BABAK PERTAMA TUKAR KUDA

Setelah pulang dari London pada tahun 1949, Tunku Abdul Rahman pun dilantik menjadi Timbalan Pendakwaraya di Kuala Lumpur oleh imperialis British, agar supaya dia dapat memainkan peranan lain pula dalam penipuan politik yang dijalankan imperialis British.

Pada tahun 1947 hingga 1948, ketika dia masih berada di London dia menyenandungkan lagu yang senada dengan Onn bin Jaafar yang ada di dalam negeri dalam usaha membela mati-matian hak istimewa dan kedudukan sultan-sultan,menentang syarat-syarat kewarganegaraan dan menganjurkan dipulihkannya keadaan sebelum Perang Dunia Kedua. Tapi setelah dia balik dari London, imperialis British pun mulai menggunakannya sebagai kuda tunggangan yang lain. Ia telah membuat pendapat awam bagi Tunku Abdul Rahman agar boeh diangkat naik takhta menggantikan Onn bin Jaafar bila perlu. Oleh kerana itu dia sentiasa bertengkar dengan Onn bin Jaafar baik di sidang UMNO mahpun di tempat-tempat lain. Misalnya dia mendendangkan lagu basi chaovinisme jika Onn bin Jaafar memakai jubah non rasialis, dan dia menyamar sebagai wakil rakyat semua bangsa jika Onn bin Jaafar menyebut-nyebut hak istimewa orang Melayu. Kadang-kadang Onn bin Jaafar berada di atas panggung. Nampaknya seakan-akan mereka sentiasa bertentangan, tapi sebenarnya ini telah diatur secara rapi oleh imperialis British dengan maksud hendak mempertahankan kekuasaan penjajahanya. Ketika Onn bin Jaafar meminta dilantik menjadi Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, imperialis British pun menyebarkan pendapat-pendapat yang tidak menguntungkannya di kalangan golongan Tunku Abdul Rahman dan anasir-anasir bangsawan feudal untuk menggagalkan usaha Onn bin Jaafar. (anaknya Hussein Onn pernah berkata pada tahun 1963 bahawa orang Inggeris telah menggunakan peristiwa itu untuk menghasut sultan-sultan menentang ayahnya).

Onn bin Jaafar yang hidung tinggi dan berwenang-wenang semakin tak laku di dalam UMNO, maka itu dia terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua UMNO pada bulan Ogos tahun 1951 dan diganti oleh Tunku Abdul Rahman.

Untuk memenuhi keperluan imperialis British yang hendak mengadakan sandiwara pemilihan, Onn bin Jaafar yang digalakkan oleh McDonald dan Henry Gurney telah bersekongkol dengan orang-orang Jawatankuasa Perhubungan Kaum dan bersiap sedia membentuk satu parti yang baru. Setelah melakukan serentetan kegiatan pujuk memujuk, mereka telah membentuk Parti Kemerdekaan Malaya pada 16 September tahun 1951. Benggolan-benggolannya termasuk Tan Cheng Lock. E.E.C. Thuraisingam, P.P. Narayanan serta Hussein Onn dan juga J. Brazier penasihat kesatuan sekerja yang dikirim oleh imperialis British untuk mensabotaj gerakan buruh negeri kita. Onn bin Jaafar berkata “Menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya telah mencerminkan kepercayaannya kepada janji Inggeris tentang kemerdekaan Malaya”, sedangkan Tunku Abdul Rahman pula membidasnya sebagai mengkhianati kepentingan orang Melayu dan memecat semua ahli UMNO yang menyertai Parti Kemerdekaan Malaya, tapi di samping itu dia mengeluarkan pernyataan mengalu-alukan orang-orang bukan Melayu yang menjadi ahli luar biasa UMNO.

Dari sini jelaslah bahawa untuk memikat hati massa Cina dan India, Tunku Abdul Rahman dan sebangsanya sampai-sampai menampar mukanya sendiri dan menjilat kembali apa yang sudah diludahnya dahulu. Pada bulan Februari 1952, pilihanraya majlis perbandaran Kuala Lumpur telah diadakan. Dulunya UMNO mengambil keputusan tidak mahu menyertai kempen pilihan itu, tapi setelah mengetahui Parti Kemerdekaan Malaya pimpinan Onn bin Jaafar akan menyertai kempen pilihanraya itu, UMNO pun tiba-tiba memutuskan untuk menjalin perikatan dengan MCA dan bersama-sama menyertai kempen pilihan itu. Imperialis British tahu dengan jelas sekali bahawa tujuan Abdul Rahmah bersubahat dengan Tan Cheng Lock dan H.S. Lee itu ialah hendak menjatuhkan Onn bin Jaafar dan pengikut-pengikutnya, akhirnya mereka telah mendapat 9 dari 12 kerusi, sedangkan parti Onn bin Jaafar kalah teruk dengan hanya mendapat 2 kerusi saja. Inilah babak pertama disingkirkannya Onn bin Jaafar yang pernah dianakemaskan imperialis British.
---
sumber maklumat: Muzium Sejarah Kampung Perdamaian Sukhirin

posting terkait


Categories

Pengikut