BABAK KEDUA PENUKARAN KUDA


Pada pertengahan bulan Januari tahun 1953, McDonald memanggil Onn bin Jaafar dan rakan-rakannya ke Ipoh untuk bersidang. Mereka yang ikut serta dalam sidang tersebut ialah Onn bin Jaafar, E.E. C. Thuraisingam, P.P. Narayanan, Menteri-menteri Besar Perak dan Kelantan serta Yong Seok Ming, Sia Yu Chiang, Wai Chi Kang, Kim Sui On dan seorang Serani dari Pulau Pinang bernama V. Shelly, Tan Cheng Lock anak beranak sudah bermasam muka dengan Onn bin Jaafar, jadi mereka berdua tidak hadir.

Di sidang itu McDonald telah menganalisa situasi politik dan berkata bahawa Perikatan MCA-UMNO dikuasai orang Cina. Dia meminta para hadirin mengkaji masalah jalan keluar bagi Parti Kemerdekaan dan Onn bin Jaafar menurut situasi politik ketika itu. Dia mengusulkan penubuhan Badan Politik Pusat yang terdiri dari wakil-wakil semua parti politik dan pertubuhan, dua tiga orang pegawai British seperti dia juga boleh turut serta untuk membincangkan masalah pemerintahan sendiri. Itulah jalan yang paling baik katanya, sedangkan jalan yang kurang baik ialah menubuhkan parti yang baru. Sidang memutuskan untuk meneruskan sidang itu di rumah Yong Soek Ming di Kuala Lumpur pada 12 Februari tahun yang sama. Sidang tersebut juga telah memutuskan penubuhan badan politik pusat dan mempertanggugjawabkan kerja menggubal perlembagaannya kepada 3 orang berasas tujuankan memajukan perpaduan nasional dan maju beransur-ansur menuju pemerintahan sendiri.

Pada 16 Mac, mereka bersidang sekali lagi di mana mereka memutuskan untuk mengeluarkan sebuah pernyataan atas nama Menteri Besar berbagai negeri, merayu semua parti politik supaya mengutus wakil mereka menyertai persidangan nasional demi menimbangkan masalah mengadakan kerjasama yang paling baik untuk mendirikan negera Malaya yang bersatu dan berpemerintahan sendiri. Pernyataan yang ditulis McDonald sendiri itu diluluskan oleh sidang pada 16 Mac lalu disiarkan pada 20 Mac. Bersamaan dengan itu diputuskan bahawa persidangan nasional diselenggarakan di Kuala Lumpur pada 27 April dan semua parti politik dan pertubuhan diundang menghadirinya. MCA dan UMNO menolak menghadirinya. Oleh kerana itu selain daripada orang-orang dari Parti kemerdekaan dan orang-orang peranakan, mereka yang menyertainya hampir semuanya ialah wakil dari pertubuhan dan parti politik orang India Ceylon dan Pakistan, antaranya termasuk wakil MIC. Persidangan itu telah melantik sebuah jawatankuasa yang bertugas mengajukan laporan dan usul berkenaan masalah-masalah tersebut kepada persidangan kedua. Persidangan itu memutuskan untuk mengadakan persidangan nasional kedua pada 27 September. Persidangan itu juga memutuskan:

1. Pilihanraya Persekutuan diadakan selambat-lambatnya sebelum tahun 1956

2. Sehingga Februari 1954, Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan patut ditambah kepada 90 orang yang semuanya dilantik pemerintah

3. Hanya ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan yang menjadi menteri sahaja yang boleh menjadi ahli majlis kerja persekutuan dan lain sebagainya.

Benggolan-benggolan MCA dan UMNO juga mengadakan convention nasional mereka di Kuala Lumpur pada penghujung bulan Ogos tahun itu atas arahan tuan mereka. Convention meluluskan keputusan yang menyatakan hasrat hendak berusaha mendirikan negara yang merdeka dalam lingkungan komanwel. Keputusan itu juga menuntut diadakannya pilihanraya majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pada tahun 1954. Convention menganggap bahawa gerakan yang dilancarkan Menteri-menteri Besar itu semakin menunjukkan yang ia hendak melambat-lambatkan perkembangan apa yang disebut “Kerajaan Representatif” seberapa lama yang dapat.

Alex Josey, sepai British yang pernah menjadi benggolan perang saraf di Kuala Lumpur pada suatu ketika dulu dan kemudian menjadi setiausaha akhbar Lee Kuan Yew juga menulis artikel-artikel di suratkhabar-suratkhabar, memuji-muji convention nasional Tunku Abdul Rahman dan sebangsanya atas perintah imperialis British.

Dued Tunku Abdul Rahman dan Onn bin Jaafar itu berlangsung terus sehingga dipentaskannya sandiwara pilihanraya Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pada tahun 1955. Untuk menghebohkan lagi sandiwara ini, Onn bin Jaafar mendirikan pula Parti Negara pada bulan Februari tahun 1954 atas arahan imperialis British.

Pilihanraya majlis negeri pula diadakan pada bulan Oktober 1954, mulai dari Johor ke negeri-negeri lain. Dan mulai dari bulan Oktober itulah, benggolan MIC yang tadinya mengekori Onn bin Jaafar serta Parti Kemerdekaannya mengambil keputusan untuk berpatah arang dengan Onn bin Jaafar, menyerahkan diri ke pelukan Tunku Abdul Rahman dan menjadi rakan kecil dalam parti Perikatan.

Dalam pilihanaraya di Johor, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, semua calon Parti Negara Onn bin Jaafar 28 orang, (26 Melayu )menderita kekalahan. Di Perak, Selangor, Pahang, Kedah, Kelantan dan Melaka Parti Negera tidak menghantar calonnya untuk menyertai perebutan tersebut.

Sebenarnya ini adalah babak kedua penyingkiran Onn bin Jaafar. Tapi sebelum itu pada tahun 1953, dengan mengambil peluang ketika Queen Elizabeth ditabalkan, imperialis British memberi gelar “Sir” kepada Onn bin Jaafar. Ini merupakan ejekan yang pedas.

---
sumber maklumat: Muzium Sejarah Kampung Perdamaian Sukhirin

posting terkait



Categories

Pengikut