PUISI PERAJURIT: KAU DAN DAKU

Sajak
ENGKAU DAN DAKU
(Kiriman seorang perajurit TRM kepada Kawan Dalam Penjara)




Langit kau
di bingkai sekecil jendela.
milik kau sebenar
tidak sebanyak mana.

Kau meringkuk dalam penjara
dingin mendera
dalam sel sunyi
sulit didapati
walau sejalur sinar mentari.

Kau bertempur seorang
tanpa sejata
segagah dan segigih pahlawan.

Kau tak tertundukkan
walau oleh alat siksaan moden
yang tidak meninggalkan
sebarang birat pukulan.

Semua tipu helah keji
pikatan serah diri
seperti topeng-topeng disusun rapi
tegas kau lucuti.

Siapa kata kau tiada senjata
‘kan jasad membaja
penuh tekad merah menyala.

Bumiku
hutan ibu pertiwi
luas tak bertepi.

Dulu hidupku derita
kini tersedia udara segar
bebas kuhirup
dalam keluarga besar revolusioner.

Kamilah kumpulan waja
panggul senjata
berdisiplin sedar
sama-sama berlatih, sama-sama menyerbu
songsong ujian permandian peluru
bendera merah tetap berkibar tinggi
tidak hanya bergantung pada senjata api.

Engkau dan daku
mungkin tak pernah kenal
barangkali
juga warna kulit berbeza
tetapi, matlamat yang satu
erat menyambung kedua kalbu.

Aku tahu
di sana
di sebalik tembok penjara
berkeping-keping hati merah
terus berdenyut gagah.

Engkau tahu
di puncak rimba belantara
bintang-bintang emas tetap bergemerlapan
ikrar meneruskan pertempuran
agar rakyat beroleh
KEBEBASAN!
KEBAHAGIAAN!!



Oleh Bintang Emas

---
Sajak ini pernah disiarkan oleh Suara Demokrasi Malaya pada 6 - 9 Oktober 1983

Categories

Pengikut