MAT INDERA: PENJARA TAK TAKUT, GANTUNG TAK GENTAR

Mat Indera amat disayangi oleh massa revolusioner yang cintakan kemerdekaan ibu pertiwi tetapi amat dibenci oleh kaum penjajah British. Oleh itu kaum penjajah telah menawarkan hadiah 25,000 ringgit jika dapat menangkap hidup-hidup Mat Indera dan 10,000 ringgit jika dapat dibunuh.
Mat Indera bersama rakan guru agama kerajaan Johor.

Tahun 1951, ketika Mat Indera dan sejumlah kawan Melayu bergerak di Batu 6 Jalan Air Hitam, seorang hantu penjajah yang diseludupkan di kalangan orang ramai menjalankan tipu daya memberikan makanan beracun kepada Mat Indera. Mat Indera pengsan kerana keracunan. Mengambil peluang inilah penjajah telah menangkap Mat Indera dan mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atasnya.

Mengetahui Mat Indera tertangkap, massa rakyat mengutuk keras kebiadaban penjajah British. Ratusan massa datang ke penjara menyampaikan rasa hormat mereka kepada Mat Indera serta menghadiahkan makanan sebagai menyatakan simpati dan hiburan yang mendalam.

Di penjara, penjajah British menggunakan berbagai siasat baik keras mahupun lembut, baik penyeksaan mahupun pujuk rayu dan tipu muslihat. Akan tetapi, semua tipu muslihat penjajah itu tidak dapat melunturkan tekad teguh Mat Indera.

Kerana habis segala cara, penjajah British cuba membawa Mat Indera ke mahkamah terbuka. Akan tetapi beratus-ratus massa rakyat dari berbagai tempat dan lapisan datang beramai-ramai untuk menyatakan sokongan tegas mereka kepada Mat Indera serta mengutuk kezaliman penjajah. Mereka menyerahkan surat bantahan menuntut beliau segera dibebaskan tanpa syarat.

Kerana takutkan pengaruh Mat Indera dan kebangkitan massa rakyat, penjajah British membatal- kan mahkamah terbuka tersebut. Mat Indera kemudiannya digantung sampai mati di penjara Kemunting, Perak. Ketika terkorban beliau baru berusia 33 tahun.

Mat Indera seorang pahlawan kemegahan bangsa Melayu yang telah menyumbangkan seluruh jiwa raganya untuk kemerdekaan nusa, bangsa dan agama.

---

dipetik dari Memoir Abdullah C.D. bahagian pertama: Zaman Pergerakan Sehingga 1948, SIRD 2005

posting terkait:

Categories

Pengikut