FELDA


Oleh: Dr. Nasir Hashim





HASRAT PENEROKA LADANG TIDAK KESAMPAIAN


‘Li (Rosli) bangun nak …. Bangunlah.’

Entah berapa kali rayuan Ayah berdendang di telinga ku. Aku mencelikkan mata. Jam di tangan mengisyaratkan 4:30 pagi. Menggosok mata lagi. Selalunya Emaklah yang mengejut aku pada pagi-pagi buta seperti ini. Bukan Ayah.

‘Tolong Ayah toreh getah nak. Ayah tak berapa sihat. Takut tak sempat dapat kuota kerja.’

Setahu aku, semenjak aku melangkah masuk Maktab hinggalah sudah bekerja, Ayah tidak lagi menyuruh aku menoreh getah ataupun memungut sekerap getah. Ayahlah yang selalu mengingatkan Emak supaya jangan kejutkan aku dari mimpi. Dah lah aku balik sekali sekala. Maka biarlah aku tidur sepuas-puas hati. Begitulah kehendak Ayah ku.

Tapi …. Kali ini Ayah perlukan tenaga ku. Kalaulah aku dapat membantu Ayah .…. apa salahnya. Dapatlah aku mengimbau kembali zaman muda ku di Kampong Bombai, Melaka. Dulu, bukan aku tidak pernah menolong Ayah menoreh getah, membekukan getah, memerahkan air getah dengan mesin dan menyalaikan kepingan-kepingan getah di penjuru-penjuru dapur. Kepingan getah yang kuning keemasan dapat dijual dengan harga yang tinggi sedikit. Tapi di sini, keadaan sudah berubah. Pejabat FELDA ini tidak perlukan kepingan getah tetapi susu getah dan sekerap getah sahaja.

Mungkin juga ada sesuatu yang Ayah ingin ceritakan pada ku. Baguslah. Aku sabar menanti.

Subuh tetap dingin dan kegelapan pula tidak ingin melepaskan jajahannya. Loceng Pejabat sudah pun berbunyi. Macam loceng bomba. Loceng kecemasan. Bingit telinga dibuatnya. Yang lain tidak kisah pun. Bukan pekak. Mungkin sudah biasa, sudah adjust. Semua mengheret diri dan berhimpun depan Pejabat. Lampu spotlight Pejabat menerpa muka. Menunggu ‘roll call’. Rosli mengekori Ayahnya. Dia tidak kenal peneroka-peneroka yang lain. Apa lagi dengan pakaian gelap, kepala berlilitan pelita dan lampu picit serta dikaburi dengan asap-asap rokok yang berlumba-lumba menjilat langit. Ternampak juga ibu-ibu dalam himpunan ini. Mungkin anak-anak sudah besar dan dapatlah membantu suami masing-masing. Kain towel berwarna warni melilit leher mereka. Semua membawa bekalan sarapan.

Ada menegur Rosli. Mungkin teguran bersopan ini dilontarkan kepada sesiapa sahaja yang berselisih dengan mereka. Entahlah. Mungkin juga mereka menegur Ayahnya. Nama-nama di panggil. Ada yang menyahut dengan berbagai cara. Terbatuk, berdehem, berlagu, dan mengangkat tangan. Yang menyahut sekuat hati, menerima sorakan hebat, tepukan gemuruh, berwiselan dan gelak ketawa. Menjadi penglipur lara. Agar kehidupan ini tidaklah boring sangat. Rosli melepaskan senyum lebar. Menyaksikan telatah orang kampung cuba menghiburkan diri. Kepulan asap rokok dari berbagai ‘brand’, berlaga-laga, mencerobohi sesama sendiri dan berdansar menghiasi kedinginan pagi hari. Kerani sibuk mencatatkan sesuatu dalam failnya. Tidak peduli asalkan ada yang menyahut. Mengantuk sangat agaknya. Selalunya, dia ni kerek sedikit. Maklumlah Pegawai !!.

Lampu kereta Manager merempuhi kegelapan. Deruman Volvonya sudah cukup untuk menggeruni penoreh-penoreh getah. Berhenti ngam-ngam di belakang mereka. Rasa semacam hendak sondol dari belakang. Dia memang tidak pernah datang awal. Apa lagi pada waktu subuh buta seperti ini. Sentiasa mabuk semalaman dan selalu sampai Pejabat pada lewat tengah hari. Ketibaannya ini pasti membawa berita buruk. Berita ngeri. Ramai tertanya-tanya, apakah gerangan Manager datang ke mari. Kena rasuk puaka atau hantu jembalang agaknya. Dia ni sanggup mengorbankan masa tidurnya semata-mata untuk menghadiri perhimpunan pagi buta ini. Sungguh luar biasa.

