PERJALANAN SEORANG ANAK KELUARGA REVOLUSIONER


Sejarah Politik saya penuh dengan liku dan warna-warni, yang elok, yang buruk, untuk ingatan terakhir

oleh Suhaimi bin Said


Saya dilahirkan di Kg Lubok Kawah, Temerloh, Pahang pada 8.12.1944. Ayah saya adalah seorang pejuang didalam Angkatan Pemuda Insaf, sayap Pemuda kepada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Kg Lubok Kawah adalah sebuah kampong rebolusi, penduduknya adalah pejuang-pejuang kebangsaan menuntut kemerdekaan Tanah Air.

Kampong ini diisytihar kawasan hitam oleh Kerajaan Inggeris kerana kesemua penduduknya kecuali yang mempunyai anak kecil menyertai PKMM, API dan AWAS.

Kampong ini juga adalah kampong tempat pengajian, perkampongan pondok yang utama di Negeri Pahang, dan Tuan Gurunya yang kami kenali sebagai Tok Ayah, mempunyai pandangan progresif memperjuangkan kemerdekaan Tanah Air dan anaknya sendiri, Haji Ibrahim bin Abdul Rahman adalah seorang pejuang API.

Ayah saya bersama dengan puluhan anak-anak muda Kg Lubok Kawah telah ditahan oleh Inggeris dan mereka merengkok didalam Kem-Kem Tahanan Inggeris di Morib dan Batu Gajah dan hanya bebas dari tahanan menjelang Kemerdekaan Malaya.

Penduduk kampong ini yang sudah tua, termasuklah datuk dan nenek saya, dan wanita yang mempunyai anak-anak kecil, seperti ibu saya terpaksa berpindah randah dari satu kampong ke satu kampong, membawa kami ke Kg Bangau, Kg Batu Papan, Kg Padang Tenggala, Kg Chatin, Kg Penak dan Kg Berhala Gantang, dan hanya dapat kembali ke Kg Lubok Kawah menjelang Hari Merdeka bilamana kampong kami diisytiharkan Kawasan Putih kembali, dan diwaktu itulah ayah saya dibebaskan dari tahanan, dan beliau tidak dibenarkan pulang ke Lubok Kawah, dan kami berpindah ke Temerloh, Pahang, duduk mendiami Rumah Rakit, di mana ayah saya bekerja sebagai Tukang Masak di Restoran Kedai Makan International dan nenek saya berjual barang-barang kampong di sekitar bandar Temerloh, manakala datuk saya, seorang pencen guru agama, mengajar Quraan kepada penduduk sekitar Kuala Semantan.

Saya, abang saya dan pupu saya yang tinggal bersama bersekolah di Sekolah Melayu Bandar Temerloh, yang terkenal sebagai Sekolah Lanjut (kerana disana terdapat sebatang pokok lanjut yang besar).

Setelah mendapat berita bahawa Ibu Saudara saya (adik kepada emak saya) dan Pak Itam saya (suami kepada Ibu Saudara saya) mereka akan bebas dari Tahanan Politik Inggeris, ayah dan datuk saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Berhala Gantang (kampong asal datuk saya) agar keluarga kami dan keluarga Ibu Saudara saya dapat tinggal serumah.

Ibu Saudara saya, Mak Itam Zauyah (adalah salah seorang ketua Awas) dan Pak Itam saya Abdul Rahman Md Noor adalah salah seorang pejuang API yang kemudiannya menjadi salah seorang anggota Regimen ke-10.

Diantara anggota keluarga saya yang mati digantung oleh Inggeris adalah Omar Mat Amin, yang mati ditembak oleh askar-askar upahan Inggeris, ialah Pokde Uda(Uda Haji Ismail (adik ayah saya), Ayahcik Tar (Mokhtar Haji Ibrahim), adik emak saya, dan diantara yang ditahan didalam Tahanan Kem-Kem Tahanan Inggeris adalah Abg Hashim Idris (masih hidup), Abg Yaakob (meninggal), Abang Kadir (masih hidup tapi sangat uzur), Mak Ngah Minah (sudah meninggal), Abang Manap (sudah meninggal), Abang Samah (sudah meninggal), dan puluhan yang lain yang tak dapat saya sebutkan satu persatu, mereka itu samada adik beradik ayah saya, atau adik beradik emak saya, atau pupu saya sebelah ayah saya dan pupu saya sebelah emak saya.

Ada beberapa pejuang yang menyertai Regimen ke-10 yang masih hidup iaiatu Embong Miah (anak kepada Makngah Minah) dan Embong Maryam (adik kepada Abang Hashim) yang sekarang ini masih berada di perkampongan di Selatan Thai.

