RASHID MAIDIN: BERJUANG UNTUK KEMERDEKAAN

Dari pengamatan seharian dan analisis politik yang sistematik, PKM telah nampak jelas bahawa akan sampai ketikanya nanti penjajah British akan melancarkan penindasan besar-besaran, ganas lagi berdarah. Maka, pihak kepimpinan pusat PKM telah mengeluarkan arahan kepada kader-kadernya di dalam pelbagai organisasi untuk berundur ke desa.


Berjuang Untuk Kemerdekaan

Usaha gigih kami dari PKM, PKMM dan pelbagai pertubuhan seperti kesatuan-kesatuan buruh dan persatuan-persatuan anak negeri, serta juga oleh tokoh progresif berbilang kaum menyebarkan cita-cita ‘Merdeka’, telah disambut hangat oleh semua lapisan rakyat seluruh tanah air. Pekikan ‘Merdeka!’ kedengaran berkumandang di sana sini. Seruan Merdeka di kalangan orang Melayu yang paling lantang ketika itu ialah dari PKMM dan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), kemudian Pembela Tanah air (PETA), (pengganti API yang diharamkan oleh penjajah British) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Malaya (BTM), Hizbul Muslimin semuanya berkongsi aspirasi dalam menjunjung perjuangan kemerdekaan tanah air.

Untuk mengalihkan perhatian orang ramai dan mengabui mata rakyat, British telah menelurkan satu rancangan apa yang disebutnya sebagai Malayan Union, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Bukan Bersekutu, yang mana sebelumnya sultan dan raja-raja diiktiraf sebagai ketua agama Islam dan adat istidat Melayu, serta juga sedikit sebanyak penghormatan sebagai ketua negeri dalam pentadbiran British sebelum perang. Kini, semuanya dimansuhkan di bawah skim Malayan Union. Dengan hinanya raja-raja dan sultan-sultan pula dipaksa menandatangani perjanjian tersebut. Orang Melayu terasa terancam oleh rancangan Malayan Union penjajah British itu, dan mereka bangun menentangnya. UMNO ditubuhkan oleh Dato’ Onn dalam tahun 1946 dalam suasana ini. Itulah sebabnya UMNO ketika itu hanya melaungkan semboyan ‘Hidup Melayu’, manakala kami dari PKM dan PKMM menyeru ‘merdeka’, dan dicap pula sebagai golongan kiri dan ekstremis. Kaum bukan Melayu, terutamanya bangsa Tionghua menentang skim Malayan Union ini kerana di dalam skim itu Pulau Singapura dipisahkan dari Malaya.

Kerana tuntutan kemerdekaan dari rakyat diketepikan oleh penjajah, maka kekuatan politik kiri Melayu bergabung membentuk PUTERA, manakala politik bukan Melayu bernaung di bawah All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) (Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya). Kekuatan rakyat menjadi raksasa apabila kekuatan kiri Melayu dan bukan Melayu ini bergabung menjadi PUTERA-AMCJA. Mereka pernah sama-sama melancarkan hartal selama seminggu di seluruh negara. Dalam tempoh itu buruh mogok, pekedai menutup pintu dan pentadbiran penjajahan British tergugat sekali. Seluruh tanah air sepi bagaikan telah dilanda garuda sifatnya. Semua orang mengikut arahan parti. Ini memudahkan kerja-kerja kita. Setiap orang yang kita temui, mereka hormati kita dan dengan hormat kita khabarkan tentang hartal ini dan tuntutan perjuangan rakyat demi kemerdekaan. Semua orang, puak dan golongan menyokongnya – pekerja buruh, buruh tani, penarik beca, pekedai dan sebagainya.

Saya dan Abdullah C.D. terus sama-sama berusaha mengembangkan politik aliran kiri Melayu di dalam PKMM, di samping itu kami bertugas di dalam Jabatan Kerja Melayu PKM yang menumpukan kepada soal-soal perpaduan dan menyusun pelbagai lapisan masyarakat Melayu di bawah satu cita-cita kemerdekaan. Sampai pada masanya, penjajah British menunjukkan taring dan menekan aktiviti kami dan gerakan kiri yang lain. Contohnya, mereka menghalang kami mengadakan rapat umum, perarakan hari perayaan serta juga mengharamkan organisasi API yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam.

Kami pula menubuhkan PETA untuk menggantikan API. Semangat dan cita-cita untuk merdeka tidak dapat dipadamkan dengan mudah. Orang ramai yang telah mempunyai kesedaran politik dan tersusun di dalam organisasi akar umbi tidak takut datang ke majlis-majlis rapat umum, walaupun acap kali terpaksa merempuh sekatan polis dan ugutan dari jentera kuasa penjajah. Pastilah penjajah British tidak senang duduk dan terasa tergugat apabila melihat rakyat bangun dengan semangat yang berkobar-kobar menuntut kemerdekaan. British tambah kuat menekan dan mengugut. Petanda penjajah akan menggunakan kaedah kekerasan untuk menindas kebangkitan rakyat kelihatan semakin ketara.

Dari pengamatan seharian dan analisis politik yang sistematik, PKM telah nampak jelas bahawa akan sampai ketikanya nanti penjajah British akan melancarkan penindasan besar-besaran, ganas lagi berdarah. Maka, pihak kepimpinan pusat PKM telah mengeluarkan arahan kepada kader-kadernya di dalam pelbagai organisasi untuk berundur ke desa. Pada masa yang sama, iaitu kira-kira pertengahan Jun 1948, kader-kader Melayu pula diarahkan untuk menghadiri Sekolah Parti Kem Se-Malaya di kawasan hutan Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang.

Sekolah tersebut dipimpin oleh seorang wakil dari Jawatankuasa Pusat PKM yang memimpin Jabatan Kerja Melayu, nama samarannya ialah Haji Hashim, atau nama asalnya Chen Nan. Kader Melayu dari semua negeri di Malaya hadir, turut serta juga saya dan Abdullah C.D.. Sekolah ini merupakan pengasuhan untuk melatih dan menyediakan kader Melayu PKM dalam usaha untuk menubuhkan pasukan gerila di seluruh ceruk rantau tanah air dalam rencana cita-cita menghalau penjajahan British dari bumi Malaya. Kami diberikan pendidikan politik dan latihan asas ketenteraan dalam tempoh 2 minggu sahaja. Selepas itu saya diberikan tugas untuk menyusun pasukan angkatan bersenjata Melayu di kawasan Sungai Manik, Perak.

Sesuai dengan arahan parti, maka selepas tamat latihan tersebut saya pun berpindah ke Labu Kubung, Sungai Manik. Di sana ada sebidang tanah yang sesuai untuk diusahakan bagi menanggung kehidupan keluarga saya, sambil menjalankan kerja parti, dan menunggu utusannya untuk arahan dan langkah yang selanjutnya.

Begitulah juga dengan sebilangan besar pemuda dan pemudi komunis yang telah mendapat latihan ketenteraan daripada parti. Balik kampung dan pulang ke rumah masing-masing, memerhatikan situasi dan menunggu apa yang akan terjadi. Dari segi ini risikan politik kita ketika itu agak konservatif dan ketinggalan zaman. Jadi beribu-ribu ahli PKM yang terperangkap dan dapat ditahan oleh penjajah British. Nasib baik induk parti tidak begitu terjejas, dan dengan pesat dan cepat pula mereka dapat menggemblengkan kembali kekuatan bersenjata parti dengan menubuhkan Tentera Pembebasan Nasional Malaya.

---
dipetik dari Memoir Rashid Maidin – Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian

Categories

Pengikut