TRM:KECACATAN DAN PENYAKIT

Dalam Perang yang kejam menumpahkan darah dan mengorbankan jiwa memang merupakan suatu ujian yang serius bagi seorang perajurit revolusioner malah luka-luka atau tercacat anggota juga merupakan ujian yang berat. Dari erti tertentu, ujian yang kedua ini merupakan ujian yang lebih serius. (gambar kiri: seorang kawan yang menggunakan kaki palsu buatan sendiri)

Dalam pasukan kita, terdapat sebahagian kawan yang cacat kerana menderita luka-luka dalam perjuangan. Di hadapan ujian sedemikian mereka adalah pahlawan revolusioner dan patut menyandang gelaran mulia perajurit rakyat.

Terdapat seorang komander yang ulung telah menderita luka parah kerana terkena periuk api dalam satu gerakan militer. Setelah diberi pertolongan cemas yang teliti oleh kawan-kawan petugas perubatan, beliau dapat diselamatkan dari bahaya, tetapi kakinya kirinya telah cedera. Dalam keadaan perang gerila kehilangan kebebasan bergerak merupakan pukulan yang sangat berat dan ujian yang serius bagi seorang komander. Namun demikian, beliau tidak pesimis dan tidak patah semangat. Untuk mencapai cita-citanya kembali ke medan perang, beliau di samping aktif berkoordinasi dengan petugas perubatan dalam perawatan, juga tekun berlatih. Mula-mula kerana tak dapat turun dari tempat tidur, beliau berlatih di atas katil agar kaki lukanya tidak kaku. Apabila lukanya baik sedikit, dengan dipapah oleh kawan lain beliau berlatih berjalan dengan tongkat. Dalam waktu yang singkat sahaja, beliau dapat berjalan sendiri dengan bertongkat.

Kalau pandai meniti buih, selamat badan ke seberang. Melalui perubatan teliti selama setengah tahun lebih, latihan gigih dan tabah, akhirnya beliau telah menepati janjinya. Beliau meninggalkan tongkat, lalu menggalas haversyek kecil dan kembali ke pos tempur dengan wajah yang baru sama sekali. Beliau sedapat mungkin melakukan pekerjaan menurut kemampuannya. (gambar kanan: seorang kawan yang terputus kedua tangannya menjadi guru membantu kawan-kawan belajar membaca dan menulis)

Yang disebut tadi bukan satu-satunya contoh yang terdapat dalam pasukan. Ada kawan yang berkata begini: apabila melihat pekerjaan dan kelahiran kawan-kawan yang cacat anggota, saudara akan tahu apa yang harus dilakukan dan bagaimana bekerja keras. Betapa tidak, kalau dapat melihat kelahiran perajurit-perajurit kita yang tabah itu, tentu saudara akan berlinangan air mata kerana terharu.

Pada suatu masa, kerana ramai kawan telah pergi melakukan pertempuran, pemunggahan dan pekerjaan yang lain, perajurit-perajurit yang cacat atau sakit tinggal bertanggungjawab melakukan semua kerja di dalam perkhemahan. Tanpa menghiraukan kecacatan dan penyakit, mereka tekun bekerja siang dan malam, dengan sekuat tenaga membantu garis depan.

Dalam perjalanan untuk meringankan bebanan kawan yang lain, kawan yang kudung kaki memasang seruas buluh sebagai kaki palsu dan berjalan sendiri, bahkan ada yang memasang kaki palsu buatan sendiri pergi berburu untuk membantu mengatasi masalah bekalan makanan pasukan. Dalam latihan tentera, sesetengah kawan yang berkaki palsu bersama kawan-kawan yang lain berlari dan melompat; dan ada kawan yang menggunakan senapang dengan sebelah tangan tapi tangkas menyelesaikan berbagai gerakan militer.

Apakah kawan-kawan tersebut tidak kerisauan? Ia, ada. Tidak boleh pergi bertempur, mengangkut barang dan menjayakan lebih banyak tugas kerja seperti kawan-kawan yang lain, inilah paling merisaukan mereka. Tapi mereka tahu bagaimana dengan tepat menghadapinya, dan tahu bagaimana terus menguasai arah kemajuan dalam perubahan khusus kehidupan sendiri.

