KAWAN NORDIN, PUTERA TERPUJI ANAK TANI MISKIN

Kawan Nordin dilahirkan di sebuah pondok usang di Kampung Tanjung Batu, Temerloh, Pahang. Ayahnya seorang petani miskin yang rajin dan jujur. Sejak kecil Kawan Nordin hidup dalam kesusahan.

Pada 20 Jun 1948, kaum penjajah British mengharamkan semua pertubuhan yang berjuang untuk kemerdekaan serta melakukan penangkapan di seluruh negara. Ramai aktivis politik masuk hutan memanggul senjata menentang penjajah British. Kezaliman kaum penjajah British dan anjing buruannya telah membangkitkan kesedaran nasional di dada Kawan Nordin. Dengan keinginan kuat untuk menghalau kaum penjajah British dari bumi tanah air Kawan Nordin telah menyertai pasukan asas Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya pada akhir tahun 1948. Apabila Rejimen Ke-10 dirasmikan pada 21 Mei 1949, beliau menjadi salah seorang anggota pengasas pasukan tersebut.

Beliau berani bertempur, tekun bekerja, memperhatikan politik, giat belajar,kemajuannya cepat meningkat. Pada tahun 1949 beliau menjadi anggota PKM dan dalam tahun yang sama beliau diangkat menjadi Ketua Seksyen. Pada tahun 1950 beliau diangkat menjadi Naib Ketua Platun.
Dalam perjuangan bersenjata yang sengit dan kusut masai, Kawan Nordin menyertai banyak pertempuran dan menegakkan banyak jasa dengan keberaniannya dalam pertempuran.

Pada waktu subuh suatu hari di tahun 1948, perkhemahan pasukan Tentera Pembebasan Nasional yang ditempatkan di Ulu Cheka, Pahang telah diserang musuh dari belakang. Pada saat yang genting itu, Kawan Nordin dengan berani dan tangkas menyerbu ke depan. Beliau menduduki tempat yang menguntungkan lalu seorang diri menggasak musuh di garis terdepan, sehingga mereka tidak berani mengangkat kepala. Dengan ini tersedialah luang untuk kawan-kawan lain menceburkan diri dalam pertempuran.

Berkat adanya kekuatan tembakan dari kawan-kawan, akhirnya musuh yang menyerang secara curi-curi itu dapat diporak perandakan.

Pada suatu hari dalam paruh kedua tahun 1949, suatu pasukan Tentera Pembebasan Nasional sedang berehat di sebuah kebun getah. Tiba-tiba sepasukan askar British muncul di pinggir hutan di belakang kawan-kawan dan melepaskan tembakan ke pasukan. Kawan Nordin segera mengangkat brengunnya melepaskan tembakan yang dahsyat membalas tembakan musuh. Ini telah menarik kekuatan tembakan utama musuh ke arahnya sehingga pasukan sempat menyusun regu penggempur membelok ke sayap musuh lalu menyergapnya. Dengan ini kita dapat menyelesaikan pertempuran dengan cepat.

Pada penghujung tahun 1949, regu breengun Kawan Nordin mengembangkan semangat revolusioner yang tak gentar, bertempur sengit melawan beberapa buah kereta perisai musuh di Batu 40 Jalan Jerantut. Badan pimpinan telah menganugerahkan hadiah istimewa kepada kawan-kawan regu breengun itu bagi memuji semangat tempur Kawan Nordin dan lain-lain yang gagah berani dalam pertempuran.

Suatu hari, pasukan Kawan Nordin berkhemah di hutan dekat Gong, tiba-tiba diserang musuh dari dua jurusan depan dan sayap. Keadaan sangat genting, seperti telur di hujung tanduk. Kawan Nordin dengan tabah dan tangkas mengangkat breengun memberondong musuh, dan mengucarkacirkan mereka. Kawan-kawan segera mengambil peluang ini menyusun kekuatan tembakan balas yang membawa maut ke atas musuh di depan dan sayap. Komplotan sergapan mencuri-curi musuh yang keji itu telah dihancurkan.

Suatu hari pada tahun 1949, Kawan Nordin seorang diri membawa senapang patah berlaras dua pergi ke kampung untuk menunaikan tugas. Dalam perjalanan balik, tirai malam telah berlabuh. Sekonyong-konyong beliau terserempak dengan sepasukan polis penjajah. Melihat Kawan Nordin seorang diri saja, polis-polis itu berkhayal hendak mengepung dan menangkapnya. Tahu-tahu Kawan Nordin telah melepaskan tembakan ke arah musuh di kiri dan kanannya, lalu terjun ke sungai dan berundur mengikut tebing sungai yang bengkang bengkok, dengan bijak mengelakkan diri dari ancaman tembakan musuh. Dalam pertempuran tersebut, musuh yang ramai itu bukan saja tidak dapat menjejaskan Kawan Nordin walau sehelai bulu romapun, malah beberapa orang musuh telah dicederakan.

