TENTERA SUKARELA MENENTANG JEPUN DI SINGAPURA

pasukan TAJRM

Fasis Jepun telah mencetuskan Perang Pasifik, dengan serentak melancarkan serangan kilat terhadap Pelabuhan Mutiara di Kepulauan Hawai, Amerika Syarikat dan juga menceroboh Filipina dan lain-lain. Pada 8 Disember tahun 1941, Fasis Jepun menceroboh Malaya.

Pada subuh-subuh 8 Disember, tentera Jepun telah mendarat di pantai Sabak dekat Kota Baharu, Kelantan di bahagian timur laut Malaya. Di samping itu, kaum fasis Jepun mengerahkan tentera udaranya mengebom Singapura secara besar-besaran. Tak sampai satu bulan, Kuala Lumpur jatuh ke tangan Jepun iaitu pada 5 Januari 1942. Pada 31 Januari, Tambak Johor diletup musnah oleh pihak British. Pada 15 Februari, seramai 150 ribu tentera British telah mengangkat bendera putih menyerah diri kepada fasis Jepun. Fasis Jepun telah menduduki Malaya.

Bertolak daripada nalurinya yang anti-komunis dan anti-rakyat, kaum imperialis British tak mahu membangkitkan rakyat untuk melakukan perlawanan terhadap fasis Jepun. PKM berkali-kali memberikan cadangan supaya mengerahkan massa rakyat, bersama-sama dengan kerajaan British melawan pencerobohan Jepun. Tetapi penjajah British pada mulanya tak mahu menerima cadangan tersebut.

Tetapi PKM terus-menerus berunding, sehingga penjajah British akhirnya terpaksa menyetujuinya. Penjajah British membebaskan hampir 200 orang tahanan politik dan mengadakan Sekolah Latihan Khas 101 yang dikelolakan oleh pihak berkuasa tentera British. PKM telah menghantar empat kumpulan kader berjumlah seratus orang lebih menerima latihan. Satu gerup diberi tempoh latihan selama 10 hari sahaja. Walaupun waktunya sangat singkat, pengetahuan ketenteraan yang diperolehi dari latihan itu sangat berguna bagi melancarkan perjuangan bersenjata anti-Jepun.

Ketika fasis Jepun melakukan pencerobohan ke atas Malaya, PKM telah mengeluarkan seruan tempur menyeru rakyat semua kaum supaya segera bertindak mengangkat senjata untuk melancarkan perang gerila melawan fasis Jepun. Dengan demikian, di berbagai-bagai tempat telah didirikan pasukan gerila seperti kawalan kampung dan lain-lain. Mereka menggunakan senapang patah, parang, tombak dan lain-lain untuk melawan fasis Jepun.

Dalam masa yang sama PKM telah mengambil kesempatan itu bergerak secara terbuka di Singapura, mengeluarkan seruan-seruan untuk menggerak dan menyusun massa menyertai front persatuan anti-Jepun dan mendirikan pasukan sukarela untuk mempertahankan Singapura. PKM juga membentuk Jawatankuasa Kerahan Umum yang dianggotai oleh rakyat Singapura dari berbagai lapisan, dipimpin seorang wakil PKM, Lin Chiang Shi. Beliau adalah anggota Jawatankuasa Pusat yang baru dibebaskan dari penjara penjajah British di Singapura. Beliau memainkan peranan penting dalam Jawatankuasa Kerahan Umum dan juga sebagai ketua Pasukan Sukarela Singapura. Setiap hari Lin Chiang Shi mengeluarkan seruan-seruan dan ucapan-ucapan kepada seluruh masyarakat. Ucapan-ucapan tersebut disiarkan di dalam surat khabar. Pada masa itu surat khabar-surat khabar Singapura banyak menyiarkan ucapan-ucapan wakil PKM, pengaruhnya sangat tinggi di kalangan massa Singapura. Orang ramai yang menceburkan diri ke dalam Tentera Sukarela berjumlah beberapa ribu orang.

Di bawah pimpinan Lin Chiang Shi, Tentera Sukarela telah melakukan pertempuran-pertempuran yang gagah perwira. Sepanjang proses kemaraan tentera fasis Jepun dari Kuala Lumpur ke Singapura, tentera British jarang melakukan perlawanan. Tapi di Singapura, tentera fasis Jepun menghadapi tentangan yang hebat dari Tentera Sukarela. Pertempuran di Bukit Timah memberikan pemberangsangan yang besar kepada massa rakyat dan menggemparkan fasis Jepun. Dalam pertempuran itu, Tentera Sukarela telah memberikan hentaman yang teruk ke atas fasis Jepun dan menawan sejumlah tentera fasis Jepun. Ini adalah hentaman teruk pertama yang dialami fasis Jepun setelah mereka menceroboh Malaya.
---
dipetik dari Memoir Suriani Abdullah: Setengah Abad Dalam Perjuangan, terbitan SIRD, 2006

Categories

Pengikut