SALAM MERDEKA

SALAM MERDEKA

31 Ogos tahun ini adalah hari ulangtahun ke 53 kemerdekaan tanah air kita. Kini Dan Silam mewakili Bapa Abdullah C.D. (penaja dan pemimpin Rejimen Ke-10) dan seluruh bekas kader dan perajurit Rejimen Ke-10 menyampaikan SALAM MERDEKA kepada sanak saudara semua kaum dan semua lapisan di mana jua mereka berada.

Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini bukanlah dicapai melalui air liur atau melalui perjuangan satu golongan, akan tetapi adalah hasil perjuangan bersama rakyat semua kaum, semua aliran yang patriotik-demokratik yang diperjuangkan sejak ratusan tahun dahulu.

Bersempena hari yang bersejarah ini, kami mengajak saudara-saudari semua yang benar-benar menghargai kemerdekaan ini menghulur sekalung alfatihah buat para pejuang kemerdekaan tanah air yang telah menyumbangkan nyawa dan jiwa raga mereka demi kemerdekaan tanah air… amin.

Rejimen Ke-10 adalah sebuah pasukan tentera anak rakyat yang berjuang untuk merebut kembali kemerdekaan tanah air yang juga merupakan penerus cita-cita kemerdekaan dari angkatan terdahulu. Oleh itu, kami merasa bangga dan bahagia kerana kami tidak tergolong dalam golongan penjilat sepatu penjajah yang telah disumpah oleh golongan pejuang kemerdekaan kita terdahulu.

Hari ini, perjuangan kemerdekaan atau lebih tepatnya perjuangan mengisi kemerdekaan masih berlangsung. Sebagaimana ucapan pahlawan kemerdekaan kita Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy:

“Perjuangan kemerdekaan bangsa dan tanah air akan bergolak terus walaupun Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957 ini. Kemerdekaan itu harus diisi dengan kenyataan-kenyataan, dengan realiti-realiti kemakmuran ekonomi rakyat, dengan realiti, dengan kenyataan ketinggian akhlak rakyat.”

Kami menyeru semua parti dan golongan yang berjiwa patriotik demokratik supaya mempererat perpaduan di antara satu sama lain, perkuatkan persatuan dan membentuk barisan bersatu yang benar-benar kukuh di atas dasar cita-cita bersama mengisi kemerdekaan ke arah keadilan nasional dan demokrasi. Hanya dengan bersatu dengan berbagai golongan barulah kita dapat membentuk sebuah kekuatan raksasa.

Categories

Pengikut