TRM: DEMI RAKAN SEPERJUANGAN


Dalam keluarga besar revolusioner, para kader dan perajurit Tentera Rakyat Malaya yang hidup dan berjuang bersama-sama dengan cita-cita yang sama saling memperhatikan, saling bantu membantu dan bersatu padu. Hubungan mereka lebih akrab dari saudara sekandung.


Untuk mempertahankan kawasan gerila dan keutuhan pasukan, setiap pasukan, baik pasukan besar mahupun unit kecil akan memasang periuk api. Berbagai unit atau pasukan akan menentukan kawasan periuk api masing-masing. Kadang-kadang, untuk memudahkan pergerakan, pasukan-pasukan ini akan menghantar rombongan masing-masing memasang periuk api secara bersama-sama. Mana-mana pasukan yang perlu melalui kawasan periuk api pasukan lain haruslah memberitahu terlebih dahulu.


Suatu kali, kawan-kawan dari pasukan sesaudara hendak memasuki kawasan yang ditanam periuk api oleh unit suatu pasukan lain. Setelah memberitahu hal ini kepada unit berkenaan melalui kawat wayarles mereka pun bertolak. Tapi ada beberapa periuk api yang baru dipasang di kawasan laluan kawan-kawan tersebut yang tidak diketahui mereka.


Keadaan seperti telur di hujung tanduk. Kawan penanggungjawab unit tersebut amat gelisah. Beliau segera mendapatkan kawan yang tahu periuk api di situ untuk melakukan langkah-langkah mendesak bagi menjamin keselamatan nyawa kawan-kawan dari pasukan sesaudara. Kebetulan pula kawan yang bertugas memasang periuk api di kawasan itu sedang mengalami demam panas yang tinggi. Tapi bila mengetahui berita ini, dia mengenepikan sakitnya. Dia dengan tegas meminta 2 kawan bersamanya untuk pergi membongkar periuk api tersebut.


Sepanjang perjalanan melalui sungai lurah bukit bukau dan gunung ganang itu, 3 kawan tadi tak berhenti berehat sedikit pun demi mengejar masa. Akhirnya mereka sempat membongkar periuk api itu sebelum rakan seperjuangan pasukan sesaudara melalui kawasan tersebut sehigga kemalangan dapat dihindarkan.


Satu kali, tentera Malaysia mengadakan kempen kepung basmi besar-besaran ke atas suatu pasukan Penggempur Tentera Rakyat Malaya . Kerana itu keadaan menjadi tegang. Suatu unit dari pasukan penggempur sangat kekurangan bahan makanan. Mereka terpaksa mengisi perut dengan sayuran liar dan ubi-ubian. Namun demikian mereka tetap bersemangat tinggi dan meneruskan perjuangan.


Kebetulan ketika itu ada seorang kader veteran yang sudah berumur mendapat sakit. Kerana prihatin kepadanya, kawan-kawan pasukan itu khusus memberikannya beberapa tin daging sardin untuknya. Tapi memikirkan kawan-kawan lain yang menderita kelaparan, kawan kader tersebut tidak sampai hati menerima. Beliau menuntut supaya makanan itu diberikan kepada kawan-kawan lain yang bekerja keras dan bertempur di garis depan.


Walau bagaimanapun kawan-kawan berpendapat daging tin itu harus diserahkan kepada kader tersebut kerana dia sedang sakit dan usianya juga sudah lanjut. Kawan-kawan tetap mahu kader tersebut menerimanya.


Kerana tidak mahu bertegang leher, kader tersebut terpaksa akur dengan kehendak kawan-kawan. Tapi seorang kader revolusioner yang benar-benar berjuang untuk rakyat tidak akan mementingkan dirinya sendiri. Mereka adalah pengabdi rakyat, bukan menjadi penguasa yang mengaut keuntungan sendiri di atas duka dan titik peluh rakyat.


Bertolak dari hasrat itulah, kader tersebut secara diam-diam membuka kesemua daging tin itu. Kemudian beliau secara curi-curi memasukkan daging tersebut ke dalam periuk besar yang sedang memasak sayuran liar untuk dinikmati bersama oleh seluruh kawan-kawan.


Perkara seperti ini sentiasa berlaku di dalam keluarga besar revolusioner di berbagai unit Pasukan Tentera Rakyat Malaya. Di medan perang, bila menghadapi keadaan yang bahaya, kawan seperjuangan yang menderita luka-luka menyuruh kawan-kawan meninggalkannya demi keselamatan kawan lain. Akan tetapi kawan-kawan lain pula bertolak di atas rasa persaudaraan sekelas yang tebal mendalam dengan tegas menjawab: asalkan masih ada seorang, kami sekali-kali tidak akan meninggalkan rakan seperjuangan.


Di garis pengangkutan atau di garis perjalanan utusan di dalam hutan, walaupun haversek yang digalas kawan-kawan sangat berat, namun jika ada kawan yang tidak berdaya berjalan atau jika terdapat kawan yang sakit, terkena ular-ular dan sebagainya, kawan-kawan lain akan membantu membawa barang yang digalasnya. Kadang-kadang barang-barang kawan tersebut dibahagikan sedikit seorang supaya bebannya dapat diringankan.

kerja sangat sibuk, kawan kader selalu mengatur pegawalan waktu malam dan kerja yang paling susah untuk dirinya sendiri, sedangkan kawan-kawan selalu dengan diam-diam terlebih dahulu mengerjakan tugas itu.


Apabila seorang kawan jatuh sakit, kawan-kawan lain akan membawa nasi, sayur dan minuman untuknya. Pakaian yang disalinnya juga diambil oleh kawan-kawan untuk dicuci bahkan kotorannya pun dibuang oleh kawan-kawan. Pendek kata, kawan-kawan dengan sedar dan ghairah membantunya membereskan semua urusan.


Dalam kehidupan bersama, kawan lama yang teruji dalam perang revolusioner berjangka panjang akan dengan ghairah membimbing dan membantu perajurit yang muda; sementara perajurit yang muda dengan tulus ikhlas dan rendah hati belajar dari kawan-kawan yang lama.


Kawan-kawan berbagai bangsa yang hidup bersama saling mempelajari, saling bantu membantu, karib seperti saudara sekandung. Dalam barisan, hubungan di kalangan kawan-kawan dan antara kader dan perajurit sangat mesra. Demikian pula antara berbagai unit sesaudara. Apabila suatu unit menghadapi apa-apa kesulitan, maka unit-unit yang lain akan dengan sekuat tenaga memberi bantuan tanpa mementingkan diri sendiri.


Pendek kata, dalam barisan revolusioner setiasa diliputi semangat persaudaraan sekelas dan bekerjasama dengan akrab. Dalam keadaan bagaimana sekalipun kawan-kawan semuanya akan secara sedar memikir dan membantu kawan seperjuangan bahkan tanpa ragu-ragu mengorbankan segala-gala sesuatu milik sendiri untuk kawan seperjuangan.

Categories

Pengikut