PROGRAM UMUM DAN PROGRAM KHUSUS PARTI KOMUNIS MALAYA DALAM MASALAH BANGSA-BANGSA

"Laksanakan persamaan hak di segala bidang dan perkuatkan perpaduan semua bangsa... Bahasa Melayu harus dijadikan bahasa umum bagi pergaulan rakyat semua bangsa... Hormati agama Islam dan lain-lain agama yang dianuti rakyat semua bangsa... Laksanakan penyatuan semula Semenanjung Malaya dengan Singapura melalui permesyuaratan..." - PKM


PROGRAM UMUM DAN PROGRAM KHUSUS PARTI KOMUNIS MALAYA DALAM MASALAH BANGSA-BANGSA

Pada 25 Jun tahun 1981, Parti Komunis Malaya telah meluluskan RENCANA PROGRAM NASIONAL dan menyiarkannya melalui SUARA REVOLUSI MALAYA pada masa itu. Setelah itu ia mendapat perhatian dan pujian secara merata dari rakyat semua bangsa.

Dalam RENCANA PROGRAM NASIOAL tersebut, Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Malaya telah menunjukkan hakikat di mana Malaya adalah negara berbilang bangsa, menganalisa kerumitan dan cirri-ciri masalah bangsa-bangsa negeri kita, dan memberi penilaian yang tinggi atas semangat perjuangan patriotik dan demokratik rakyat semua bangsa. RENCANA PROGRAM NASIONAL tersebut juga telah menelanjangi polisi bangsa-bangsa reaksioner yang dijalankan kaum penjajah British dan kaum raksioner negeri kita, dan menjelaskan teori dan polisi pokok Parti Komunis Malaya untuk menyelesaikan masalah bangsa-bangsa negeri kita.

Untuk menyelesaikan secara tepat masalah bangsa-bangsa negeri kita dalam RENCANA PROGRAM NASIONAL nya, Parti Komunis Malaya telah mengemukakan program umum dan program khusus tentang masalah bangsa-bangsa. Program umumnya ialah laksanakan persamaan hak di segala bidang dan perkuatkan perpaduan semua bangsa. Program khususnya ialah:

1. Hormati kekhususan nasional, adat istiadat dan cara hidup semua bangsa, hilangkan prasangka dan kerenggangan antara bangsa-bangsa, galakkan rakyat semua bangsa supaya saling membantu dan saling belajar , majukan kerukunan hidup bersama, persahabatan dan kerjasama rakyat semua bangsa, eratkan tali persaudaraan semua bangsa, lawan perpecahan bangsa-bangsa, lawan pertentangan sesama bangsa-bangsa.

2. Kobarkan semangat patriotism dan demokrasi, tingkatkan kesedaran politik rakyat semua bangsa, kembangkan ekonomi nasional, perbaiki kehidupan rakyat semua bangsa. Warisi pusaka kebudayaan yang unggul, majukan pertukaran kebudayaan antara semua bangsa, kembangkan kebudayaan semua bangsa yang baru yang patriotik, ilmiah dan untuk rakyat jelata, serapkan kebudayaan luar negeri secara kritikal, hapuskan kebudayaan imperialis dan feudal yang lapuk. Selesaikan perselisihan antara bangsa-bangsa melalui permesyuaratan, pelihara kepentingan semua bangsa, majukan kemakmuran bersama semua bangsa, laksanakan persamaan yang hakiki antara semua bangsa secara beransur-ansur.

3. Jamin rakyat semua bangsa memperlolehi hak-hak politik dan ekonomi yang sama sepenuhnya, memperolehi peluang yang sama untuk melanjutkan pelajaran dan mendapat pekerjaan, memiliki hak-hak menerima pelajaran dalam bahasa ibunda masing-masing. Akui kedudukan masyarakat yang sama bagi rakyat semua bangsa, lawan diskriminasi dan penindasan bangsa-bangsa.

