘ Wah !! Abang ni memang kayalah.’
Aku terkejut dan kagum. Dia tersenyum lebar. Selesa menyaksikan anak muda yang gelojoh seperti aku ini membuat rumusan yang bijak. Dia mempunyai rahsia yang aku tidak tahu dan tidak semestinya aku tahu. Siapalah aku ini ? Dia pandai mengatur langkah.
‘ Memang cukup makan. ’
Dia menyambung lagi. Tersenyum lebar dan mengenyit matanya. Sifat keangkuhan dan keyakinan diri makin terserlah. Aku sudah meluat. Sudah keliru. Selama ini aku bersimpati padanya kerana dia diasak oleh musuh-musuhnya. Tapi dia yang mencabar orang. Pelek sekali.
Bukan cukup makan. Lebih dari itu. Mungkin dia seorang jutawan yang sengaja bersikap low-profile. Dalam senyap-senyap, dia pantas menerkam seperti jengking kala yang menyengat sebelum musuhnya sedar atau dapat bertindak balas.
Barulah aku faham. Abang ini bukanlah MANGSA tetapi PEMANGSA rupanya. Tujuannya adalah untuk memancing kedai-kedai perabot atau perniagaan lain supaya bersaing dengannya. Mereka yang terlalu beremosi dan gelojoh akan terperangkap dan bertindak secara melulu hingga terpaksa tutup kedai dan bungkus tikar bantal. Kedai Abang ini tetap selamat. Mungkin juga dia akan ambil alih kedai-kedai ini, membuka business baru, bersaing dan menyengat jiran-jirannya pulak. Mungkin kedai-kedai ini cuba berkomplot. Namun tidak semestinya mereka berjaya menangkis serangan Abang ini. Teringat pula pada Pasar Raya Mydin yang mematahkan saingannya dan berkembang pesat di Masjid India dan di tempat-tempat lain. Maka putar belit, umpan mengumpan, tikam-menikam dan hapus menghapus menjadi budaya sejati bagi mereka yang menagihkan kejayaan di dalam Dunia Kapitalisme ini.
Walaupun pertemuan kami adalah sedetik cuma, aku tetap terkilan kerana terang-terang aku telah dihanyutkan dalam ombak penipuan. Aku ingat dia dimangsakan, maka aku curahkan segala simpati kepadanya. Aku bersalah kerana meneliti sebelah pihak aje. Sekarang aku sudah berpaling tadah. Tidak lagi bersimpati pada Abang ini. Malahan aku membencinya. Kini aku bersimpati pula pada kedai-kedai perabot kecil tadi. Tapi apa yang aku boleh buat. Aku tidak mempunyai taring yang boleh menggigit pemangsa-pemangsa kecuali mengikuti alunan drama kehidupan yang membongkar episod penindasan untuk tatapan dan keseronokan manusia yang jahil seperti aku ini.
Bila aku fikirkan semula pada apa yang berlaku, taktik yang sama telah pun digunakan oleh kedua-dua kedai kecil tadi, iaitu cuba menjadi pemangsa untuk menjatuhkan kedai Abang ini. Aku sudah serba salah. Ceritanya memanglah lumrah, di mana ikan besar memakan ikan sederhana. Ikan sederhana memakan ikan kecil dan ikan kecil memakan sisa-sisa. Sekarang aku mengalami satu dilema iaitu hendak curahkan simpati kepada siapa ? Kuliah-kuliah lebih memuja kejayaan dan keuntungan. Tidak pula menyebut tentang persaingan yang sentiasa berat sebelah, yang memihak kepada mereka yang berkuasa, berpengaruh dan berharta. Bagaimana pula dengan nasib mereka yang malang. Si mangsa dilanyak habis-habisan. Nampaknya aku kena mempelajari ilmu ekonomi-politik (political economy) supaya dapat mengupas cerita sepenuhnya.
Kini aku cuba bayangkan lagi dalam kepala otak ku, tentang liku-liku yang harus dilalui oleh seorang yang ingin memulakan perniagaan dengan modal yang cukup sederhana. Sering kali, saingan yang menanti akan menjerat dan melumpuhkan perniagaannya serta menghancurkan harapan keluarganya. Dia tidak mempunyai wang tambahan (back-up) seperti orang kaya tadi. Akhirnya dia akan tersingkir dan terpaksa bekerja untuk orang lain. Ada yang tidak putus asa. Gigih mengumpul wang untuk memulakan perniagaan lama atau baru. Bukan semua mampu berbuat demikian dan bukan semua berjaya.
Amalan monopoli seperti ini dapat disaksikan ketika Pasar Raya Supermarket atau Hypermarket bertindak melumpuhkan kedai-kedai runcit sederhana dan kecil di jalanan, mengakibatkan lebih ramai lagi yang hilang pekerjaan lantas terbenam dalam kancah kemiskinan. Maka yang kaya menjadi kaya raya dan yang miskin papa kedana. Begitulah ragam hidup yang berkiblat kepada penindasan dan mempertuhankan kepada keuntungan. 

Ditulis Oleh Dr. Nasir Hashim - ADUN Kota Damansara dan juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia

--

http://parti-sosialis.org

Categories

Pengikut