Manager berhadapan dengan kami. Memandang kiri dan kanan. Cuba bertentangan mata. Tidak berjaya. Pancaran lampu spotlight menggelapkan sebahagian mukanya. Menggerunkan lagi pada sesiapa yang memandang. Semua tunduk tanda hormat. Ataupun memang tidak mahu tengguk mukanya. Budaya takut dan sifat acuh-tak-acuh bercampur aduk, mencengkam jiwa penghuni-penghuni ladang FELDA ini. Di sini, taraf Manager di ibaratkan Raja, Penguasa, Pemerintah atau Diktator yang harus digeruni. Dia boleh buat apa sahaja yang dia suka. ‘Tepuk dada tanya selera’ sahaja. Badan bantuan polis keselamatan ladang dan Polis Bandar setia mengikuti perintahnya. Maklum sahajalah dapat habuan yang lumayan !!!

Manager berpakaian serba putih. Berbaju putih, berseluar pendek putih dan berstokin putih. Seluar dalamnya pun putih .. agaknya !!! . Stokin ditarik sampai ke paras lutut. Ada riben merah gelap di tepi stokin. Dia tidak sedar, baju di belakang sudah terjurai. Hendak cepat agaknya. Rambut tidak bersikat kemas. Muka masam macam tikus cencorot. Ingin membaham mangsa-mangsanya. Kalaulah disuluh, sudah pasti mukanya merah padam. Tetapi siapa pula berani menyuluh mukanya itu ……

Senyap sunyi. Kerani masih menunggu perintah baru. Arahan baru. Yang menegur kesunyian adalah tangisan sayu anak-anak kecil dalam rumah, ayam-ayam yang berkokok tidak mengikut jadual (adakalanya ayam betina pun berkokok juga !!) dan kicauan burung-burung liar, bersedia untuk menghadapi cabaran yang menanti. Tetap tidak terpengaruh dengan kehadiran Manager. Dia menjengketkan kaki dan membetulkan tali pinggang seluar pendeknya itu.

‘SIAPA MENJUAL GETAH SEKERAP DI KEDAI DOLAH SEMALAM ?. SIAPA ?. BAIK MENGAKU. AKU TAHU SIAPA DIA. KALAU TIDAK (MENGAKU), SEMUA KENA POTONG GAJI SEBULAN.’

Wah ! Suara guruh menyambut halilintar. Ugutan yang amat dasyhat. Spy, petualang manakah yang sudah pecahkan tembelang mereka. Semua memandang ke kiri dan ke kanan dan balik ke kiri. Yang bersalah makin menggelabah. Ada tidak mahu pandang kiri atau pun kanan ….. buat selambe sahaja. Senyap lagi. Soalan yang melintasi fikiran adalah, mengapakah si Manager ini berang sangat. Sibuk sangat. Sanggup mengorbankan tidurnya untuk datang ke mari. Bukan dia tidak tahu kecurian kecil-kecilan macam ini pernah berlaku. Mungkin kroni-kroninya di Bandar, yang selalu membeli hasil getah ladang sudah pun mengadu kepadanya. Keadaan ini sudah pasti menjejaskan komisyennya.

Hasakan ekonomi di ladang amat dirasai pada bulan ini. Mereka tidak ada jalan keluar kecuali menjual hasil getah secara haram. Demi menyelamatkan kawan-kawan yang lain, dua penoreh tampil ke hadapan. Dengan harapan bahawa Manager ini memahami dilema dan keluhan mereka semua.

‘Saya Tuan. Saya mengaku. Saya perlukan wang … Tuan. Gaji tak cukup Tuan. Anak hendak makan … perlu wang Tuan’

‘Sama macam dia Tuan …. Susu anak sudah habis ... menangis selalu.’

‘AKU TIDAK SURUH KAU MEMBEBEL. ADA AKU TANYA KENAPA KAU CURI GETAH .... ADA TAK ?’

‘Tidak Tuan.’

‘HABIS …. PERGI BERAMBUS. KERANI …. POTONG GAJI (MEREKA) SEBULAN. APA TUNGGU LAGI .. BERAMBUSLAH. MENYUSAHKAN AKU AJE. HAH .... SIAPA LAGI ?’

