BAGAIMANA PENJAJAH BRITISH MEMUPUK KAUM BERKUASA UMNO NAIK TAKHTA

BAGAIMANA PENJAJAH BRITISH MEMUPUK KAUM BERKUASA UMNO NAIK TAKHTA

(Sempena Hari Kemerdekaan)


Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang dicapai pada tahun 1957 adalah kemenangan besar rakyat semua bangsa berbagai aliran patriotik demokratik negara kita, terutamanya perjuangan kemerdekaan selepas tamat Perang Dunia Kedua dan Perang Pembebasan Nasional Anti-British. Akan tetapi hasil kemenangan rakyat itu telah terjatuh ke tangan golongan pertengahan Melayu yang diwakili oleh UMNO.


Pentadbiran Tentera British (BMA)

Kemenangan bersejarah perang anti-fasis telah mengakibatkan situasi Asia dan dunia mengalami perubahan yang amat mendalam. Sistem imperialis di Asia mulai runtuh. Di Malaya kekuatan revolusioner rakyat membesar dengan hebat dan perjuangan untuk kemerdekaan berkobar-kobar di segenap penjuru tanah air. Imperialis British menggigil ketakutan menghadapi situasi yang begitu tidak menguntungkan, namun demikian mereka tidak mahu mengundurkan diri dari panggung sejarah atas kemahuannya sendiri.

Umum mengetahui, dari kacamata kumpulan modal monopoli British, Malaya lebih penting bagi empayar British yang sudah penuh dengan kebobrokan setelah Perang Dunia Kedua. Dengan kata-kata mereka sendiri, Malaya bukan saja merupakan kekayaan bahkan merupakan barang-barang keperluan bagi imperialis British kerana dollar Amerika yang dikeruk dari Malaya jauh lebih besar daripada keseluruhan hasil rampasan dari tanah-tanah jajahan British yang lain. Oleh itu sejak tentera penjajah British menginjakkan kakinya semula ke Malaya pada awal bulan September 1945, mereka telah menyerang rakyat dengan kekerasan.

Untuk mendirikan semula syurga pemerintahannya, imperialis British telah membentuk pentadbiran tentera terlebih dahulu setelah tentera British mendarat di Malaya. Pentadbiran tentera tersebut berkuasa hampir 7 bulan dan berakhir pada penghujung bulan Mac tahun 1946. Dalam tempoh itu, imperialis British telah mengambil tindakan kekerasan terhadap massa buruh dan tani serta penduduk miskin kota yang menuntut perbaikan hidup. Di banyak tempat imperialis British telah melepaskan tembakan menindas rakyat yang mengadakan tunjuk perasaan untuk mendapatkan bekalan makanan dan massa yang menyertai rapat dan perarakan untuk memperingati ulangtahun ke-4 jatuhnya Singapura.

Bersamaan dengan itu, ia juga mewarisi jubah fasis Jepun dengan menghasut-hasut cauvinisme dan memfitnah parti komunis serta Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya (TAJRM). Di Johor, Negeri Sembilan dan beberapa tempat lain, imperialis British telah mencetuskan pertumpahan darah antara orang Melayu dan orang Cina dengan maksud hendak memecah belahkan perpaduan rakyat semua bangsa dan memesongkan sasaran perjuangan rakyat.

Di bidang ekonomi, pentadbiran tentera membebankan kerugian ekonomi imperialis British ke atas rakyat dengan mengisytiharkan bahawa wang kertas Jepun tak laku, bahkan pentadbiran tentera menahan jerat di pergentingan dengan memaksa rakyat pekerja menjual tenaganya dengan harga murah menjadi lembu perahan bagi tuan punya ladang besar dan pelombong bijih timah besar British. Secara sepintas lalu perlu ditunjukkan, kerja memulihkan pengeluaran ladang getah dan lombong bijih timah besar British secepat mungkin adalah salah satu tugas paling mendesak pentadbiran tentera British.

J.M. Gullick pegawai kanan rejim penjajah di Malaya (1946 – 1957) yang menjadi pengarah merangkap pegawai kanan Pejabat London Kumpulan Guthrie sejak tahun 1957 berkata dengan girang hati bahawa perusahaan getah mengalami kerugian yang terkecil dalam perang. Ladang getah yang ditebang atau dirosakkan kerana sebab-sebab lain hanya 2.5% dari seluruh keluasan ladang getah, yang lain meskipun penuh ditumbuhi semak samun tapi ia juga mendapat faedah dan mencapai hasil pengeluaran yang luar biasa tingginya dalam tempoh satu dua tahun setelah kerja menoreh diberhentikan. Akibat perompakan imperialis British itu, jumlah pengeluaran getah meningkat dari tahun ke tahun. Hasil pengeluran pada tahun 1948 telah mencapai 697 ribu ton bertambah 150 ribu ton daripada tahun 1940 sebelum pecahnya Perang Pasifik. Jumlah pengeluaran timah bertambah dari 8 ribu ton dalam tahun 1946 kepada 45 ribu ton dalam tahun 1948, meningkat 4.5 kaliganda.

