UTUSAN MALAYSIA AKUI BELA KERAJAAN INGGERIS




UTUSAN MALAYSIA AKUI BELA KERAJAAN INGGERIS

Membaca rencana Utusan Malaysia yang bertajuk Chin Peng tidak mahu bubar PKM [klik sini], kita mendapat kesan jelas yang akhbar itu masih membela kerajaan penjajah Inggeris.

Dengan bertujuan memuterbelitkan sejarah perjuangan PKM menentang penjajah British demi kemerdekaan tanah air, rencana tersebut tanpa segan silu merestui atau menyokong pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu di bawah penjajah Inggeris.

"Ramai orang tahu PKM telah melancarkan pemberontakan untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1948 dan menggantikannya dengan pemerintahan komunis berbentuk republik."

Kerajaan yang wujud pada tahun 1948, lebih tepatnya Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sebenarnya adalah kerajaan kolonial Inggeris. PKM dan pertubuhan kiri lain seperti PKMM, PETA, AWAS, Barisan Tani, Kesatuan Buruh dan lain2 telah melancarkan perjuangan sengit menentang kerajaan tajaan penjajah Inggeris ketika itu. PUTERA-AMCJA mengadakan hartal di seluruh negara adalah juga kerana menentang rancangan Persekutuan Tanah Melayu tajaan Inggeris dan menuntut Malaya diberikan kemerdekaan penuh. Masa itu UMNO baru berumur 2 tahun bersama semboyan HIDUP MELAYU.

Rencana diatas menganggap satu kesalahan kerana mahu menumbangkan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 itu, tak kira perjuangan itu datang dari pihak PKM mahupun daripada mana-mana pihak yang lain pun.

Kalau begitu bukankah Utusan Malaysia telah mengakui secara terang-terangan yang ia menyokong dan membela kerajaan penjajah Inggeris? Apakah Utusan Malaysia tidak setuju dengan kemerdekaan tahun 1957 pula?

Nampaknya, Utusan Malaysia sangat anti kemerdekaan, formula yang terbaik di kalbu mereka ialah Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 milik tuan penjajahnya itu dapat dikekalkan ke hari ini, dan seterusnya… .

Categories

Pengikut