Kecacatan tidak menghilangkan kemuliaan mereka sebagai perajurit rakyat, dan tidak juga dapat memadamkan semangat perjuangan mereka. Mereka memancarkan cahaya dan haba yang lebih terik untuk usaha pembebasan tanah air dan rakyat di pos perjuangan masing-masing. Mereka pernah dengan bangga berkata: kami telah luka, tetapi tidak cacat. Secara lebih tepat, anggota badan mereka telah cacat, tapi tekad revolusioner mereka sedikitpun tidak cacat. Inilah perajurit waja Tentera Rakyat Malaya. Mereka tertempa dalam kancah perang.

Bunga takkan segar selamanya, manusia takkan sihat sepanjang masa. Memang orang akan dijangkiti penyakit, apa lagi perajurit yang berpanas berhujan, tidur berembun beratapkan langit dan berjuang dengan susah payah bertahun-tahun lamanya di dalam hutan. Tapi ini semua sama seperti kesulitan yang lain, tidak dapat menakluki perajurit kita.

Suatu ketika, untuk membantu unit sesaudara, ramai kawan dari suatu pasukan telah keluar bertugas, hanya tinggal enam kawan yang sakit di perkhemahan. Mereka bukan saja harus memasak dan berkawal tetapi juga harus menyelesaikan satu tugas yang penting, iaitu mengisar tepung beras goreng untuk membantu kawan-kawan penempur di garis depan. Mereka mengisar tepung dengan sebuah kisaran batu kecil, muatannya terhad. Kalau isikan terlalu banyak beras, tepungnya kasar, tak sedap dimakan. Untuk membolehkan kawan-kawan penempur dapat makan tepung beras goreng yang sedap, mereka mengisi beras sedikit dan mengisar perlahan-lahan dari subuh sampai senja. Bila letih, mereka bergilir dan terus bekerja. Akhirnya mereka dapat membekalkan puluhan gantang tepung beras goreng untuk kawan-kawan seperjuangan di garis depan.

Seorang perajurit lama yang teruji dalam kancah perang berjangka panjang dihinggapi barah perut yang teruk, namun ia tetap dengan gigih berjuang terus di dalam pasukan penggempur. Organisasi parti berkali-kali hendak memindahkannya ke unit yang syarat perubatannya agai baik untuk dirawati, tapi dia tak dapat berangkat kerana pekerjaan. Namun demikian, dia langsung tidak bersungut dan tetap terus berjuang dan bekerja dengan semangat yang berkobar-kobar. Dengan ini dia telah memberi contoh teladan yang baik kepada kawan-kawan.

Kerana terpengaruh oleh kawan-kawan lama, kawan-kawan baru mengembangkan semangat yang gigih dalam melawan penyakit. Satu kali, lutut seorang perajurit muda tiba-tiba menjadi sakit sekali. Tapi dia merahsiakan sakitanya kerana hendak ikut bersama pasukan untuk bertempur. Dalam perjalanan pula, dia menggalas bebanan yang berat. Akibatnya sakitnya menjadi buruk, lututnya bengkak dan merah, sangat susah hendak berjalan. Namun dia tidak takut pada kesusahan dan kesakitan. Dengan dibantu oleh kawan-kawan dia terus berjalan dengan bertongkat dan telah menyertai beberapa pertempuran jaya.

Dalam barisan, tak terbilang contoh kawan-kawan yang meneruskan pekerjaan dalam keadaan uzur. Khasnya kawan-kawan lama yang mempertahankan perjuangan di dalam hutan selama dua, tiga puluh tahun, mana yang tak ada parut-parut luka dan idap-idapan. Namun mereka tetap mencurahkan seluruh daya usaha bekerja keras untuk revolusi dan rakyat. Dengan panduan dan pengaruh mereka, kawan-kawan muda yang kuat pula bekerja sedaya upaya. Memang jika dibandingkan dengan keadaan pada masa awal perang anti-British, syarat kesihatan dan perubatan pasukan di kawasan sempadan telah sangat diperbaiki, namun semangat yang berjuang dengan tak kenal susah dan tabah tetap dikembangkan terus dalam barisan kita. (gambar kiri: di basis sempadan, doktor sedang merawat kawan-kawan tua)

Categories

Pengikut