PELANCARAN MEMOIR ABDULLAH C.D. (EDISI TIONGHUA)

Pejuang Karang Buku Huraikan Sejarah Kita
MEMOIR PENGERUSI PKM (edisi bahasa Tionghua) DILANCAR HARI INI


(Diterjemah dari Merdeka Review - 19 Jun 2010 11:08:38 pm)

Indra Jaya @ Anas dari Kampung Puteri Chulabhorn Ke-12 di Thai Selatan menyatakan bahawa maksud Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) menulis memoirnya ialah menghuraikan pandangan beliau terhadap perjuangan PKM di masa lampau. “Mereka bukan sahaja saksi sejarah, tetapi juga adalah tokoh-tokoh penting dalam sejarah tersebut,” tambahnya lagi.

Dalam upacara pelancaran Memoir Abdullah C.D. (edisi bahasa Tionghua) hari ini di Dewan Persatuan Cina Selangor-Kuala Lumpur, Indra Jaya (tengah, gambar kanan) menyatakan bahawa Abdullah C.D. telah mulai merangka penulisan memoirnya sejak tahun 1990-1991 lagi, iaitu tak lama setelah Perjanjian Damai Hadyai ditandatangani.

Katanya lagi, “Dari mana kemerdekaan diperolehi? Hasil perjuangan ataupun dikurniakan oleh kaum penajah? Ini adalah masalah yang amat penting. Jika kita perhatikan Tugu Negara sekarang ini, maka kita akan mendapati bahawa apa yang dipijak ialah orang komunis. Maka kita boleh memahami yang kemerdekaan itu seolah-olah diperolehi setelah komunis dikalahkan, bukannya direbut dari tangan orang British.”

“Semasa perundingan damai, rombongan pihak kita pernah mengemukakan masalah penting ini, dan secara khusus menuntut supaya Tugu Negara diubah. Rombongan kita telah mengemukakan masalah ini secara tajam. Pihak (kerajaan) Malaysia akhirnya mengakui sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan. Selain itu mereka juga bersetuju bahawa masalah sejarah patut diselesaikan oleh para ahli sejarah, tanpa campurtangan kerajaan.”

Menggunakan Masa Bertahun-tahun

Indra Jaya menerangkan, berdasarkan sebab-sebab itulah Abdullah C.D. menghuraikan pandangannya terhadap sejarah-sejarah yang lampau melalui memoirnya. Bagaimanapun, prosesnya cukup lama. Jilid pertama edisi bahasa Melayu memoirnya selesai ditulis pada tahun 2005, jilid ke-2 pada tahun 2007 dan jilid ke-3 pada tahun 2009. Semua memoir itu diterjemahkan oleh Afandi (Chou Thong).

Indra Jaya yang juga menantu Abdullah C.D. juga berkata, oleh kerana Abdullah C.D. pernah terkena racun pada masa perjuangan, sebahagian otaknya terganggu, walaupun ingatannya masih tetap amat kuat, tapi fungsi pertuturannya terganggu. Akibatnya, kawan yang bertugas mencatit percakapannya selalu tidak dapat menangkap maksud yang diutarakannya. Banyak masa terpaksa digunakan untuk membaiki kesilapan pencatit, dan kecepatan penulisan sentiasa tergendala.

Tambahnya lagi, “Setelah pemimpin kami menulis memoir-memoir mereka, muncullah sesetengah orang yang mengatakan penulis-penulis memoir itu bukan orang professional, bukan sarjana dan sebagainya lagi. Akan tetapi, saya ingin memberitahu orang-orang tersebut bahawa mereka adalah saksi sejarah dan tokoh-tokoh penting dalam sejarah tersebut.”

Dia juga membocorkan bahawa kesihatan Abdullah C.D. setakat ini masih cukup baik. Kehidupan sehari-harinya amat teratur. Bangun pada setiap pukul 5-6 pagi, kemudian bersukan dan berjoging. Seleranya pun cukup baik. Sekarang ini beliau berusaha 87-88 tahun.

