KEMBARA ANAK MUDA MENCARI KEBENARAN

Anak-anak muda hari ini sudah terbuka mindanya, melebarkan sayap melangkaui tempurung sempit propaganda penjajah. Untuk tujuan tersebut, mereka berusaha mencari di mana sahaja bahan sejarah dapat dicungkil.

Pada 31 Mei, serombongan anak muda telah tiba ke Kampung Perdamaian Sukhirin. Mereka menemui Abdullah C.D., pemimpin Rejimen Ke-10 dan juga Pengerusi JKP PKM. Di samping itu mereka juga menemui tokoh-tokoh veteran Rejimen Ke-10. Jawapan yang mereka perolehi bertentangan sama sekali dengan apa yang dipropagandakan kaum penjajah British dan Kerajaan Barisan Nasional yang melebelkan Rejimen Ke-10 sebagai pengganas, anasir subversif, tiada beragama dan sebagainya.

Kampung Perdamaian Sukhirin adalah salah satu destinasi yang menyimpan sejarah perjuangan menentang penjajah British untuk kemerdekaan tanah air. Namun sehingga hari ini mereka yang terlibat masih dilabel sebagai pengganas. Bagi golongan yang masih menggunakan teks sejarah versi penjajah, kesimpulan mereka tetap sama dengan propaganda British sebelum merdeka dahulu. Akan tetapi, bagi mereka yang berpandangan terbuka, kesimpulannya berlainan sama sekali.

Kebenaran sejarah ini juga telah menyanggah dongeng yang mengatakan kemerdekaan Malaya diperolehi tanpa tumpah darah, membongkar siapa sebenarnya pengkhianat bangsa dan siapa yang berjuang bermandi darah untuk kemerdekaan tanah air.

Kebenaran sering kali ditutupi atau diselewengkan oleh golongan yang berkepentingan. Oleh itu adalah mustahak bagi anak-anak muda mencari semula kebenarannya. Dari sana kita dapati satu sejarah agung bangsa kita yang sekian lama telah ditutupi debu propaganda murahan penjajah dan pewarisnya.



2 ulasan

alamak...xkan aku nak pegi sorang2 xde teman.... susah laa aku mcm ni...

Reply

weh aku nk pi jgk.. aku dh bnyk bca buku abdullah cd ni.. bila nk jmpa idola nih.. wehh aku serius ni.. nk pi ajk kali. aku dok kedah jaa

Reply

Categories

Pengikut