PERANG DI MALAYA: 1 GERILAWAN LAWAN 65 ASKAR BRITISH


Tidak lama setelah Henry Gurney mati, Parti Konservatif telah berkuasa semula di Inggeris. Kekalahan Inggeris di Malaya sangat mencemaskan benggolan-benggolan Parti Konservatif. Pada bulan November tahun 1951, Setiausaha Tanah jajahan Oliver Lyttleton diutus untuk bergerak di negeri kita, kemudian Gerald Templer telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi merangkap Pengarah Gerakan yang baru pada bulan Februari tahun 1952. Ketika itu, imperialis British dalam petunjuknya kepada Temper berkata”Malaya harus dijadikan sebuah negara yang mewujudkan pemerintahan sendiri sepenuhnya pada masa yang dianggap sesuai. Kerajaan Inggeris yakin benar negara ini akan tetap tinggal dalam Komanwel dan pemberontakan komunis sedang menghambat kemajuan politik negara ini”. Oleh kerana itu, katanya, “tugas utama Gerald Templer ialah memulihkan undang-undang dan ketertiban Malaya agar dapat menghapuskan halangan di jalan kemajuan”.

Dalam ucapannya setelah ia memegang jawatan itu, Gerald Templer berkata bahawa dia tidak pernah menganjurkan supaya pilihan majlis tempatan ditangguhkan kerana keadaan darurat sebaliknya ia harus dipergiat. Maka itu dari tahun 1952 hingga 1954, di satu pihak Gerald Templer menganiayai massa rakyat kawasan desa dengan tindakan fasis yang lebih biadab dan melancarkan serangan besar-besaran yang berkepanjangan terhadap kekuatan bersenjata rakyat, dan di lain pihak ia melakukan pemilihan majlis tempatan dengan maksud hendak membasmi kekuatan bersenjata rakyat dan memulihkan apa yang disebut “undang-undang dan ketertiban”.

Meskipun dia telah berupaya dengan sekuat tenaga tapi dia tidak dapat menghindarkan kekalahan. The Times pernah melaporkan pada 2 Oktober tahun 1953 bahawa Gerald Templer telah mengerahkan 3 divisi tentera darat di Malaya. Ini tidak termasuk tentera laut, tentera udara, polis dan pasukan kawalan kampung. Surat khabar itu berkata bahawa di sesetengah tempat, setiap dua orang penduduk dijaga oleh seorang anggota tentera dan setiap gerilawan di hutan perlu dijaga oleh 65 orang anggota tentera. Jumlah anggota tentera yang menjaga seorang gerilawan menjadi lebih besar lagi jika ditambah dengan tentera laut dan udara yang membantu tentera darat.

Biarpun mereka telah mengerahkan begitu banyak tentera tapi Gerald Templer sendiri telah mengakui bahawa dia tidak dapat mengubah keadaan perang. Bila berwawancara dengan wartawan New York Herald Tribune pada 13 April 1953. Gerald Templer yang naik pitam berkata “saya akan menembak mati si anak haram yang mengatakan keadaan darurat telah berakhir”. Pada bulan Jun tahun itu, Gerald Templer memberitahu wartawan The Times bahawa dia mungkin dapat memperbaiki situasi pada masa itu sebanyak 15% atau 20% lagi, akan tetapi selama komunis masih wujud sebagai satu kekuatan tersusun, tak ada system keselamatan yang dapat menjamin keamanan dalam negeri. Jadi perang itu akan berlangsung terus.

Ketika Gerald Templer angkat kaki balik ke Inggeris pada tahun 1954, situasinya hampir sama dengan tahun 1953. Pegawai tinggi imperialis British juga terpaksa mengakui bahawa tahun 1954 berada dalam keadaan kesetandingan dan jumlah komunis sama ramainya dengan waktu Templer datang dua tahun yang lalu.

Di bidang ekonomi, imperialis British dan Persekutuan Tanah Melayu juga terjerumus dalam keadaan sulit. Belanja perang Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu tetap amat besar, purata 30% daripada jumlah perbelanjaan setiap tahun dan yang tertinggi pernah mencapai 40%.Sungguhpun imperialis British telah memikul semua perbelanjaan untuk tentera British dan askar Gurkha, katanya hanya belanja mengurus satu battalion saja ketika itu ialah sejuta pound setahun, dan sungguhpun imperialis British memikul separuh dari perbelanjaan untuk askar Melayu dan polis tempatan.

Dalam tempoh 6 tahun daripada 10 tahun (1948 hingga 1957), Belanjawan Persekutuan besar pasak dari tiang. Ada orang British menaksirkan bahawa belanja perang imperialis British untuk Malaya adalah kira-kira 100 juta pound sterling setiap tahun. Pegawai imperialis British mengakui bahawa tanpa bantuan imperialis British, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pasti bangkrap. Gerald Templer juga berkata dalam satu ucapanya pada tahun 1953 bahawa tanpa pinjaman dari Singapura dan Brunei dan tanpa wang yang dihadiahkan Kerajaan British pada tahun itu, maka pada akhir tahun 1954 Persekutuan Tanah Melayu sesungguhnya telah membelanjakan ringgit simpanannya yang terakhir yang dikumpulkannya dalam masa lambong yang singat di bidang getah dan timah.

Imperialis British menjadi babak belur dalam perang berjangka lama, pembelanya Victor Purcell dengan terang-terangan mengakui bahawa polis dan kawat berduri tidak dapat menghambat komunisme. Tunku Abdul Rahmah juga menyokongnya dengan berkata ”baik senjata British mahupun taktik diplomatnya, semuanya tidak dapat mengalahkan ataupun menundukkan kaum komunis”. Jadi imperialis British telah memperhebat penipuan bagi mewujudkan pemerintahan sendiri melalui apa yang disebut “satu orang satu undi”.

Untuk melaksanakan penipuan itu, mereka tak dapat tidak melonggarkan sekatan-sekatan terhadap permohonan kewarganegaraan. Bersamaan dengan itu, imperialis British secara rahsia telah mengarahkan golongan Tunku Abdul Rahman dan golongan Onn bin Jaafar supaya memperhebat kegiatan masing-masing bagi memikat hati rakyat.

---
sumber maklumat: Muzium Sejarah Kampung Perdamaian Sukhirin

posting terkait


Categories

Pengikut