RASHID MAIDIN: MENGOBARKAN SEMANGAT MERDEKA

Masa itu merdeka hanya lahir dari mulut golongan kiri sahaja. Masih ada lagi golongan United Malay National Organisation (UMNO), mereka bukan saja tidak mahu kemerdekaan, tapi menentang gerakan kami pula. Masa itu UMNO dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Mereka berkata kami berjuang, tetapi ‘buat sebatang jarum pun tak pandai, nak merdeka konon.’



Mengobarkan Semangat Merdeka

Kerja menerbitkan akhbar juga ada pahit manisnya. Dari segi kewangan menerbitkan akhbar, kami terpaksa berjimat cermat. Itu pun mujur jugalah pengarang kami terdiri dari orang-orang progresif yang sama-sama bercita-cita dan bersemangat kemerdekaan. Mereka tidak pentingkan sangat soal ganjaran, tapi bekerja dengan penuh kesedaran untuk perjuangan.

Untuk menjimatkan wang, kami beli kertas besar, jadi terpaksalah potong sendiri. Setelah akhbar dicetak, saya terpaksa pula mengedarnya ke kedai-kedai buku untuk dijual, kemudian memungut hasil penjualannya pula. Dalam perjalanan menguruskan masalah tersebut, kadang kala terpaksa mencari kesatuan-kesatuan buruh untuk bermalam, jadi tak perlu menyewa bilik hotel. Pada masa itu pelbagai kesatuan buruh mengenali kami. Apabila kami tiba, mereka memberi sambutan yang mesra dan juga menyediakan tempat penginapan.

Walaupun kami harus bersusah payah demikian rupa, ternyata akhbar kami telah memainkan peranan penting sebagai lidah rasmi PKMM yang membakar semangat kemerdekaan ke dada pembacanya. Itulah yang menyebabkan kami merasa bangga dan bahagia, dapat memberikan sedikit khidmat bakti kepada usaha kemerdekaan tanah air kita.

Setelah Mokhtaruddin Lasso menghilangkan diri, Abdullah C.D. terlibat langsung berurusan dengan PKMM. Tidak lama kemudian, beliau dipilih pula ke dalam badan pimpinan PKMM. Jadi kerja kami semakin sibuk. Walaupun saya tidak menjadi anggota PKMM secara rasmi, tetapi tentang pelbagai masalah, saya turut diajak berbincang. Kami sama-sama mencurahkan tenaga untuk mengembangkan PKMM, khasnya dalam bentuk propaganda, untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu wadah yang progresif, dan membantu koordinasi antara PKM dengan PKMM. Kerana itu saya rapat dengan pucuk pimpinan PKMM seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan lain-lain.

Satu lagi aktiviti yang kami lakukan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua ialah membantu perjuangan rakyat Indonesia melawan Belanda. Penjajah British dan Belanda bekerjasama menindas perjuangan rakyat Indonesia. Di Malaya juga terdapat tentera Belanda yang digunakan untuk menekan perjuangan rakyat Indonesia. Di kalangan tentera Belanda itu ada pegawainya terdiri daripada orang Indonesia. Kami jalankan propaganda, bangkitkan semangat nasionalisme mereka. Ada di antaranya yang sedar, lalu berubah haluan tak mahu menindas perjuangan rakyatnya lagi. Kami tubuhkan organisasi membantu revolusi Indonesia yang dipengaruhi oleh Hadi Nor. Dengan cara ini kami dapat memenangi simpati rakyat Malaya untuk menyokong perjuangan demokratik rakyat Indonesia.

Sepanjang masa aman iaitu selepas Perang Dunia Kedua, masa, tenaga dan fikiran saya ditumpukan kepada aktiviti perjuangan iaitu membangkitkan kesedaran rakyat untuk kemerdekaan. Masa itu merdeka hanya lahir dari mulut golongan kiri sahaja. Masih ada lagi golongan United Malay National Organisation (UMNO), mereka bukan saja tidak mahu kemerdekaan, tapi menentang gerakan kami pula. Masa itu UMNO dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Mereka berkata kami berjuang, tetapi ‘buat sebatang jarum pun tak pandai, nak merdeka konon.’

Keluarga saya menyokong perjuangan yang saya lakukan. Isteri saya Hamidah memberikan peluang sepenuhnya kepada perjuangan. Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dalam hidup, dia tak pernah merungut, sebaliknya menjalankan tugasnya sebagai suri rumah tangga dengan baik. Begitu juga dengan ahli keluarga saya yang lain.


---
dipetik dari Memoir Rashid Maidin – Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian


1 ulasan:

salam aidilfitri. maaf zahir batin. yup...sg lembing is a sleepy forgotten town, sangat sesuai untuk penggambaram filem seram. infact, some scenes from the first ' pontianak harum sundal malam' movie was shot here.

Reply

Categories

Pengikut