KAUM TANI DAN PEMERASAN MODAL BIROKRAT DI BAWAH UMNO

Di dalam negeri, UMNO yang sebagai wakil kelas atasan Melayu atau wakil kelas kapitalis birokrat dan komprador Melayu melaksanakan dasar ekonomi kapitalis yang menyebabkan jurang antara yang kaya dan yang miskin semakin melebar. Tanah Simpanan Melayu dicipta oleh penjajah British pada tahun 1913 untuk meredakan kemarahan orang Melayu terhadapnya yang merompak tanah subur yang luas di Malaya telah dibolot oleh kaum kapitalis birokrat Melayu melalui perbadanan-perbadanan birokrat. Dengan itu lahirlah kelas kapitalis birokrat Melayu yang bersekongkol dengan kaum kapitalis besar Tionghua dan India mengaut kekayaan negara.

Pada tahun 1947, BTM telah didirikan untuk memimpin perjuangan kaum tani dan perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Selepas merdeka, gerakan itu berkembang dalam bentuk bebas meneroka seperti tercermin dalam gerakan tani di bawah pimpinan Saudara Hamid Tuah.



Orang Melayu yang asalnya sebagai petani telah berubah menjadi buruh di perusahaan-perusahaan modal birokrat atau di rancangan-rancangan tanah birokrat. Kaum kapitalis birokrat yang diwakili UMNO seperti Lembaga Kemajuan Tanah Melayu membolot 385,000 ekar, Syarikat Jengka 3 Segi menguasai ratusan ribu ekar di Pahang, Syarikat Permodalan dan Perusahaan Perak dan beberapa perusahaan lagi membolot 270,000 ekar tanah di Perak. Selain itu masih banyak lagi modal-modal birokrat yang menguasai tanah simpanan Melayu di seluruh negara. Ini telah mengubah keadaan ekonomi orang Melayu dari mengerjakan ekonomi tradisional kepada buruh di rancangan modal birokrat. Barisan tani sebenarnya telah berubah menjadi kesatuan buruh.



Dalam tulisan saya yang berjudul STRATEGI PENJAJAH BRITISH UNTUK MENGUASAI MALAYA yang diterbitkan pada tahun 1984 dan 1988 saya telah memberikan sedikit penekanan berkenaan masalah ini. Antaranya menyebut:

Sehingga tahun 1970an, kaum kapitalis monopoli British merupakan tuan tanah yang terbesar dengan memiliki tanah yang paling luas dan subur di negara kita. Selain itu, muncul juga tuan-tuan tanah tempatan. Pada tahun 1920-an rumah-rumah agensi British yang terlibat dalam perusahaan getah telah menguasai 1 ½ juta ekar tanah, tidak termasuk tanah-tanah yang mereka telah rampas tetapi belum lagi dibuka. Penguasaan mereka ke atas tanah membolehkan mereka menempati kedudukan yang terpenting dalam ekonomi negara kita. Mengikut perangkaan yang tidak lengkap, pada tahun 1953 mereka telah memiliki 70 peratus dari semua estet di Malaya. Kedudukan British ke atas tanah tetap unggul sekalipun selepas kemerdekaan. Pada tahun 1961 kapital monopoli asing dari Eropah khasnya British menguasai 65 peratus estet getah, dan 9 tahun kemudian (tahun 1970) meningkat semula kepada 76 peratus. Mengikut sumber Zon dan Leight Hunt, pada tahun 1960 syarikat-syarikat monopoli asing memiliki 1,685,850 ekar. Dari jumlah ini, 1,351,200 ekar dikuasai oleh British.



Sekarang di bawah Dasar Ekonomi Baru yang mengembangkan modal birokrat dan modal komprador dalam berbagai bidang termasuk sektor perladangan, kita dapati lembaga-lembaga birokrat (yakni badan-badan berkanun) dan lain-lain modal tempatan dengan pesat menjadi tuan punya ladang yang terbesar di negara kita. Satu langkah penting ke arah ini ialah pengambil alihan Kumpulan Sime Darby (milik modal monopoli British) yang menguasai ladang-ladang oleh perbadanan modal birokrat serta pemindahan pendaftaran kumpulan itu ke Kuala Lumpur dari London pada tahun 1968. Pada tahun 1981 modal birokrat dan modal komprador tersebut mengambil alih pula ladang-ladang Guthrie dan Dunlop Estates - keluasan kedua-duanya berjumlah 250,000 ekar lebih. Ini disusuli dengan pengambil alihan Syarikat Harrison Estate (Malaysia) Berhad yang memiliki ladang seluas 180,000 ekar pada tahun 1982.

Akibat dari perkembangan modal birokrat dan modal komprador dalam perindustrian dan pertanian, struktur masyarakat mengalami perubahan yang pesat, sejumlah besar orang Melayu dari desa berhijrah ke kota-kota menjadi buruh. Dengan itu, lahirlah kelas proletariat Melayu.



Justeru kerana syarat-syarat sejarah di atas, maka satu kesinambungan perjuangan orang Melayu yang bermula dari KMM dan PKMM harus diteruskan semula dengan menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya untuk mendorong maju gerakan patriotik-demokratik agar semangat perjuangan yang telah ditempuhi itu berterusan untuk membangun sebuah negara yang benar-benar merdeka dan demokratik.
---
dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Perjuangan Di Sempadan Dan Penamatan Terhormat, SIRD, 2009

Categories

Pengikut