NELAYAN TUA

nasir psm


Aku berjalan kaki ayam di tepian pantai. Slipper terpacak di belakang ku. Menguit-nguitkan kaki ku yang basah. Cuba melepaskan segumpalan pasir lembab yang terselit di jejari kaki. Aku bersendirian. Cuba mengupas nasib ku yang malang ini. Kerana sudah ditinggalkan kekasih. Mungkin juga kesilapan ku … kesalahan ku. Asyik kesana, kemari, memertabatkan seni. Mungkin juga kekasih ku sudah jumpa pengganti. Sebab itulah dia bersikap kasar, memarahi aku tidak tentu pasal, ingin bergaduh dengan aku. Begitulah. Putus kasih sungguh lumrah dalam dunia yang mementingkan wang dan glamor. Namun aku tetap aku. Tetap miskin. Membawa diri mencari halatuju.

Sang suria sudah pun mengisytiharkan kehadirannya. Ingin membakar embun-embun pagi. Aku tidak sedar, aku menjelajahi kedinginan malam. Mungkin sudah menjejaki berpuluh-puluh kilometer. Rasanya taklah begitu … takkanlah sejauh itu. Namun sedap membuat akuan sebegini. Capek juga dibuatnya. Lutut-lutut pun sudah longgar dan berlaga-laga sesama sendiri. Entah berapa batang rokok sudah aku sedut. Tidak sedar, bara rokok gugur begitu saja bila sampai ke permukaan ‘filter’. Ingin memanaskan badan dengan asap rokok dan menghalau nyamuk liar pada malam hari. Tidaklah benar alasan ku itu. Aku memang kaki rokok. Bukan tak boleh berhenti … tak mau aje ! Ha ha hah ! Masih kedengaran gelak ketawa kawan-kawan ku terhadap logik bodoh ku itu. Biank pi lah, asalkan aku bahagia.

Aku terpandang seorang tua nun jauh di sana. Tengah membelek-belek pukatnya. Berserban dan bersebelahan sampan yang seusia dengannya. Aku rasa dia ni sudah tua kerana segala gerak-gerinya ‘slow’ aje. Tidak terburu-buru. Tidak terikat dengan budaya bandar yang berkejar-kejaran melawan masa …. mengejar masa. Aku menghampirinya. Yakin bahawasanya dia ni tidaklah sebegitu tua. Mungkin sudah berpuluh tahun dibedil sinaran matahari, dimamah lautan masin hingga menggecut dan menggelapkan seluruh tubuh badannya. Sudah bongkok sedikit.

Asyik membelek jaring pukatnya. Rokok gulungnya yang melepaskan kepulan asap itu tetap tercuit di sudut bibirnya. Kemerahan api rokoknya sungguh ketara sekali. Pasti ada rokok ‘spare’ di celah telinganya. Aku sudah membuat ramalan. Dia sibuk mencari benang-benang yang putus dan membakarnya dengan bara rokok gulung. Dia tidak dengar ketibaan ku ini. Dia pekak agaknya ataupun dia tidak peduli. Mungkin banyak sangat orang lalu lalang di depan dan belakangnya. Semua membawa diri dengan cerita masing-masing.

‘ Assalamu’alaikum Pak Cik ’

Aku memberi salam. Nelayan ini tidak menyambut salam ku. Aku serba salah. Mungkin dia bukan orang Islam.

‘ ASSALAMU’ALAIKUM …. PAK CIK ’

Aku kuatkan suara dan tabahkan hati. Kalau silap … aku rela meminta maaf.

Dia menoleh ke arah aku lalu menyambut salam ku. Yang aku dengar adalah perkataan ‘salam’ dipenghujung suaranya. Dia tersengih mendedahkan giginya yang sudah pun dilapah zaman. Mungkin ada dua tiga batang gigi yang duduk bersendirian menjadi tiang-tiang mulutnya. Rokok gulungnya tidak jatuh. Tetap terlekat di pinggiran bibir. Asap berkepulan. Dia terus buat kerjanya.

‘ Pak Cik … apa khabar ’

‘ Baik nak (anak) ’

Mengangguk-angguk kepalanya secara spontan dan tangannya masih membelek jaring pukat. Cuba mencari lubang-lubang yang harus dibenangkan.

‘ Nampaknya cuaca baik hari ini, Pak Cik ’

Walaupun kemesraan belum dimeterikan lagi, namun aku ingin berbual dengan orang tua ini.

‘ Betul nak (anak) ’

Dia mengangguk kepala. Mengambil masa menjawab kata-kata ku. Matahari mula mencurahkan cahayanya, makin membatalkan kegelapan subuh. Aku terpesona dengan keindahan dan kekuning-merahan langit dan disambut deruan ombak dan tiupan bayu yang menyegarkan.