Semasa salah seorang peserta pelancaran memoir bertanya apakah Setiausaha Agung PKM Chen Ping masih memelihara perhubungan dengan Abdullah C.D., Indra Jaya menjawab sambil tersenyum, “Sudah tentu. Tapi kebanyakan komunikasi itu dilakukan melalui para pembantu mereka. Usia mereka sudah lanjut, jadi kadang-kala menghadapi masalah semasa bertelefon.”

Semasa menceritakan kehidupan di Kampung Puteri Chulabhorn Ke-12, Indra Jaya berkata, oleh kerana sebab-sebab tertentu, kampungnya lambat di segi penerokaan tanah pada awal pembangunan kampung berbanding dengan 3 buah kampung yang lain, sehingga tanaman-tanaman pun lambat mengeluarkan hasil, bagaimanapun kehidupan para penduduk kampung tetap memperolehi perbaikan dari tahun ke tahun.

Penterjemah: Satu Lagi Buku Sejarah Penting

Manakala penterjemah memoir Afandi (Chou Thong) pula menyatakan bahawa ketiga-tiga jilid Memoir Abdullah C.D. itu adalah satu lagi buku sejarah penting berikutan My Side of History dari Chen Ping. Kedua-duanya adalah dokumen sejarah yang berharga.

Afandi mempertikaikan bahawa pihak berkuasa telah mengebiri sejarah: pejuang kemerdekaan difitnah menjadi pengganas dan sejarah yang serius dijadikan “gadis yang boleh disolek sesuka hati”.

Afandi (sebelah kanan gambar) menyatakan, pihak British mengatakan dialah yang mengurniakan kemerdekaan kepada negara kita. UMNO pula mengatakan merekalah yang meminta kemerdekaan dari British. Namun, generasi baru sekarang telah pun merasa muak terhadap perbuatan yang menyanjung dirinya itu. “Ahli sejarah mesti memiliki fikiran kemanusiaan, menggunakan sejarah yang tepat untuk membimbing negara,” “dengan demikian barulah negara kita tidak akan menjadi porak peranda seperti Afghanistan dan sebagainya.”

Dia juga mengkritik kaum penjajah yang memomokan PKM, kononnya PKM parti orang Cina, pengganas dan menentang agama. “Siasah ini telah memperdayakan banyak orang. Oleh yang demikian, tidak hairanlah ramai yang menyimpan salah faham terhadap PKM.”

Katanya, Memoir Abdullah C.D. boleh memberikan jawaban yang tepat terhadap semua persoalan dan kemusykilan itu. Didirikannya Rejimen Ke-10 membuktikan sepenuhnya betapa PKM mengambil berat kerja Melayu.

Manakala Chong Ton Sin, pengacara pelancaraan buku itu pula mengingatkan bahawa hari ini pada 62 tahun yang lalu ialah hari di mana kerajaan penjajah British mengisytiharkan berkuatkuasanya Undang-Undang Darurat. Manakala esok 62 tahun yang lampau, adalah hari di mana PKM mengisytiharkan perjuangan anti penjajah. Oleh kerana itu, upacara pelancaran kali ini mempunyai erti yang amat luar biasa.

Upacara pelancaran Memoir Abdullah C.D. yang disertai oleh kira-kira 200 orang hadirin ini diselenggarakan bersama oleh Penerbitan Abad Ke-21, Strategic Information and Research Development Centre (SIRD), Persatuan Persahabatan Phonix Malaysia dan Persatuan Persahabatan Sahabat Lama Selangor-Kuala Lumpur. Salah seorang hadirin pula mengusulkan pengumpulan wang derma untuk pengurusan muzium di Kampung Puteri Chulabhorn Ke-12.

---
artikel asal:

斗争者书写为阐述我方历 史 马共主席中文回忆录今推介

(http://www.merdekareview.com/news/n/13827.html

---
posting terkait

Categories

Pengikut