Mereka yang dipecat mula mengundurkan diri. Mengeluh. Apa akan terjadi pada keluarga mereka pada bulan ini.

‘Tuan……. Tuan’

Ada suara dalam barisan …. memanggil.

‘Hah … ape dia.’

‘Tidak adil Tuan. Kan dia kata dia tak cukup duit. Dia susah. Susu anak tak ada .... ’

‘ Habis ... Yang kau buat sibuk pasal apa?. Kau ada share dengan dia ke ?’

‘Tidaklah begitu Tuan. Saya adalah Pengerusi Persatuan Penduduk. Saya ingin merayu supaya Tuan timbang balik hukuman Tuan itu. Dia kata dia sesak. Susu anak habis. Bila kami memohon wang pendahuluan, Tuan sendiri tak mahu bagi. Lagi pun gaji yang kami dapat tidak padan. Harga getah antarabangsa melambung tinggi tapi Pejabat ini beli susu getah dan sekerap dengan harga yang murah. Kami bukan tidak baca surat khabar Tuan.’

‘Apa yang kau tau tentang harga pasaran dunia ? Kau pakar ekonomi ke …. Kau ingat senang nak urus tempat ini …. Tempat jinn bertendang ini ?’

Manager semakin marah kerana hukumannya dipertikaikan dan Pengerusi ini berani mencabar cara pengurusannya.

‘Kau juga … nak aku potong gaji ?.’

‘Janganlah begitu Tuan. (ada suara lain yang menyampuk). Pokok yang kami toreh itu pun memang susu dan sekerap kami, dari ladang kami jugak. Bukan curi namanya tuuuu.’

Manager terkejut dengan kenyataan itu. Maklumat yang sudah berpuluh tahun dirahsiakan, dibongkarkan dengan begitu sahaja. Dengan satu ungkapan sahaja. Dia mengangkat kayu penyapu yang tersandar pada pagar dawai, terus meluru hendak menghentamnya. Sudah hilang pertimbangan. Hilang pedoman. Marah dalam kemabukan. Dia dihalangi oleh penoreh getah yang lain.

‘Mengucap Tuan….. Mengucaplah !!. Kesabaran itu adalah sebahagian dari iman !!!!’

Wah !!! Manager yang masih separuh mabuk ini menjadi lebih hot lagi. Badannya memang berbau arak dan hapak. Padanya, penoreh getah ini sengaja melepaskan sindiran sinis. Dia terus menolaknya hingga jatuh tersungkur. Penoreh lain masuk campur. Pembantu Manager cuba melindungi Managernya. Tidak berjaya. Maki hamun sudah bermula. Manager dan pembantunya lari lintang pukang masuk Pejabat. Terus mengunci semua pintu depan dan belakang. Pegawai kira-kira yang bertugas dalam Pejabat sudah panik gila. Semua yang dibuat ... tak kena.

‘Pakukan dia’

‘Dia semua ada dalam ... macam mana nak paku’

‘ Whooi !! Bukan paku dia orang, paku pintulah. Kau ni selalu buat kelakar bodohlah’ (yang mendengar sudah mula tersenyum dan buat pandang tempat lain)

‘Jangan kasi dia keluar. Keparat. Anak haram jadah’

‘Ambik paku, ambik papan, ambik kayu…. MANA PAKU … CEPAT‘

Dentuman dan deguman ketuk besi berjaya membenamkan suara-suara liar di sekeliling Pejabat. Keadaan semakin reda. Segala pintu-pintu Pejabat, depan dan belakang, sudah dipaku mati. Pakai paku belanda. Tidak seorang pun dapat masuk dan keluar. Tingkap tidak dipaku kerana sudah ada jaringan besi. Mereka di dalam sudah menguncikannya. Tandas ada di luar. Rosli tidak banyak soal ... setia mengikuti arahan. Terperanjat agaknya. Beres. Lontaran bahasa kesat silih berganti. Kutuk mengutuk tanpa kesudahan. Maka pada hari yang sungguh bersejarah ini, penoreh-penoreh getah, dengan tindakan serentak, melepaskan segala peralatan ladang dan berhenti kerja. Pelita di kepala sudah lama ditanggalkan.

