TUNJUK PERASAAN BESAR-BESARAN 1 MEI 1940 DI SINGAPURA


TUNJUK PERASAAN BESAR-BESARAN 1 MEI 1940 DI SINGAPURA

( Suara Demokrasi Malaya 29.4 – 2.5 1982)

Pada pagi 1 Mei , 42 tahun yang lalu, lebih 50 ribu orang buruh lelaki dan wanita berbagai perusahaan Singapura beramai-ramai menaiki lori atau berjalan kaki tersusun menjadi barisan perarakan raksasa yang panjang, merempuh halangan tentera dan polis bersenjata imperialis British, berarak dari segala penjuru untuk berkumpul di padang Jalan Besar. Dengan semangat yang meluap-luap, mereka menjunjung cogan kata-cogan kata diikat pada batang kayu yang boleh digunakan untuk melawan penindasan kekerasan imperlialis. Mereka melantangkan semboyan-semboyan seperti: SELAMAT HARI PEKERJA INTERNASIONAL 1 MEI, BERSATULAH KAUM BURUH, LAWAN PERANG DUNIA KAPITALIS, BERI DEMOKRASI DAN KEBEBASAN, BEBASKAN SEMUA TAHANAN POLITIK. Semboyan-semboyan tersebut laksana guntur bergemuruh menggoncangkan seluruh bandar Singapura. Ini menunjukkan tunjuk perasaan besar-besaran kelas buruh Singapura menguji kekuatan sendiri, menghentam keganasan imperialis British dan memberangsangkan tekad juang massa yang luas.

Di antara penyusun dan pemimpin tunjuk perasaan besar-besaran itu terdapat Li Liang, anggota Dewan Harian Jawatankuasa Pusat PKM dan pemimpin-pemimpin buruh lainnya. Pada masa itu sudah setengah tahun lebih Perang Dunia Kedua berlangsung di Eropah. Fasis Jerman telah menguasai dan memperhamba seluruh Eropah Barat, dan memperhebat persiapan menyerang Soviet Union. Pada waktu itu, di Malaya, pihak PKM menjunjung tinggi-tinggi panji melawan perang imperialis, mengerahkan massa yang luas bangkit melancarkan berbagai bentuk perjuangan. Pihak imperialis British pula, untuk menjalankan perang imperialis dan lebih gila-gilaan merompak sumber alam negeri kita, melipat gandakan penindasan ke atas gerakan massa dan berkhayal hendak membasmi kekuatan revolusioner yang dipimpin PKM. Pertentangan antara rakyat Malaya dengan imperialis semakin meruncing. Tunjuk perasaan besar-besaran 1 Mei itu merupakan satu tindakan raksasa kelas buruh Singapura yang dipimpin PKM untuk melawan serangan imperialis British dan menghentam kekuasaan durjananya.

Menjelang 1 Mei, di samping berdaya upaya mengugut kaum buruh, imperialis British memerintahkan semua polis Singapura dan sebahagian tentera yang ditempatkan di pangkalan Singapura berada dalam keadaan berjaga-jaga. Ia menunjukkan rupa ganasnya, bersiap sedia mengadakan penindasan berdarah. Paga pagi 1 Mei, suasana di seluruh Singapura menjadi tegang. Di jalan raya utama yang melalui kawasan bandaran dan tempat-tempat pusat bandar semuanya telah diletakkan sekatan yang dijaga oleh tentera dan polis bersenjata. Hampir semua barisan perarakan dihalangi oleh tentera dan polis imperialis British. Ketika memasuki bandar, barisan dari tempat-tempat luar bandar telah berbentrok dengan tentera dan polis. Berbagai jurusan massa buruh kawasan bandar juga disekat di tebing Sungai Kalang. Oleh yang demikian, rancangan asal diubah. Mereka berkumpul di Bukit Timah dan tebing Sungai Kalang serta tempat-tempat lain untuk mengadakan rapat perayaan hari pekerja 1 Mei secara berasingan. Akan tetapi, barisan tunjuk perasaan tersekat di berbagai tempat dan diperintahkan bersurai oleh tentera dan polis imperialis British. Kerana kedua-dua pihak tidak bertolak ansur, akhirnya tentera dan polis mulai menangkap dan memukul massa buruh sehingga ramai yang cedera. Para buruh yang bersenjatakan kayu, botol dan batu melawan dengan gagah berani. Musuh menembaki massa buruh. Buruh pencelup, Luo Liang-zhu dan Liang Qing-dian, kedua-duanya anggota PKM gugur dengan mulianya. Akan tetapi penindasan berdarah imperialis British ke atas perarakan kaum buruh telah membunyikan loceng maut mereka sendiri.

Tunjuk perasaan besar-besaran kali ini telah mendidik dan menempa massa buruh Singapura, memberangsangkan kelas buruh seluruh Malaya. Kesemua ini telah mencatit lembaran yang cemerlang dalam sejarah gerakan buruh dan perjuangan melawan imperialis.

Categories

Pengikut