Di bidang politik, pentadbiran tentera dengan sembunyi-sembunyi bersekongkol dengan bangsawan feudal dan pegawai-pegawai tempatan rejim penjajah sebelum Perang Dunia Kedua dan mempersiapkan syarat-syarat yang perlu bagi imperialalis British dalam melaksanakan apa yang disebut “pengubahan perlembagaan baru”

Penipuan Pengubahan Perlembagaan

Apa sebenarnya pengubahan perlembagaan itu? Ia adalah cara baru untuk memelihara kekuasaan penjajah dan melanjutkan penindasan dan penghisapan ke atas rakyat negeri kita. Oleh itu apa yang dinamakan pengubahan perlembagaan adalah penipuan politik dan salah satu taktik penindasan bersenjata dan pengubahan perlembagaan atau menjalankan kedua-duanya sekali gus untuk menumpas gerakan kemerdekaan yang sedang berkobaran ketika itu, sedangkan proses pengubahan perlembagaan sekaligus merupakan proses bagi imperialis British untuk memilih dan mengangkat golongan pertengahan Melayu naik takhta.

Pegawai-pegawai pejabat tanah jajahan British, orang-orang British yang pernah menyandang jawatan tinggi di Malaya serta pembela imperialis semuanya menjerit dunia setelah Perang Dunia Kedua ialah dunia yang merbahaya. Situasi Asia setelah Perang Dunia Kedua bergolak. Apa boleh buat.”

Selama ini strategi yang sentiasa diambil imperialis British ialah memelihara penguasaan secara langsung dengan seribu satu cara. Dalam keadaan terdesak ia mencari ejennya untuk melaksankan penguasaan secara tidak langsung. Oleh kerana itu, untuk memupuk ejennya dan melaksanakan penguasaan secara tidak langsung, mereka menjajakan apa yang dinamakan demokrasi berparlimen menurut rancangan berperingkat-peringkat ataupun dikenal sebagai “pemerintahan sendiri” dan “merdeka” secara berperingkat-peringkat. Pembela-pembela imperialis berkata “orang British mempunyai kesimpulan yang sama dengan orang Amerika di Filipina. Rakyat tanah jajahan mesti terlebih dahulu menjadi magang dalam satu masa tertentu di mana mereka belajar memerintah diri sendiri secara demokratik dengan menggunakan kekuasaan yang diberi secara beransur-ansur.” Amalan British selama ini ialah mewujudkan sejumlah kecil ahli Badan Perundangan yang dipilih kemudian mewujudkan majoritinya, sesudah itu baru membentuk menteri-menteri yang dipilih dan pegawai-pegawai British ditempatkan di kementerian-kementerian yang penting dan lain sebagainya. Mereka menekankan bahawa proses ini tak boleh cepat. Dengan India, Ceylon dan Filipina sebagai coantoh mereka berkata “India dan Ceylon telah menjadi magang selama kira-kira 28 tahun, sedangkan Filipina mewujudkan pemerintahan sendiri setelah belajar dalam masa 39 tahun.”

Bagaimana pula dengan Malaya? Mereka berkali-kali menegaskan terlalu tergesa-gesa amat bahaya. Akan tetapi penangguhannya yang dipaksakan secara tidak popular ternyata lebih berbahaya. Victor Purcell pengarah besar penerangan di masa perang dan penasihat untuk hal ehwal orang Cina bagi pentadbiran tentera British di Malaya setelah Perang Dunia Kedua yang kemudian menjadi professor di Britain dan disebut oleh rakan-rakannya sebagai penasihat MCA yang tak rasmi dengan terang-terangan berkata “masanya sudah terlambat dan sudah tidak ada waktu lagi untuk beransur-ansur seperti apa yang dilakukan di India dan Ceylon, mesti mempercepat langkah Malaya ke arah pemerintahan sendiri”. Kenapa? Dia mengeluh kerana semakin lama Malaya tinggal dalam kedudukan tergantung, maka semakin besarlah komunisme. Sebab itu polisi yang cuba hendak memelihara penguasaan langsung ke atas Malaya dengan cara menangguhkan pemerintahan sendiri atau melambat-lambatkannya secara tidak layak adalah polisi yang cetek pandangannya bahkan membunuh diri. Dia sepuas hati menggembar gemburkan harus memupuk tokoh-tokoh yang hanya menentang badan pentadbiran ketika itu tetapi tidak mahu memutuskan hubungan dengan imperialis British dan berjanji dengan mereka tidak akan memukul pelaburan British setelah pemerintahan sendiri didirikan, khasnya mereka yang merah jambu dan mengangkat mereka naik takhta. Kerana, katanya, ditilik dari jangka panjang “tokoh-tokoh merah jambu” adalah satu-satunya pilihan untuk menggantikan “anasir-ansir merah”.

Ketua Setiausaha Pentadbiran Tentera British Brigadier General Newbold berkata secara terang-terangan “jika kepentingan kita di timur jauh tidak diselamatkan, jentera yang perlu mesti disediakan. Jentera sebelum perang sudah tidak cekap dan sudah ketinggalan zaman. Di bawah syarat-syarat di mana kita telah kembali ke timur jauh, jentera yang baru adalah diperlukan.”

Dari sini dapat diketahui, setelah Perang Dunia Kedua, imperialis British memperhebat penindasan tentera di samping berusaha sedaya upaya memupuk “wakil” bagi melaksanakan penguasaan kolonial baru dengan maksud dapat terus menerus merompak kekayaan tanah air kita yang melimpah ruah sekali gus memadamkan perjuangan rakyat semua kaum untuk mengembalikan kemerdekaan tanah air.


-bersambung
---

sumber maklumat: Muzium Sejarah Kampung Perdamaian Sukhirin
---
lihat juga:



Categories

Pengikut