Kemelut subuh menggamit perhatian ramai. Semua menuju ke Pejabat. Anak-anak sudah mendekati ibu bapa masing-masing. Tidak mahu pergi sekolah. Sudah mula berpesta dengan kawan-kawan lain. Ingin tumpang bising. Mereka di halau. Berdegil. Tetap berlari-lari di celah-celah orang. Matahari mula membenamkan kegelapan subuh dan makin membakar kedinginan pagi. Kicauan burung-burung sudah disambut dengan bingitan riang-riang menandakan hari baru sudah tiba.

‘Whoooi !!! Ape sudah jadi ….. ada kemalangan ke ? Bergaduh ke ? Tangkap ular sawe ke ? ’
Seorang tua berkain pelekat lusuh dengan baju lengan panjang sudah bertanya. Terhuyung hayang menghampiri mereka. Sekotak rokok dalam genggaman. Poket baju robek sedikit. Membonjol dengan lipatan kertas-kertas penting bersama pemetik api berwarna merah. Wajahnya mengukir seribu pertanyaan. Haji Shuib namanya. Mukanya sudah lama kecut dimamah zaman. Orang yang tertua dalam ladang. Banyak menyumbang jasa dalam kampung. Maka mereka menceritakanlah segala-galanya, termasuklah tindakan paku memaku pintu-pintu depan dan belakang Pejabat.

‘Si Sudin tadi kata, ladang ini kita punya …. Betul ke ? Kita ingat kita pekerja kuli batak aje. Mengapa mak bapak kita tak cerita hal ini. Betulkah kata Sudin tu …. Pak Shuib ?’

‘Betul’

Pak Shuib menjawab dengan tenang. Semua senyap seketika. Terperanjat besar. Mungkin terperanjat beruk !! Apatah lagi kalau Pak Shuib sendiri yang sudah cakap begitu. Mestilah benar. Mereka tetap bingung. Desas-desus khabar angin kini berubah menjadi khabar yang sahih.

‘Habis kenapa kami begini … Menjadi pekerja mereka bukan tuan ladang ?’

‘Dulu …. dulu kerajaan sudah berjanji, tanah ini kita punya. Pasal itulah kami dan emak bapak engkau semua datang ke mari. Nak mulakan hidup baru. Nak milik sekeping tanah. Semua sanggup meninggalkan kampong halaman dan sanak sedara. Tapi agensi kerajaan FELDA mengatakan dia orang akan mengurus dan memasarkan hasil ladang kami. Baguslah tu. Kami diberi gaji dan keuntungan ladang akan dikongsi bersama. Tapi bertahun–tahun bekerja, kita tak pernah rasa wang keuntungan itu. Dah lah gaji tak cukup. Ada aje sebab untuk tidak mau beri. Ekonomi merosotlah. Kos perbelanjaan naiklah. Kos minyak naiklah. Kos pengangkutanlah. Cuaca tak baiklah. Sekarang saya sendiri tidak tahu adakah tanah ini kita punya. Takut-takut hak kita habis begitu aje bila kita duduk sign macam-macam kertas dalam Pejabat. Saya tidak dapat tenguk dokumen itu. Tapi arwah Haji Taib, Ketua kami dulu kata, Pegawai FELDA pernah tunjukkan surat resmi itu kepadanya. Dia pula tidak meminta salinan. Tak tahu pulak cerita ini sudah keluar dalam surat khabar atau tidak. Tapi FELDA senyap begitu aje. Aku tak berani cerita lebih-lebih. Nanti kau kata aku bohong pulak. Aku tak ada bukti dalam tangan. Tetapi, percaya perkara ini memang benar. Pasal Haji Taib orang warak, berugama tinggi. Dengar khabar, Perdana Menteri Tun Razak, dapat ilham ladang dari negeri Cina. Dia melawat ke sana agaknya. Wallahualam.

.... yang aku tak faham langsung, kenapa engkau semua nak marah sangat pada Manager ini. Bukan kau tak tahu Manager ini memang tak boleh pakai. Perangainya pun memang tak senonoh. Tapi mengapa baru sekarang kau nak berontak.’

‘Pak Shuib bukan tak tahu…. kita sudah lama tertekan. Selalu sangat dapur tak berasap. Orang ini pulak kurang ajar. Bukan nak tolong. Dia tak mahu mendengar masalah kita. Nak pukul kami pulak. Halau pulak. Mabuk selalu tu sudahlah satu hal … tapi janganlah menyalak macam anjing kena potong ekor aje. Dia saje yang betul. Ape kami orang bangsat ke ?‘

‘Habis … kau nak buat apa dengan dia ni.’