Pada suatu pagi tahun 1951, Kawan Nordin bersama dua kawan keluar ke kampung untuk memunggah barang-barang. 2 orang kawan balik terlebih dahulu manakala Kawan Nordin menyusul di belakang. Secara tidak diduga-duga, sepasukan musuh muncul tidak jauh darinya. Kawan Nordin dengan tangkas mengangkat tomygun memberondong musuh sehingga mereka menjadi kelam kabut. Lalu Kawan Nordin melencong dan melepaskan diri dari askar-askar musuh itu.

Pada pertengahan tahun 1951, Kawan Nordin memandu seksyen pasukan untuk menunaikan tugas khas. Apabila tiba di tempat tujuan, kawan-kawan mendapati semua penduduk kampung disekitar telah dihalau musuh ke dalam kampung berkurung. Bahan makanan yang dibawa kawan-kawan sudah habis. Setelah mengkaji masak-masak, Kawan Nordin menyamar diri sebagai askar musuh, membawa sebiji bom tangan melintasi kampung-kampung yang telah menjadi padang jarak padang tekukur, menuju ke Durian Tawar, sebuah pecan kecil berdekatan. Beliau datang ke sebuah kedai membeli barang-barang makanan. Bila ditanya kenapa membeli begitu banyak barang, beliau dengan tenang saja menjawab ada kenduri di rumah. Sebentar kemudian, secara kebetulan sepasukan askar musuh muncul di kedai berdekatan, Kawan Nordin menghadapinya dengan tenang. Akhirnya Kawan Nordin berjaya membawa balik sebilangan bahan makanan untuk kawan-kawan.

Kaum revolusioner yang sejati tidak gentar menghadapi mara bahaya, mereka akan terus bertempur sehingga denyutan nadi yang terakhir. Kawan Nordin adalah seorang revolusioner sedemikian rupa.

Suatu hari tahun 1952, seorang ejen penjajah yang menyamar diri sebagai penyokong revolusi dengan niat jahat telah mempersilakan Kawan Nordin menghisap rokok. Kawan Nordin yang tidak mengesyaki apa-apa lalu menerima rokok itu. Beberapa kali menyedut rokok itu, Kawan Nordin tak sedarkan diri. Mengambil kesempatan itu, talibarut penjajah tersebut telah memukul kepala Kawan Nordin sampai pengsan. Setelah sedar, Kawan Nordin mendapati dirinya sudah ditahan di balai polis penjajah di Bandar Pekan.

Mula-mula kaum penjajah cuba melemahkan semangat Kawan Nordin, tetapi gagal, kemudian memujuknya dengan segala ikhtiar, tapi tetap sia-sia. Akhirnya kaum penjajah telah menampakkan taringnya dengan melakukan penyiksaan kejam ke atas Kawan Nordin. Mereka membelasah kepala Kawan Nordin dengan batang besi berbalut kain, mencabut kuku-kuku jari tangannya dengan sepit dan menyelar tubuhnya dengan yang dibakar merah membara.
Kawan Nordin telah menahan segala kepedihan dengan ketabahan yang luar biasa. Kawan Nordin meremehkan musuh sambil berkata “ Pujukan dan siksaan kejam kamu hanya sia-sia belaka. Kamu adalah anjing penjajah yang pengecut. Kamu hanya dapat menjahanamkan tubuh badanku, tapi tekad revolusionerku tidak akan hancur.”

Pendirian Kawan Nordin yang pantang tunduk, kepahlawanan revolusioner yang tak terpatahkan dan imej besarnya yang rela berputih tulang dari berputih mata bukan sahaja mengharukan askar dan polis di situ, tapi juga sangat mengkagumkan massa revolusioner. Ramai massa datang berpusu-pusu ke balai polis meminta bertemu dengan Kawan Nordin dan bersedia memberikannya hadiah.

Menjelang dihukum gantung, Kawan Nordin dengan keberanian yang tinggi mengecam musuh dengan berkata: “Sejak hari pertama masuk revolusi, aku sudah bersiap mengorbankan segala-galanya demi revolusi”.

Kawan Nordin telah gugur dengan mulia di tiang gantung penjajah demi usaha besar kemerdekaan tanah air.

Abadilah Pahlawan Nordin!

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh para pahlawan yang berjuang untuk kemerdekaan pertiwi.

1 ulasan:

Inilah semangat juang yang tinggi..dan setinggi-tinggi penghormatan buat aruah Nordin serta mereka yang telah berkorban demi tanahair ini.Al-fatihah untuk mereka yg telah pergi dahulu...

Reply

Categories

Pengikut