‘ Cukup cantik tempat ini, ia Pak Cik ?’

Aku berkata, memohon persetujuan. Bangga dan seronok tidak terhingga. Aku menoleh ke kiri, ke kanan dan mendongak ke langit. Khayal bermandikan keindahan dan menghirup udara nyaman. Pak Cik menoleh ke arah aku, tidak berjaya mengukirkan senyuman mesra.

‘ Tapi….. di sini tidak ada ikan lagi ’

Dia berkata. Kata-kata sugul, pendek dan tajam. Dia mengangguk seolah-olah aku patut tahu. Tetap meneruskan kerjanya. Berderau jantung ku. Aku kena tamparan hebat. Asyik memuji keindahan alam dan terlalu menghayati gelombang laut yang membanting diri di pinggiran pantai hingga aku terlupa langsung tentang kehidupan Pak Cik ini. Di sini tidak ada ikan lagi, katanya. Ungkapan pendek, berbisa dan menusuk kalbu. Sayu hati ku dibuatnya. Seolah-olah kita berdua tidak menjumpai titik pertemuan … titik penilaian terhadap sesuatu. Aku percaya Pak Cik tidak berniat untuk meremehkan kata-kata ku itu. Tetapi itulah hakikatnya, realiti yang sebenarnya. Aku berasa malu. Kerana syonk sendiri. Fikir tentang diri sendiri. Aku sangka, lautan seindah dan sekaya ini tidak seharusnya ketandusan ikan. Aku jangka, kalau hendak ikan di laut ini ‘tepuk dada tanya selera’ aje … pasti dapat. Begitu gelapnya minda ku ini. Mengapalah aku sesat sangat. Kalau banyak ikan, sudah tentu Pak Cik ini senang lenang. Namun pakaiannya menceritakan sebaliknya. Poket bajunya sudah bocor dan berjurai. Baju putihnya sudah robek dan tidak dapat mengekalkan warna asalnya lagi. Membekalkan diri dengan makanan berbungkuskan plastik, bersedia dengan beberapa botol air dan diperkasakan dengan pelita minyak tanah yang setia di sampingnya. Aku cuba tukar topik.

‘ Anak-anak Pak Cik, tak ada ke ?’

Aku makin cemas. Takut mulut celupah ku ini tersilap kata. Aku dah lama ‘boring’... bosan. Mahu berbual dengan sesiapa aje. Kalau tak ada orang tua ini, dengan burung-burung atau semut pun jadilah. Memang ‘boring’ gila. Sudahlah letih bercakap sendiri. Sudahlah letih mengulangi senario-senario bodoh yang menonjolkan aku berjaya membodohkan bekas kekasih ku itu.

‘ Anak-anak ada. Tapi sebuk. Ada di bandar. Tak nak kacau mereka ’

Dia tunduk. Mengambil masa untuk menjawab. Lalu menyelak jaringnya dengan laju. Lagi sekali soalan ku menggangu perasaannya. Aku nak berbual jugak.

‘ Pak Cik, boleh tumpang sebatang rokok. Rokok saya sudah habis.’

Pak Cik terus menarik rokok yang tertenggek di telinganya dan menyerahkan kepada aku. Aku serba salah. Ambil juga rokok gulungnya itu. Aku ketagihan asap rokok. Terus mencari pemetik rokok. Pak Cik melihat telatah ku. ‘Betul ke anak muda ini nak hisap rokok gulung ini’ (hatinya berkata-kata). Apabila dia melihat aku menarik sedutan pertama dengan kemerahan bara rokok berlumba-lumba menuju ke bibir ku maka dia tersenyum lebar mempamirkan lagi mulutnya yang bertongkatkan kepada beberapa batang gigi yang sudah karat. Lagi sekali aku menghulurkan tangan ku dan mengenalkan diriku. Dia suruh aku panggil dirinya Pak Sih. Kerana semua mengenalinya begitu. Aku pun duduk di atas akar kayu hidup dan berbual dengannya. Sekali sekala tergelunsur juga ke tanah. Maklum sajalah akar ini tidak merelakan dirinya diduduki orang. Mungkin ‘angle’ punggung ku tak kena tempatnya. Lantaklah. Orang tua ini tak cakap banyak. Aku aje yang lebih-lebih.

‘ Kalau keluar pagi-pagi, bila pulak balik ’

Aku ingin tahu. Mestilah balik lewat malam kerana sudah bawa pelita. Sudah ada bekalan. Aku tak nampak lampu picitnya.