‘Biar dia rasa. Dah berbulu sangat dengan orang biadap macam dia ni. Dia pun makan gaji tapi nak tunjuk aksyen pulak. Biarlah dia bertapa lama-lama sikit. Supaya sedar sikit dan betul-betul bertobat .... ’

Perdebatan semakin rancak. Ada yang suruh keluarkan Manager itu dan ada pula yang berkata jangan. Akhirnya terdedahlah segala kudis dan pekung Manager ini. Kemelesetannya diulang tayang. Menghamba-abdikan penoreh getah; ugut membuang mereka; memotong gaji mengikut seleranya; mengira hasil getah dengan harga yang murah walhal harga pasaran dunia adalah pada tahap tinggi; mabuk tidak tentu arah; sengaja timbang (hasil getah) tak betul; kedai runcit dia kontrol; gaji tak kasi penuh, ada sahaja hendak dipotong; Manager sendiri pernah menjual, secara haram, sebahagian hasil getah ladang di pekan; pegawainya angkuh; mengusik anak bini orang. Hendak keluar kawasan pun kena dapat kebenarannya dulu. Seperti duduk dalam penjara. Walaupun tidak tertutup, tidak berdawai, tetapi tidak boleh pergi ke mana-mana.

Manager ini pasti tahu tentang isu milikan ladang. Maka itulah dia bertindak ganas. Cuba menutup mulut Si Sudin tadi. Lagi pun tindakan mengurung Manager bukanlah suatu tindakan yang terburu-buru. Tetapi berkaitan rapat dengan kemarahan dan dendam kesumat penduduk kampung terhadapnya. Sudah bertahun-tahun menindas dan menganiayai mereka.

Dua kereta polis sudah parking jauh dari Pejabat. Lampu kereta berkelipan mengistiharkan kehadiran mereka. Telefon radio kereta polis sudah melekat di telinga. Sibuk memberi ulasan selari. Mungkin memanggil back-up lagi. Sudah pasti Manager menggunakan telefon Pejabat. Entah siapa lagi yang dia panggil. Penduduk pula terlupa untuk memotong tali telefon Pejabat dari luar. Tetapi ada juga baiknya. Dengan kehadiran pihak polis, masalah mereka pasti mendapat perhatian dari semua pihak. Manager dan kerani terus menerus membuat bising, dengan harapan rombongan polis tadi dapat menyelamatkan mereka. Polis tidak bertindak. Memantau sahaja.

Sebelum ketibaan polis ini, lain pula ceritanya. Manager dan pegawai-pegawainya mula panik. Merayulah, meminta maaflah, sanggup membatalkan arahanlah, menangislah, meraunglah, tidak akan buat lagilah. Penuh dengan drama. Cukup takut berdepan dengan orang-orang yang berdendam dan membencikan mereka.

Tiga Land Rover polis sudah merempuhi kawasan. Menghalangi laluan jalan. Memang disengajakan. Lima kereta semuanya. Penduduk berdebar dan rasa serba salah. Semua polis turun, lengkap dengan penangkis rotan, cotar hitam, topi keledar merah termasuklah plastik keras untuk membalut siku dan lutut. Mereka bertukar maklumat. Seorang polis membawa pembesar suara. Pegawai bertali leher turun bersama pembantunya dan diiringi oleh seorang pegawai polis berpangkat tinggi. Kerana ada beberapa paku kilat tertenggek di atas bahunya. Pegawai ini menuju ke arah kami dan diekori oleh pasukan polis dan beberapa orang dengan kamera. Mungkin orang akhbar. Siapa pulak panggil wartawan ini. Kalau betul …… baguslah !.

Mereka yang datang, mahu berjumpa ketua penduduk. Ketua tampil kehadapan. Nampak gementar sedikit. Tidak biasa melihat polis seramai itu. Lengkap dengan perisai dan cotar. Entah apa lagi alat-alat yang mengelilingi pinggang dan baju mereka. Ada yang bersenapang mulut besar. Mereka berbaris rapi ….. bersedia menunggu arahan untuk berperang. Mula mengetuk penangkis rotan dengan cotar masing-masing.

