REJIMEN KE-10 WARISI SEMANGAT PERJUANGAN DATOK BAHAMAN


Perang Bahaman adalah perang patriotik yang mempunyai pengaruh amat tinggi di berbagai kawasan Pahang. Walaupun perang itu telah gagal, tetapi benih nasionalis yang disemai oleh perang tersebut memberikan semangat kepada generasi-generasi kemudiannya.

Ketika saya sampai di Jerantut kira-kira awal tahun 1949, saya sempat bertemu dengan beberapa orang tua dari angkatan Datok Bahaman yang masih hidup. Seorang darinya ialah Tok Penghulu (lupa namanya), cukup tinggi semangat nasionalismenya. Beliau bekas pejuang Datok Bahaman. Dia memperkenalkan banyak kisah-kisah pertempuran yang dilakukan orang-orang Bahaman di Jerantut. Tok Penghulu menyokong perjuangan bersenjata kami hingga akhir hayat. Dengan penghulu itu saya mengajukan satu soalan: "mengapa Datok Bahaman berundur ke Thailand ketika pasukannya mencapai kemenangan demi kemenangan?"

Berkenaan pertanyaan saya itu, Tok Penghulu dengan panjang lebar menjelaskan kepada saya. Pokoknya lebih kurang begini:

Ketika itu pasukan Bahaman mencapai kemenangan terus menerus dan mendapat sokongan yang meluas dari rakyat Pahang di segenap penjuru bahkan sampai ke negeri-negeri lain. Akan tetapi dalam saat itulah Sultan datang bertemu Bahaman di Pulau Tawar.

Tok Penghulu menjelaskan bahawa Datok Bahaman tidak menceritakan apa percakapannya dengan Sultan. Akan tetapi selepas pertemuan itulah Datok Bahaman membatalkan semua rancangan serangannya dan berundur ke Thailand. Tok Penghulu menjelaskan bahawa, mengikut pandangannya, sudah pastilah Sultan telah melarang Bahaman melakukan serangan ke atas tentera British.

Dari cerita itu saya lebih faham secara dekat bahawa Datuk Bahaman berundur bukan kerana kalah, atau bukan kerana tak berdaya melawan tentera British, tetapi kerana dilarang oleh Sultan Ahmad.

Walaupun Tok Penghulu ini sudah tua tetapi semangat nasionalismenya masih menyala-nyala. Dia berpesan kepada anak cucunya supaya menyokong perjuangan Rejimen Ke-10 untuk kemerdekaan tanah air, sekali-kali jangan jadi pengkhianat dan menyembah orang putih. Tok Penghulu berkata, "Saya sudah tua, kalau tidak, saya pasti memanggul senjata bersama kawan-kawan".

Di Kawasan Paya Luas juga saya bertemu dengan seorang tua angkatan Datok Bahaman. Dia menceritakan bahawa dia bertugas menjadi utusan Datok Bahaman, dari satu tempat ke satu tempat. Dalam perjalanan yang memakan masa beberapa hari untuk sampai dari satu tempat ke satu tempat dia berbekalkan beras dan sambal tumbuk.

Di Jerantut dan Paya Luas, kami masih dapat melihat kesan-kesan kubu angkatan Bahaman menentang penjajah Inggeris.

Semangat nasionalisme Perang Bahaman bukan saja menyuburkan semangat nasionalisme para patriot di Pahang, tetapi juga kepada saya dan kawan-kawan lain dari Rejimen Ke-10. Dengan semangat itulah kami memperteguh keyakinan dan tekad perjuangan kami untuk terus berjuang pantang tunduk. Kerana semangat ini juga kawasan basis Rejimen Ke-10 di kedua belah tebing Sungai Pahang saya namakan Kawasan Bahaman I dan Bahaman II.

---
dipetik dari Memoir Abdullah C.D.: PENAJA DAN PEMIMPIN REJIMEN KE-10, SIRD, 2007

Categories

Pengikut