RANCANGAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DAN PERJUANGAN MENENTANGNYA

Untuk memperalatkan lebih lanjut Onn bin Jaafar dan sebangsanya, imperialis British telah mengumumkan dibatalkannya rancangan Malayan Union dan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengulangkaji masalah sistem perlembagaan pada keseluruhannya pada bulan Julai tahun 1946. Pengerusi Jawatankuasa itu ialah Macdonald dan 11 orang ahlinya terdiri dari 5 orang pegawai British dan 6 orang wakil Sultan berbagai negeri dan UMNO. Setelah bergerak di belakang tabir selama 3 bulan, mereka menelurkan konsep persetujuan tentang Persekutuan Tanah Melayu. Konsep tersebut menetapkan 9 buah negeri dari Melaka di Semenanjung serta Pulau Pinang bercantum menjadi Persekutuan Tanah Melayu; nama Gabenor imperialis British ditukar menjadi Pesuruhjaya Tinggi, kedudukan sultan sebelum Perang Dunia Kedua dipertahan, hak istimewa orang Melayu ditegaskan dengan maksud yang tersembunyi; pembatasan permohonan kerakyatan dari orang bukan Melayu diperketat dan lain sebagainya. Konsep itu dengan sepintas lalu menggambarkan apa yang disebut “hari depan perkembangan pemerintahan sendiri”. Jelas sekali, inilah rancangan busuk imperialis British yang hendak memulihkan kekuasaan penjajahannya dengan bersekongkol dengan bangsawan-bangsawan feudal dan golongan pertengahan Melayu.

Imperialis British tidak mempedulikan hasrat rakyat untuk kemerdekaan dan memekakkan telinga terhadap tuntutan rakyat untuk demokrasi, maka bergejolaklah kemarahan hebat di kalangan rakyat semua bangsa dari berbagai lapisan. Mereka terus berjuang demi mencapai kemerdekaan. PKM berdiri di garis terdepan dalam perjuangan itu. Untuk menentang rancangan busuk itu, berbagai parti politik yang patriotik dan pertubuhan-pertubuhan massa telah mendirikan PUTERA-AMCJA dan telah menggubal Perlembagaan Rakyat. Massa berbagai kalangan beramai-ramai mengadakan rapat umum, perarakan dan kegiatan-kegiatan bantahan lainnya. Pada bulan November 1947 dan Februari tahun 1948, mogok umum dan hartal yang tak ada tolok bandingnya telah dilancarkan di serata tanah air termasuk Singapura.

Menghadapi perjuangan massa rakyat yang semakin menggelora, imperialis British dengan gila-gilaan menyerang kekuatan patriotic demokratik yang berjuang untuk kemerdekaan terutamalam kekuatan revolusioner yang berteraskan parti komunis disamping dengan giat mencanangkan penindasan tentera secara menyeluruh. Pada 1 Februari tahun 1948 persetujuan Persekutuan Tanah Melayu dikuatkuasakan secara rasmi dan Kerajaan Persekutuan telah naik takhta. Empat bulan kemudian, imperialis British melaksanakan Undang-undang Darurat dan mengisytiharkan perang terhadap rakyat. PKM serta parti-parti politik yang patriotik dan oraganisasi-organisasi massa yang progresif semuanya diharamkan. Ada yang terpaksa bergerak di bawah tanah, ada pula terpaksa membubarkan diri. Malaya telah menjadi sebuah negara polis. Di kala itu, semua pintu perjuangan secara demokrasi ditutup. Hanya ada 2 pilihan, meringkuk dalam penjara atau meneruskan perjuangan secara kekerasan. Di bawah pimpinan parti komunis, rakyat negara kita melawan serangan imperialis British dengan kekuatan bersenjata. Dengan demikian meletuslah Perang Pembebasan Nasional Anti-British.
---
sumber maklumat: Muzium Sejarah Kampung Perdamaian Sukhirin

posting terkait
BAGAIMANA PENJAJAH BRITISH MEMUPUK KAUM BERKUASA UMNO
DI SEBALIK MALAYAN UNION

Categories

Pengikut