Pegawai bertali leher nampak tenang. Tetapi pegawai polis berpangkat tinggi ini bersikap angkuh dan kasar. Hendak cari peluang untuk belasah orang. Dia menyalakkan arahan untuk beredar dari situ. Arahannya tidak dilayani. Tidak memahami arahannya tentang penghimpunan haram. Penduduk tidak bergerak. Maklumlah dia sangka orang kampong patutlah takut dan longgar lutut apabila menerima gertakan polis. Kemarahan orang kampung sudah mengatasi segala ketakutan. Apatah lagi sudah pun berhadapan dengan sifat keangkuhan Manager sebelum ini. Bukan penduduk tidak sedar bahawa tindakan mengurung Manager itu salah tetapi sudah bertahun-tahun bersabar dan kini mendapat peluang untuk melepaskan geram.

Peneroka ladang bukan calang-calang orangnya. Orang luar biasa sahaja yang sanggup merantau, sanggup beradu nasib dan sanggup meninggalkan kampung halaman demi mencari kehidupan baru. Keberanian mereka makin terserlah apabila berhadapan dengan keadaan yang terdesak seperti ini.

Pegawai bertali leher mengenalkan dirinya sebagai Pegawai FELDA. Namanya Dato’ Zainal dan berpangkat Pengarah, bertempat di Ibu Pejabat FELDA, Kuala Lumpur. Dia mengarahkan penduduk membebaskan Managernya. Penduduk sanggup melakukan demikian sekiranya Pengarah ini sedia mendengar keluhan dan dakwaan mereka terhadap Manager ini. Jumlah penduduk yang berlegar-legar di kawasan Pejabat makin membesar. Makin berani melemparkan tuduhan dengan melaung-laungkan kalimah ‘Allahu Akbar’. Mungkin mereka ini datang dari ladang jiran. Sudah mendapat berita dan ingin menawarkan sokongan setiakawan. Kerana mereka juga menghadapi masalah yang sama. Polis dan Pengarah semakin gelisah kerana dikepungi dari semua penjuru.

Akhirnya Pengarah mahu mendengar keluhan dan tuntutan rakyat. Peneroka ladang getah ingin mempertikaikan hak milik tanah ladang ini dan ingin melihat geran tanah. Pengarah ini menulis sesuatu dalam buku notanya. Mengeluarkan telefon canggih dari sakunya dan membuat beberapa panggilan. Terus memohon maaf dan berjanji akan menyelesaikan masalah penduduk. Manager dan pegawai-pegawainya dibebaskan. Penduduk tidak didakwa.

‘Li … Rosli…. Bangunlah nak. Subuh nak habis. Cepat-cepat ambik sembahyang. Nanti Emak buat kopi dan kuih jemput-jemput.’

Rosli tersentak. Terpinga-pinga. Kenapa dia masih terbaring di atas katil. Bukankah Ayah yang mengejutkannya dari tidur. Bukankah dia bersama dengan mereka yang mengurung Manager. Adakah dia bermimpi dan segala-galanya ini memang tidak pernah berlaku. Banyak soalan dari jawapan. Rosli terus bertanya dan Emaknya pula tidak ingat. Emak kata, perkara ini mungkin berlaku semasa mereka beberapa tahun duduk ke tempat ini. Rosli tidak ingat langsung. Tidak berperanan di dalam peristiwa ini. Ayah, seperti biasa, sudah pun ke ladang. Mengikut jam tangan, dia (Rosli) baru sampai rumah Emak semalam. Tidak sempat menyusun sebahgian pakaian yang masih terperesuk dalam beg lagi. Emaknya gelak sahaja dan meyakinkan Rosli bahawa dia terlalu letih, tidak sempat cuci kaki hingga bermimpi yang bukan-bukan.

Aku cuba mengulang tayang mimpi ku itu. Sudah pasti wawasan dan harapan mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak untuk menyerahkan tanah kepada peneroka ladang tidak kesampaian. Kerana agensi yang menjadi orang tengah, yang ditugaskan untuk membantu dan menjaga kebajikan penoreh-penoreh getah sudah berpaling tadah dan menjadi kapitalis besar. Memerah rakyat untuk mendapat keuntungan yang besar. Rakyat tetap terapung-apung dan masih tidak memiliki tanah. Pasal itulah FELDA mempunyai berbilion ringgit tetapi penoreh-penoreh tetap papa kedana dengan masalah sosial yang berlipat ganda. Kini, jiwa dan semangat penerokaan (pioneering spirit) hancur luluh dan dipadankan dengan politik kongkongan dan budaya pautan (culture of dependency/ subsidy mentality).

Categories

Pengikut