ABDULLAH SUDIN PIMPINAN MARKAS BESAR REJIMEN KE-10

Penandatanganan persetujuan damai 3 pihak antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya telah membawa perdamaian baru di kawasan sempadan dan Malaysia. Ketika bekas perajurit sedang giat membangun kampung dan mengusahakan ekonomi, kami telah dikejutkan dengan pemergian Abdullah Sudin, anggota Markas Besar Rejimen Ke-10 pada 7 Mei 1995.

Abdullah Sudin pernah menyertai KMM, API, PKMM, PKM dan MDU. Pada tahun 1940-an, beliau diterima menjadi anggota PKM dan Liga Anti-British di Singapura. Di samping itu beliau juga bekerja dengan akhbar Utusan Melayu dan menyusun tokoh patriot demokrat dalam Utusan Melayu.

Pada tahun 1952, polis British cuba menangkapnya. Akan tetapi beliau dapat meluluskan diri dan berpindah ke Indonesia atas pengaturan organisasi PKM.

Di Indonesia, beliau melakukan kerja parti seperti membangun ekonomi parti bawah tanah, menghubungi Parti Komunis Indonesia, kerja front persatuan di kalangan tokoh-tokoh atasan Kerajaan Indonesia dan lain-lain. Di samping itu, beliau menyusun pemuda pemudi dan pelajar Malaya di Indonesia dengan menubuhkan Persatuan Pemuda Malaya di Indonesia (P2MI).

Pada awal tahun 1965, Abdullah Sudin dilantik menjadi anggota pejabat Liga Pembebasan Nasional Malaya (LPNM) untuk Indonesia yang merupakan satu badan separuh diplomatik yang diakui oleh Kerajaan Indonesia.

Abdullah Sudin dan anggota pejabat LPNM yang lain ditangkap oleh Suharto selepas Peristiwa Gerakan 30 September (G30S) 1965. Pada bulan Disember 1966, beliau diusir dari Indonesia. Sejak itu, Abdullah Sudin dan kawan-kawannya yang lain telah meninggalkan Indonesia berhijrah ke China.

Pada tahun 1967, Abdullah Sudin menjadi anggota pejabat LPNM untuk China di Beijing. Pada 15 November 1969 Suara Revolusi Malaya (SRM) didirikan. Abdullah Sudin dilantik menjadi anggota Dewan Pengarang dan bertanggungjawab memimpin bahagian bahasa Melayu.

Setelah radio Suara Revolusi Malaya menamatkan perkhidmatannya, beliau pulang ke kawasan basis sempadan dan bergabung dengan Rejimen Ke-10 pada bulan Oktober 1983. Apabila tiba di Rejimen Ke - 1 0, beliau dilantik sebagai anggota Markas Besar Rejimen Ke-10 dan anggota Dewan Rendah Pertama Utara Malaya. Sejak itulah beliau menyumbangkan seluruh jiwa raganya dalam perjuangan bersenjata sehinggalah tercapainya persetujuan damai pada tahun 1989.

Selepas perdamaian, beliau dan pimpinan- pimpinan yang lain menumpukan seluruh tenaga dan usaha membangun kampung dan pembangunan ekonomi untuk bekas perajurit sehinggalah pulang ke rahmatullah.

Abdullah Sudin dilahirkan pada 10 Oktober 1925 di Singapura. Ayahnya berasal dari Pattani, Selatan Thailand yang berpindah dan menetap di Singapura. Beliau berkelulusan sekolah Inggeris di Raffles Institution.

Categories

Pengikut