TRM: GARIS PEMUNGGAHAN


Pemunggahan boleh dikatakan salah satu tugas yang terpokok dalam pasukan. Barang-barang yang diperlukan pasukan semuanya harus harus dipunggah pulang oleh kawan-kawan. Di dalam hutan, semua kenderaan moden akan kalah berbanding dengan daya kedua belah kaki kawan-kawan. (gambar kiri: Para perajurit sedang mendaki bukit dengan membawa bebanan yang berat) Baik hujan beribut mahupun gunung tinggi dan lurah yang dalam, baik waktu siang atau waktu malam semuanya tidak dapat menghalangi perjalanan kawan-kawan kita.


Pada suatu masa, suatu pasukan telah melakukan pertempuran yang menang melawan kempen kepung basmi tentera musuh dan membela kawasan gerila. Terdorong oleh kemenangan tersebut, massa rakyat telah membelikan sejumlah besar bahan makanan dan barang-barang untuk tentera kita. Seunit kawan-kawan dari suatu pasukan telah ditugaskan untuk mengangkut dan menyimpan barang-barang tersebut.


Waktu itu, kempen kepung basmi tentera musuh masih berlangsung dengan sengitnya, bedilan meriam berdentam dentum, bunyi tembakan senapang bagai bertih digoreng. Dalam keadaan ini bukanlah suatu perkara yang mudah untuk menyelesaikan tugas pemunggahan dengan jaya. Tambahan pula waktu itu sering hujan, ini lebih menyulitkan kawan-kawan.


Unit pemunggah pula dibentuk dengan tidak cukup persiapan, guni galas dan karung plastik juga sangat kurang. Sedang kawan-kawan gelisah mencari ikhtiar, kawan-kawan dari pasukan sesaudara telah menghulurkan bantuan dengan penuh ikhlas. Mereka mengirimkan banyak karung plastik bahkan kain getah atap milik mereka sendiri pun disumbangkan.


Soal guni galas dan karung plastik mengangkut bahan makanan telah diatasi. Akan tetapi beras yang begitu banyak hendak diletak di mana? Seorang kawan mengusulkan supaya membuat kepuk sementara dari karung-karung plasltik. Berikutnya kawan-kawan bekerja keras menyiapkan kepuk menyimpan beras, ada yang menggergaji kayu, ada yang membela buluh, ada yang menjahit karung plastik dan lain-lain. Dalam waktu singkat, 2 kepuk besar yang memuat lebih kurang 700 gantang sudah siap dibuat dalam stor rahsia. Seterusnya kerja memunggah dijalankan dengan giat.


Apabila tiba di stor sementara, kawan-kawan tanpa lengah-lengah lalgi mengisi barang dan ada yang mengikat. Setiap orang membawa sekarung besar, sekurang-kurangnya 60 kilo, ada yang sampai 90 kilo bahkan ada yang sampai 100 kilo. Kawan-kawan wanita juga tidak mahu ketinggalan, ada di antara mereka yang galasnya seberat 70 kilo. Bila semua sudah beres, kawan-kawan menggalas beban yang berat tadi mendaki gunung mengharungi sungai balik ke perkhemahan atau stor rahsia.


Bebanan perajurit ini tak kurang dari 70 kg


Kerana terdorong semboyan tempur “kejar waktu dan kecepatan, pasti mendahului musuh”, kawan-kawan tidak takut susah dan letih, merempuh hujan ribut dan merencah denai yang becak, sehari demi sehari memunggah bahan perbekalan. Ramai di antara mereka diserang selesema kerana berhari-hari terkena hujan dan keletihan, tapi tiada seorang pun yang mahu meminta cuti sakit.


Kawan penanggungjawab mengetahui keadaan itu lalu menasihatkan mereka berehat sehari, tapi mereka enggan. Mereka tetap memunggah bahan perbekalan bersama kawan-kawan lain.