4. Rakyat semua bangsa memiliki hak bertempat tinggal, hak bekerja dan hak milik atas tanah. Berusaha dengan sekuat tenaga untuk membasmi kemiskinan di kampung-kampung petani dan nelayan Melayu, secepat mungkin perbaiki kehidupan kaum tani dan kaum nelayan Melayu yang masih sengsara, atasi kesukaran kaum buruh perusahaan dan perlombongan di kawasan luar bandar serta rakyat pekerja di bandar. Jamin peluang bekerja bagi kaum buruh dan lain-lain lapisan rakyat semua bangsa, jamin upah yang sama bagi pekerjaan yang sama kepada kaum buruh dan pekerja semua bansa, naikkan upah dan perbaiki layanan. Bagikan tanah dengan cuma-cuma kepada kaum tani, buruh ladang dan lain-lain lapisan rakyat semua bangsa yang memerlukan tanah untuk tempat kediaman atau mencari nafkah, tetapi tidak mempunyai tanah atau kekurangan tanah.

5. Batasi ketat-ketat modal asing serta modal birokrat dan modal komprador yang bersifat monopoli, bantu perkembangan perusahaan bangsa Melayu yang sedang dan kecil, jamin kelangsungan perusahaan bangsa Tionghua, India dan bangsa-bangsa lain yang sedang dan kecil, supaya semua bidang perusahaan dapat memainkan peranan yang positif dalam mengembangkan ekonomi nasional, lawan pemonopolian yang dipaksakan dan penindasan yang tidak adil.

6. Bahasa Melayu harus dijadikan bahasa umum bagi pergaulan rakyat semua bangsa dan dijadikan bahasa pengantar dalam hubungan dengan luar negeri, anjurkan dan galakkan penggunaan bahasa Melayu, jamin kedudukan yang menasabah dan sewajarnya bagi bahasa-bahasa lain (termasuk Inggeris) dalam negeri dan masyarakat, jamin perkembangan bahsa semua bangsa minoriti. Laksanakan sistem pelajaran berbilang bahasa dengan mengutamakan bahasa Melayu, tinggikan taraf pelajaran bahasa Melayu, jamin kelangsungan dan perkembangan sekolah-sekolah bahasa Tionghua dan Tamil, akui dan bantu madrasah atau sekolah pondok dan lain-lain sekolah yang diselenggarakan rakyat semua bangsa. Pengetahuan yang patriotik progresif dan ilmiah harus diajar di berbagai jenis sekolah agar fikiran dan kecerdasan para pelajar mencapai kemajuan.

7. Hormati agama Islam dan lain-lain agama yang dianuti rakyat semua bangsa, kobarkan semangat patriotism umat Islam. Hormati kebebasan beragama, lindungi masjid, kuil, gereja dan lain-lain tempat ibadat, majukan hidup secara bersahabat sesama penganut-penganut agama yang berlainan, lawan penyalahgunaan agama bagi mengadu domba bangsa-bangsa.

8. Beri layanan yang sama kepada Orang Asli dan bangsa-bangsa minoriti lainnya, lindungi hak-hak bangsa-bangsa minoriti, bantu kemajuan bangsa-bangsa minoriti dalam bidang-bidang politik, ekonomi, kebudayaan, pelajaran dan lain-lain, laksanakan otonomi kawasan di tempat-tempat tumpuan Orang Asli dan bangsa minoriti lainnya, supaya bangsa masing-masing dapat mengurus hal ehwal mereka sendiri.

9. Pertahankan kesatuan negara dan keutuhan wilayah. Laksanakan penyatuan semula Semenanjung Malaya dengan Singapura melalui permesyuaratan.

10. Akui hak menentukan nasib bangsa sendiri bagi rakyat Kalimantan Utara, sokong perjuangan rakyat Kalimantan Utara bagi membela hak dan kepentingan mereka, dukung penggabungan rakyat Kalimantan Utara dengan rakyat Malaya berdasarkan prinsip sukarela.


---

artikel terkait:

HIDUP PKM

SIAPA PKM

PERJUANGAN PARTI DAN TENTERA KITA MELAWAN KOMPLOTA...

MASALAH BANGSA MALAYA (MALAYSIA)

sikap pkm terhadap perundingan baling

perjalanan militan yang cemerlang

usaha-usaha menamatkan peperangan

Perlembagaan PKM (2)

Perlembagaan PKM 1947 (1)

mengapa perang masih berlangsung selepas merdeka


Categories

Pengikut