RESOLUSI KONGRES PSM KE-12

RESOLUSI KONGRES PSM KE-12 KENYATAAN AKHBAR KONGRES KE 12

6 JUN 2010


psm with wording logo

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Berjaya mengadakan Kongres Parti ke 12 antara 4-6hb. Jun yang dihadiri oleh 250 orang perwakilan dan pemerhati di Dewan perhimpunan Cina, Selangor.

Kongres juga membentang tiga kertas kerja mengenai 1)1Malaysia dan Model Ekonomi Baru Najib, 2) Isu transisi kepimpinan dalam PSM dan 3) isu Krisis cuaca dunia dan menyelamatkan Alam Sekitar.

Kongres juga telah membincangkan 26 usul yang dibawa oleh cawangan dan fron PSM. 16 usul telah diterima, 5 usul telah ditolak, tiga usul telah ditarik balik dan dua usul akan dibincang di bahagian Jawatankuasa parti yang lain.

Mengenai usul mengenai Pakatan Rakyat (PR), usul ini dibincang panjang lebar dan Kongres dengan majoriti besar memutuskan bahawa PSM buat masa ini tidak mempunyai sebarang hasrat membentuk kuasa ketiga tetapi tegas bahawa musuh utama adalah Barisan Nasional yang telah mencabul hak, demokrasi dan kesejahteraan rakyat Malaysia untuk 53 tahun. Justeru itu PSM akan berkerjasama dengan Pakatan rakyat dan kumpulan-kumpulan progresif lain untuk menamatkan pemerintahan BN. PSM juga akan mengadakan perbincangan susulan dengan PR mengenai kerjasama ini termasuk kerjasama semasa pilihanraya. PSM juga terbuka untuk penggunaan logo bersama dan manifesto bersama untuk pilihanraya akan datang.

Selain itu, PSM berpendapat bahawa untuk memenangi pilihanraya akan datang, PR harus memperkasakan rakyat dengan fahaman perjuangan dan pendidikan. Sekadar memberi bantuan kebajikan (hand-outs) tidak memadai. Bantuan dan pertolongan kebajikan adalah penting dan harus diteruskan tetapi yang lebih penting adalah pemahaman tentang perlunya perubahan.

Antara usul-usul lain yang dilulus yang menarik adalah mengenai permintaan untuk membuat satu protes terhadap bencana alam sekitar dan kapitalisma dan juga satu Pameran seni kiri iaitu satu program membawa bersama pelbagai artis dan seniman progresif.

Sebagai kesimpulan , PSM melihat bahawa Pemerintah telah memulakan perang terbaru apabila mahu menarik balik subsidi . Ini merupakan serangan terkini terhadap rakyat pekerja biasa di negara kita, PSM akan memobilisasi rakyat untuk mengekalkan subsidi ini.

Kongres parti ke 12 yang ulung kali berlangsung di Kuala Lumpur tamat dengan para delegasi dan pemerhati menyokong 18 resolusi seperti dibawah


RESOLUSI KONGRES PSM KE-12
6 Jun 2010
Kuala Lumpur

1. PSM menolak Model Ekonomi Baru yang berasaskan kepentingan golongan elit kapitalis. PSM menuntut negara kebajikan untuk Malaysia.

2. PSM menuntut supaya hak dan kebajikan pekerja dilindungi melalui:

Ø Penggubalan Akta Gaji Minima.
Ø Bank Negara lebih aktif dalam menyelesaikan masalah rakyat dalam krisis ekonomi.
Ø Hentikan pembuangan kerja yang memangsakan pekerja sewaktu krisis ekonomi.
Ø Perlindungan hak pekerja migran.

3. PSM membantah sekeras-kerasnya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), cukai yang memiskinkan rakyat.

4. PSM menuntut pemansuhkan akta-akta zalim ataupun menyekat kebebasan rakyat seperti ISA, AUKU, OSA, PPPA dan sebagainya. PSM menuntut supaya kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Kebebasan Media.

5. PSM menentang segala cubaan serangan neo-liberal daripada pihak pemerintah yang mengurangkan perbelanjaan sosial dan memindah beban kewangan kepada rakyat miskin. PSM menuntut:

Ø Subsidi ke atas keperluan asas dikekalkan.
Ø Batalkan rancangan untuk kenaikan harga minyak.
Ø Sumber minyak dan gas di Malaysia dimiliknegarakan
Ø Kerajaan menghapuskan tol.

6. PSM membantah sekeras-kerasnya penswastaan perkhidmatan awam seperti air , kesihatan dan sebagainya. PSM juga menuntut pendidikan percuma untuk semua sehingga ke peringkat universiti dan perumahan selesa untuk rakyat.

7. PSM mengutuk PERKASA yang mempermainkan politik perkauman dan memecah-belahkan rakyat.

8. PSM menuntut supaya kerajaan mengambil tindakan konkrit untuk melindungi alam sekitar termasuk:

Ø menghentikan semua projek-projek yang membinasakan alam sekitar.
Ø Menghentikan rancangan pembinaan reaktor nuklear.
Ø Mengalihkan bahan buangan radioaktif dari negeri Perak yang mengancam alam sekitar dan kesihatan rakyat.

PSM menyokong perjuangan penduduk Bukit Koman dalam menghentikan keracunan cyanide oleh lombong emas

9. PSM membantah pemberian lesen judi bola yang memberi kesempatan kepada kapitalis kroni untuk menipu wang rakyat.

10. PSM menuntut pentadbiran kerajaan yang bersih, telus dan demokratik:

Ø Membantah sekeras-kerasnya kuasa polis yang menembak mati rakyat biasa.
Ø Mengutuk pihak yang menghalang perhimpunan aman rakyat.
Ø Menghapuskan rasuah, kronyisme dan nepotisme dalam kerajaan di semua peringkat, dari Persekutuan, Negeri, sehingga ke tempatan.
Ø Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijadikan badan yang bebas daripada campurtangan politik.

11. PSM menuntut kerajaan negeri termasuk kerajaan Pakatan Rakyat mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan.

12. PSM menuntut undang-undang yang menghalang wakil rakyat daripada melompat parti sesuka hati.

13. PSM menuntut kerajaan untuk mengiktiraf status pelarian dan melindungi hak pelarian.

14. PSM menuntut kerajaan supaya implemen Yogyakarta Principles, satu Undang-undang Hak Asasi Manusia yang berkenaan dengan orientasi seksual dan identiti gender.

15. PSM mengutuk tindakan Israel menyerang kapal-kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menghentikan sekatan (blockade) ke atas Gaza.

16. PSM membantah sekeras-kerasnya cubaan Amerika Syarikat untuk menghancurkan perkembangan sosialisme di Latin Amerika dengan mengintimidasi Venezuela melalui pengkalan tentera di Colombia.

17. PSM mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Abhisit memukul secara kejam ke atas pergerakan pro-demokrasi Baju Merah di Thailand.

18. PSM menyokong perjuangan rakyat di seluruh dunia dalam menentang serangan kerajaan-kerajaan kapitalis ke atas perlindungan sosial dan kebajikan rakyat biasa dalam krisis ekonomi dunia.

Dikeluarkan Oleh
S.Arutchelvan
Setiausaha Agung

Categories

Pengikut