Kerja pemunggahan dijalankan serentak dengan penyimpanan. Untuk secepat mungkin menyimpan bahan makanan yang dipunggah balik, kawan-kawan bekerja dengan kencang. Untuk menjamin supaya barang-barang yang disimpan itu tahan lama, bahan itu harus dimasukkan ke dalam tin yang bersih dan sempurna. Di bahagian luar tin pula harus disapu damar supaya tidak berkarat dan tidak masuk angin.


Membuat tin pula harus mengeluarkan bunyi yang bising yang membolehkan tentera musuh mengetahui kedudukan pasukan kita. Oleh itu kawan-kawan yang bertugas membuat tin setiap hari masuk terowong membentuk kepingan zin menjadi tin.


Kawan-kawan lain pula dibahagikan kepada gerup-gerup kecil mengumpulkan tin-tin lama, mencari damar, memasak damar, menyapu damar dan sebagainya secara kencang siang dan malam.


Kawan-kawan memasak nasi ketika berehat waktu petang


Kawan-kawan yang menyimpan barang-barang pula sentiasa menyimpan dengan berhati-hati agar barang tahan lama. Mereka memunggah barang-barang itu ke tempat yang telah ditetapkan oleh markas pengarah, menggali lubang dalam tanah dan menyimpan satu demi satu secara teratur. Kemudian lubang itu disamar supaya tidak diketahui oleh musuh.


Demikianlah suatu proses dari memunggah sehingga menyimpan perbekalan dilakukan secara kencang oleh suatu pasukan TRM di tengah-tengah kempen kepung basmi tentera musuh. Dalam perang gerila, segala kemungkinan boleh berlaku. Walaupun barang-barang itu sudah dihadiahkan oleh massa kepada pasukan TRM, tetapi sewaktu-waktu ia boleh dirampas pula oleh tentera musuh jika tidak dipunggah dan disimpan secepat mungkin.

Kerja pemunggahan dalam jangka lama bukan saja menempa ideologi dan tekad para perajurit, tetapi juga telah menempa tubuh badan mereka. Hasilnya, kaki dan bahu setiap kawan menjadi kuat dan tahan lasak. Baik kawan lelaki dan kawan wanita, daya menggalas dan menahan berat amat menakjubkan.

---

artikel terkait

TRM: REGU UTUSAN DALAM HUTAN

TRM: DEMI RAKAN SEPERJUANGAN

PUISI PERAJURIT: PERTEMPURAN DI SUNGAI SEKAM

LONGMACH REJIMEN KE-10: PENGASAS BASIS SEMPADAN

LONGMACH REJIMEN KE-10: MAKAN BUAH-BUAHAN HUTAN DAN SAYURAN LIAR

LONGMACH REJIMEN KE-10: SERANGAN UDARA TERBESAR DI ULU KINTA

JIKALAU KITA MERDEKA

LONGMACH REJIMEN KE-10: PERAJURIT 3 BANGSA BERGANDING BAHU

LONGMACH REJIMEN KE-10: BERGAUL DENGAN MASSA ORANG ASLI

LONGMACH REJIMEN 10:PEJABAT SEMENTARA DI PERAK

LONGMACH REJIMEN KE-10: SAMBUTAN ORANG ASLI CAMERON HIGHLANDS

LONGMACH REJIMEN KE-10: PERISTIWA DI SUNGAI JELAI

LONGMARCH REJIMEN KE-10: BABAK PERTAMA PERJALANAN

MACH GERILA WANITA

KISAH BENAR: MATI HIDUP SEMULA

PASUKAN HANG JEBAT REJIMEN KE-10

RAKAN SEPERJUANGANKU SAUDARA ORANG ASLI

terkena serang hendap askar upahan penjajah

abu samah: 2 lawan 120

oh mariana: lagu perjuangan

berkenaan video selamat hari raya

video selamat hari raya aidiladha

perjalanan militan yang cemerlang

pasukan india

kau bukan musuh ku

wasiat keramat







Categories

Pengikut