Ayah saya, Pak Itam saya, dan pupu-pupu saya yang diketuai oleh Allahyarham Abu Samah Mat Amin menyertai Parti Rakyat Malaya yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan kampong-kampong Melayu di Temerloh yang menjadi kawasan terkuat parti itu adalah Kg Batu, Kg Tg Batu, Kg Lebak, Kg Pangsenam, Kg Buntut Pulau, Kg Paya Luas, Kg Batu 4, Jalan Maran, Kg Paya Kecik, Kg Tualang, dan didalam pilihanraya-pilihanraya untuk DUN Semantan, PRM pada waktu itu hanya kalah dengan bilangan yang kecil sahaja, Abu Samah hanya kalah 120 undi sahaja dikalahkan oleh calon Perikatan Datuk Awang Ngah Ibrahim di DUN Semantan.



Ideologi Marhaen (iaitu ideologi perjuangan untuk kaum boroh, petani dan golongan yang berpendapatan kecil) menjadi anutan ideologi saya, dan saya tetap berpegang kepada ideologi itu walaupun saya pernah berpindah randah dari satu parti politik kepada satu politik yang lain. Saya adalah seorang marhaenis.



Datuk saya adalah seorang bekas guru agama dan beliau adalah pakar didalam ilmu tajwid, beliau berpondok di Kelantan sehingga berbelas tahun, dan apabila kembali dari Kelantan, beliau menjadi seorang guru agama di sekolah-sekolah Melayu sehinggalah beliau pencen. Maka di rumah keluarga saya samada di Lubok Kawah, di Kuala Semantan mahupun di Berhala Gantang, akan sentiasa penuh dengan anak-anak murid yang belajar mengaji Al-Quraan. Dan saya mengambil peluang itu untuk mengaji bersama dan semasa saya darjah 3 sekolah Melayu, saya sudah khattam Al-Quraan, dan menjadi tenaga pengajar kepada kanak-kanak yang baru nak membaca Al-Quraan.



Pada tahun 1958, saya masuk Abu Bakar School didalam Remove Class, suatu darjah peralihan dari berbagai aliran sekolah Melayu, Cina dan Tamil ke sekolah Inggeris. Pada tahun 1963, kami mengambil perperiksaan Overseas School Certificate dan Alhamdulillah kesemua kami daripada Remove Class telah mencapai pencapaian baik dan hampir kesemua dari kami dapat melanjutkan pelajaran hinggalah ke universiti-universiti tempatan dan luar negara, dan saya sendiri melanjutkan pelajaran ke London.



Semasa di bangku sekolah (Abu Bakar School) saya terlibat membantu calon Parti Rakyat Malaya dan gabungannya Parti Boroh Malaya (Socialist Front) didalam beberapa Pilihanraya Umum. Sebagai kanak-kanak saya mengepalai rakan-rakan sekolah saya (unit berbasikal) dengan menampalkan poster-poster untuk Socialist Front. Semasa Pak Sako menjadi calon di kawasan Parlimen Temerloh, saya ambil cuti bersekolah hampir lebih 2 bulan, dan saya mengikut Pak Sako menjalankan kempennya.



Pak Sako kalah kecil sahaja iaitu dalam lingkungan 1000 undi sahaja di Parlimen Temerloh. Dan selepas itu saya kembali semuala ke sekolah. Guru Besar sekolah, Sivapakiam, betul-betul marah kepada saya, saya ditempeleng beberapa kali, dan saya diberikan public canning. Tetapi selepas itu, dia pujuk saya kembali dengan berkata:"Boy, you are too young to be involved in politics, I want you to study, I want you to get through your exam, and with good education, you can involve yourself in politics." Selepas hari itu, dia sentiasa memerhatikan saya.




... baca selengkapnya di sini

2 ulasan

blog ini sangat aktif.syabas!

Reply

Salam,

Saya pernah berjumpa dengan Sdr.Suhaimi Said pada tahun 1982 yang lalu,ketika saya membuat kajian tentang politik Temerloh dan Pahang (untuk buku saya "Paya Jejawi"). Beliau banyak memberi informasi tentang Kg. Lubuk Kawah dan penglibatan penduduk Lubuk Kawah dalam perjuangan kemerdekaan.

Meskipun saya tidak berjumpa lagi dengan beliau selepas itu, kecuali sekali pada tahun 2004, kerjasama dan pertolongan beliau sentiasa dalam ingatan.

Kepada beliau, saya ucapkan selamat berjuang.

Reply

Categories

Pengikut