DARURAT SEBENARNYA PERANG ANTI MERDEKA

DARURAT SEBENARNYA PERANG ANTI MERDEKA

Tongkat Bahaman
Ditulis oleh Tongkat Bahaman
Ahad, 27 Jun 2010 23:39
Ramai orang melihat Pengisytiharan Darurat pada 18 Jun 1948 sebagai suatu akta dan undang-undang mengawal keamanan. Bagi British adalah sebuah peperangan terhadap rakyat yang dilancarkan tanpa disedari. Atas nama kebebasan dan keamanan ; maka mudahlah aktivis politik progresif yang mengancam kedudukan Inggeris ditangkap dan dilumpuhkan. Jika mengisytihar perang, Inggeris mungkin terikat dengan undang-undang perang antarabangsa termasuk Convention Geneva yang terpaksa mengambilkira soal peraturan dan hak asasi kemanusiaan. Justeru istilah ini telah digunakan dengan berkesan di banyak tanah-tanah jajahannya.
Undang ini juga pernah dipaksakan ke atas India dan Palestin sebagai alat mengawal kepentingan politik Inggeris dengan kuasa negara atau state power, menangkap pemimpin-pemimpin parti yang menentangnya dan melumpuhkan gerakan itu sekaligus.
Pengalaman British sekitar tahun 1890 – 1930 tatkala menghadapi tentangan dari pejuang patriotik Melayu seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Janggut, Dato Sagor serta yang lainnya dalam Perang Bahaman, Perang Perak dan perang di Selangor telah memberi pelajaran berguna kepada Inggeris untuk mengguna satu kaedah yang boleh disandarkan atas nama negara. Justeru Undang-Undang Darurat 1948 sebenarnya ialah alat yang dirancang awal bagi menggantikan istilah ‘perang’. Kaedah ini memberi kelebihan kepada British dalam semua aspek tanpa disedar.
Dato’ Bahaman pernah diburu oleh 800 tentera Inggeris-Melayu kerana menentang dasar cukai baru ‘Wise’ di Pahang. 450 dari tentera ini lengkap dengan senjata Rifel. Walaupun beliau menang dalam semua pertempuran dalam perang gerilanya terhadap sasaran Inggeris di Pahang namun beliau terpaksa berundur ke Kelantan, Terengganu dan Pahang demi menjaga hati Sultan. Beliau menghentikan serangannya terhadap Inggeris kononnya itulah yang diminta oleh Sultan Ahmad kepada wakilnya dalam satu perundingan yang dianjurkan oleh Sultan ketika itu (lihat Memoir Abdullah C.D Bhg 2 hal. 63). Ada juga kisah beliau telah ke Thailand kerana tidak mahu bertembung dengan askar Inggeris kerana tersinggung setelah mendapat tahu bahawa Sultan telah menggelar dirinya sebagai “si celaka durhaka” berikutan keengganannya mematuhi dasar cukai yang diperkenalkan oleh Wise dan Clifford di Pahang.
Menurut buku-buku sejarah di sekolah, undang-undang darurat telah diistiharkan apabila tiga orang peladang getah Inggeris telah ditembak mati di sebuah ladang di Sungai Siput oleh PKM. Buku yang sama tidak menyebut bahawa tiga hari sebelum itu, Inggeris telah menembak 10 buruh India yang melancarkan demontrasi di Batu Gajah. Walau bagaimanapun kedua-dua insiden ini bukanlah sebab sebenar yang mendorongan pengisytiharan darurat.

Sebab sebenarnya ialah apabila Inggeris melihat rakyat yang dipimpin oleh aktivis progresif telah bersatu dengan teguh dan melaung-laungkan semboyan Merdeka di bawah gabungan PUTERA-AMCJA yang dipengerusikan oleh Pak Sako. Semangat Merdeka di bawah gabungan ini merebak di seluruh pelusuk tanah air dan membakar semangat rakyat hingga Inggeris menjadi begitu bimbang.


Haji Ishak Muhammad atau dikenali sebagai Pak Sako

Sebelum darurat diistiharkan, parti dan pertubuhan-pertubuhan Patriotik-Demokrasi seperti PKMM, PKM, API, AWAS, Hisbul Muslimin dan sebagainya telah diharamkan. Dalam masa dua hari sahaja beribu-ribu pemimpin dan aktivis patriotik-demokratik telah ditangkap di seluruh negara dan digiring ke penjara. Ramai dari mereka terdiri daripada pemimpin-pemimpin Melayu kerana kelekaan mereka terhadap rancangan ini. Ramai di siksa, malah ramai juga mati di tali gantung atas sebab dituduh bersubahat dengan komunis. Aktivis Tionghua, lebih peka dan menyelamatkan diri. Mereka masuk ke hutan dan melancarkan perang gerila. Pengharaman dan penangkapan beramai-ramai pemimpin Melayu telah memberi laluan yang mudah kepada UMNO yang pada ketika itu di bawah pimpinan Sir Onn Jaafar yang lebih bersetuju dengan kelangsungan pentadbiran British di Malaya.
Gerakan Kemerdekaan sebenarnya telah berkembang sejak tahun 1920an lagi oleh Dato’ Bahaman dan para pengikutnya di Benta. Benta suatu ketika pernah menjadi pengkalan suara merdeka menentang British di Pahang. Slogan ‘Merdeka’ adalah suara yang boleh menyatupadukan rakyat dan mengancam rancangan British untuk terus menguasai kekayaan di Malaya. Justeru itu pemimpin dan pertubuhan yang bersemboyankan Merdeka dianggap subversif hinggalah berlaku penangkapan besar-besaran pada 18-19 Jun 1948 dan seterusnya.
UMNO pada ketika itu bersemboyankan “Hidup Melayu” dan bukan Merdeka. Semboyan ini disenangi oleh Inggeris yang mengamal dasar pecah-perintah. Bukti sikap lunak UMNO terhadap Inggeris dapat dilihat ketika rombongan Sir Onn Jaafar ke London pada tahun 1951, hanyalah menyentuh tentang soal pelajaran dan jawatan dalam polis diperingkat ASP sahaja dan tidak langsung menyebut soal merdeka walaupun gelombang merdeka begitu hangat diperjuangkan oleh PUTERA-AMCJA. (Mustapha Hussain – Malay Nasionalism Before UMNO, hal 342)
Selepas 1948-1960, UMNO telah meneruskan undang-undang yang sama iaitu ISA - Tahanan tanpa bicara, juga sebuah peperangan baru pasca merdeka terhadap seteru politiknya atas nama mengancam keamanan. ISA bukanlah timbul dari otak Melayu malah saduran strategi memerangi dan melumpuhkan musuh politik dalam sebuah negara yang dipanggil demokrasi berparlimen yang telah diwarisi dari British bagi tujuan survival politik bangsawan Melayu. Seperti biasa golongan ulama’ fulus ternakan burjuis Melayu tetap berdiam diri melihat akta bertentangan dengan Islam ini. Ulama fulus ini lebih berminat berdebat soal tahi cicak dan soal sah-batal tidak air sembahyang daripada melawan kemungkaran yang lebih besar seperti ISA. Mereka berfatwa kerana tembolok dan malah sanggup berdoa untuk roh-roh askar British yang gugur.
---

Categories

Pengikut