‘ Tenguklah. Bila dah dapat cukup ikan, dapat cukup makan …baliklah ’

Jawapan yang selamba dan mudah. Aku sudah tak senang dengan soalan-soalan ku ini. Betullah tu … menangkap ikan sekadar cukup makan. Kerana dia memang tidak berdaya lagi, tidak larat melakukan lebih dari itu. Manalah aku nak tahu. Aku ingat pasti penuh sampan baru nak balik. Aku tukar topik lagi.

‘ Wah, nampaknya jaga betul moto sampan ni. Mesti boleh dapat banyak ikan ’

Aku berseloka dan mengusap badan moto itu. Tapi kata-kata ku macam tak kena aje. Tetap berdegil … mahu berbual jugak.

‘ Kenalah jaga. Nanti tak boleh pergi jauh. Sangkut tengah-tengah laut. Hah kacau. Sapa nak tolong. Moto kena sewa. Kalau rosak kena bayar sendiri ’

Aku kena penampar Jepun lagi. Kan dia sudah kata, ikan tak ada. Kalaulah dia semiskin ini, maka sudah tentu dia tidak mampu beli moto. Apalah aku ni. Benak bendul sungguh. Tidak cekap mengatur logik. Mendedahkan kedaifan aku.

‘ Bukankah ada Jabatan Perikanan. Selalu membantu nelayan. Beri pukat, sampan dan moto ’

Aku banyak baca berita dan tenguk TV tentang Jabatan ini membantu nelayan miskin. Aku ingin berkongsi berita. Pak Sih merenungi wajah ku dengan mata kuyunya. Setepat-tepat yang boleh. Macam tak percaya. ‘Anak muda ini datang dari mana agaknya’ (hatinya berkata-kata). Dia tersenyum saja. Maklumlah budak ini, budak bandar, tak tahu sepatah haram pun.

‘ Alat-alatnya ada. Kita aje tak layak ’

‘ Kenapa begitu ’

‘ Nak (anak), kau kena kenal orang, baru jadi. Pak Sih tak suka pegawai-pegawai ini. Asyik minum kopi dengan orang politik dan tokih Cina dan Melayu. Pak Sih kena sewa dengan tokih-tokih inilah. Hasil diambik. Yang lebih-lebih aje Pak Sih bawa balik untuk Mak Cik kau masak. Kalau ada lebih sikit, ikan yang tokih tak mau itu, Pak Sih cuba jual kat kedailah ’

‘ Habis anak-anak Pak Sih tak bantu ke ?’

Soalan ku ini macam hendak jaga tepi kain orang aje. Aku kesihan orang tua ini dan sudah ‘hot’ mengapa orang tidak membantu keluarga seperti ini.

‘ Anak-anak Pak Sih bukan kaya dan mereka sibuk ’

Pak Sih melontarkan alasan-alasan yang tidak meyakinkan. Kesedihannya terlalu jelas. Tunduk beberapa ketika. Anak-anak kesayangannya sudah membelakangkan mereka berdua. Menghampakan mereka. Tapi Pak Sih tetap cekal dalam kehidupan. Mengeluarkan dedaun rokok. Mencabut tulang-tulang daun, mengurut dan mempeletuk-peletukkannya. Mengambil secebis tembakau, ditarik panjang-panjang lalu mengulungnya. Dimeterikan dengan air lidahnya. Masih menggunakan mancis walaupun sudah ada pemetik rokok yang terbaring di pelantar perahu. Aku sudah tidak berhajat untuk melanjutkan soalan-soalan ku.

Pak Sih mula menolak sampannya ke laut. Aku cuba membantu. Pak Sih izinkan. Dia melambai. Aku bersedih. Pak Sih bersama perahu kecilnya ingin bersaing dengan bot-bot pukat tarik moden yang berlegar-legar di ufuk laut. Seorang miskin tua, bertarung nasib mengharungi lautan yang tidak mengenali erti kemanusiaan dan kesaksamaan. Orang tua tanpa pembelaan. Entah balik … entah pun tidak. Terserahlah. Namun, isteri di rumah setia menunggu. Selamat tinggal saudara ku dan salam perjuangan Pak Sih. Semoga kau dirahmati Illahi. Semoga aku diberi peluang untuk memahami kehidupan ini.



nasir psm

10 hb. Jun 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama mod

Salam,
Bagus artikel ini, walaupun menggunakan bahasa yang mudah dan ringan tetapi terkesan dihati yang mengandungi unsur2 ceria, sedih dan pengajaran.

Tahniah

Reply

Categories

Pengikut