PERANG PEMBEBASAN NASIONAL ANTI-BRITISH 20 JUN '48

Tamat Perang Dunia Kedua, imperialis British segera menghantar tentera ekspedisinya mendarat di Malaya dan meletakkan semula negeri kita di bawah pemerintahan langsung empayar Britain. Kerana tidak rela diperhamba lagi, rakyat negeri kita telah menyuarakan seruan memperjuangkan kemerdekaan. PKM, PKMM dan lain-lain pertubuhan patriotik demokratik berbagai aliran semua kaum rakyat negeri kita melancarkan serentetan perjuangan melawan pemerintahan imperialis British. (gambar kanan : Inilah wajah-wajah algojo sebenarnya disebalik Undang-Undang Darurat 1948)

Demi menyelamatkan kekuasaan penjajahannya yang kian goyah, imperialis British dengan sewenang-wenanganya mengumumkan Undang-undang Darurat pada 16 haribulan Jun 1948. Empat hari kemudiannya, iaitu 20 haribulan Jun, ia melancarkan penangkapan besar-besaran terhadap anggota PKM, PKMM, bekas perajurit Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya serta tokoh-tokoh patriotik dan demokrat berbagai aliran semua kaum dengan maksud sia-sia hendak membasmi dalam waktu singkat kekuatan rakyat yang memperjuangkan kemerdekaan. PKM dengan tegas memimpin rakyat semua bangsa melancarkan perlawanan bersenjata yang gagah berani demi usaha kemerdekaan dan pembebasan tanah air. Demikianlah tercetusnya Perang Pembebasan Nasional Anti-British.

Pada masa permulaan perang, imperialis British berturut-turut membuat rancangan operasi untuk tempoh 3 bulan, 6 bulan dan 18 bulan, bertungkus lumus hengak menyelesaikan perang dengan cepat. Akan tetapi perang kolonial yang dijalankan imperialis British adalah tidak adil, maka semua rancangan kalapnya mengalami kegagalan bertubi-tubi.

Hanya dalam beberapa tahun yang singkat saja, imperialis British telah mengerahkan hampir 100 batalion pasukan infantry, pasukan meriam, dan pasukan kereta perisai dari negerinya dan negara-negara komanwel yang lain. Kekuatan tentera yang digunakannya pernah melebihi 400 ribu orang (termasuk tentera dan polis upahan tempatan). Dalam peperangan itu, imperialis British telah melancarkan serangan dan kempen kepung basmi secara gila-gilaan terhadap Tentera Pembebasan Nasional dengan mengerahkan lebih 10 ribu kali penerbangan kapal terbang, menghimpunkan sejumlah besar pasukan darat, menggunakan bermacam-macam senjata moden dan alat perang. Beribu-ribu juta ringgit perbelanjaan tentera telah dihamburkan untu tujuan ini.

Untuk memutuskan hubungan Tentera Pembebasan Nasional dengan massa rakyat, imperialis British telah mendirikan lebih 400 buah apa yang disebut “kampung baru” dan banyak pusat penempatan semula buruh ladang getah dan buruh lombong di seluruh negara. Hampir sejuta massa pekerja di desa yang merupakan 1/6 penduduk seluruh Malaya dihalaunya ke dalam kem-kem konsentrasi tersebut, semua kem konsentrasi itu dikawal rapi oleh tentera dan polis. Di samping mengadakan sekatan makanan yang paling ketat di seluruh Malaya, imperialis British juga melakukan pengawalan, penangkapan, pembakaran, pembunuhan dan penghukuman yang paling kejam terhadap penduduk di berbagai tempat. Tindakan ini telah membangkitkan kemarahan rakyat yang amat sangat.

Menurut perangkaan yang tidak lengkap, Tentera Pembebasan Nasional Malaya telah melancarkan 19,100 kali lebih berbagai tindakan ketenteraan, membunuh atau mencederakan tentera dan polis musuh seramai 26,000 orang lebih sejak bulan Jun 1948 hingga bulan Januari 1954.

Dalam tempoh 8 tahun sejak Jun 1948 hingga bulan Julai 1956, imperialis British berkali-kali menukar benggolan tentera dan polisnya. Di antaranya, Pesuruhjaya Tingginya telah 3 kali ditukar. Edward Gent ditukar dengan Henry Gurney, kemudian disusuli Gerald Templer dan Donald C. Mac Gillivry pula. 6 kali pula panglima tenteranya bertukar, mulai daripada Charles Bucher, Harold Brigs, Ralph Lockheart, Gerald Templer, W.P. Oliver, Jeffry Bonn terus sampai ke Rodger Bauer. Dari Langworthy, Gray, Young sampai Cabonal, 3 kali ketua polis negaranya telah diganti. Antara algojo-algojo yang mewakili imperialis British itu ada yang mati dalam nahas kapal terbang, ada yang mati ditembak oleh tentera kita dan ada pula yang mati setelah jatuh sakit kerana mengalami kekalahan dan merasa malu.

Pertempuran jaya dan dipertahankannya dalam jangka panjang Perang Pembebasan Nasional Anti-British serta kebangkitan berkobar-kobar gerakan kemerdekaan yang disertai oleh kekuatan-kekuatan yang patriotik dan rakyat semua bangsa yang didorong dan disemangati perjuangan bersenjata telah menggoncangkan sampai ke akarnya penjajahan imperialis British di negeri kita. Imperialis British telah terhimpit di dalam dan luar negeri akhirnya terpaksa mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan mengakiri penjajahannya secara langsung di negeri kita selama 100 tahun lebih.

Categories

Pengikut