Isnin, 24 Mei 2010

PERKENALAN TENTANG PARTI KEBANGSAAN MELAYU REVOLUSIONER MALAYA (PKMRM)

Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM) didirikan pada 24 Mei 1981 dalam sidang khas antara kader-kader pasukan bersenjata dan kader-kader bawah tanah Rejimen Ke-10. Seorang kader PKMRM menjelaskan bahawa mereka merasa terdapat suatu kekosongan setelah PKMM dihramkan pada tahun 1948, lebih-lebih lagi setelah pemergian Dr. Burhanuddin dan pimpinan PKMM yang lain. (gambar kiri: keratan akhbar SULUH RAKYAT, lidah rasmi PKMRM, dicetak di Rejimen Ke-10)


PKMRM sebagai sebuah pertubuhan bawah tanah telah mengembangkan gerakannya ke serata tempat menyusun orang Melayu berbagai lapisan untuk membangun semula semangat perjuangan PKMM.

Di bawah adalah petikan tulisan Abdullah C.D. berrkenaan PKMRM yang dimuatkan dalam Memoir beliau Perjuangan Di Sempadan dan Penamatan Terhormat.


Pada 24 Mei tahun 1981, dalam satu sidang antara pimpinan Rejimen Ke-10 dan kader-kader bawah tanah telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya. Ia ditubuhkan di bawah situasi perjuangan bersenjata di kawasan sempadan mencapai perkembangan yang mantap dan kerja bawah tanah Rejimen Ke-10 mencapai kemajuan tertentu. Bahagian bawah tanah berjaya menghubungi ramai tokoh patriotik-demokratik dalam negeri. Perjuangan rakyat golongan bawahan melawan polisi reaksioner kerajaan BN meningkat dengan ketara.

Sidang persiapan penubuhan PKMRM yang diadakan bersama antara kader bawah tanah dan badan pimpinan Rejimen Ke-10 telah menggariskan beberapa sebab mengapa PKMRM perlu ditubuhkan:

1. PKMM adalah sebuah parti politik Melayu yang mewakili kepentingan rakyat Melayu khasnya dan semua kaum amnya. Pimpinan utamanya ialah Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah seorang pejuang kemerdekaan yang teguh dan tabah, rela menyumbangkan seumur hidup untuk kemerdekaan dan pembebasan rakyat. Beliau meninggal dunia pada tahun 1969. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar bagi rakyat semua kaum yang patriotik - demokratik. Justeru kerana itulah, kami merasa usaha beliau yang agung itu haruslah diteruskan dan memerlukan sebuah parti politik yang dapat menyambung perjuangan tersebut.

2. PKMM telah diharamkan oleh penjajah British pada bulan Jun 1948 di bawah undang-undang darurat, sebahagian anggotanya telah ditangkap dan dihumban ke dalam penjara penjajah British manakala sebahagian lagi telah masuk hutan memanggul senjata melancarkan perang terhadap penjajah British. Mereka telah membentuk Rejimen Ke-10 pada 21 Mei 1949. Kini mereka masih hidup dan sepatutnya mereka meneruskan kesinambungan sejarah tersebut.

3. Sebelum didirikan PKMRM, saya bersama kader-kader bawah tanah telah menubuhkan Paperi. (lihat bab 57). Kemudiannya, di bawah perkembangan baru situasi perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya, Badan Pimpinan Rejimen Ke-10 dan kader-kader bawah tanah merasakan kami perlu menubuhkan sebuah parti yang lebih luas, tidak terbatas pada agama sahaja.

Dalam mesyuarat tersebut, telah ditetapkan bahawa saya sebagai ketuanya kerana saya pernah menjadi anggota KMM dan pernah menyandang jawatan Setiausaha Cawangan Lambor, dan pernah menjadi anggota Jawatankuasa Pusat PKMM. Walaupun saya menyokong dengan sekuat tenaga penubuhan PKMRM, akan tetapi saya agak keberatan menerima tugas memimpinnya kerana masa itu saya masih sakit. Mengikut pandangan yang dikemukakan dalam mesyuarat, saya lebih sesuai kerana mempunyai pertalian sejarah dalam KMM dan PKMM dahulu manakala PKMRM pula merupakan penerusnya.

Rashid Maidin dilantik sebagai Naib Ketua. Beliau pernah bekerjasama rapat dengan pimpinan PKMM dalam perjuangan secara aman untuk kemerdekaan Malaya (1945 - 1948). Abu Samah, Suriani, Ibrahim Chik dan Abdullah Sudin dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Pusat. Abu Samah yang juga dilantik sebagi Ketua Pemuda PKMRM pernah ikut serta membantu KMM pada masa perang melawan Jepun dan pada masa aman menjadi pimpinan cawangan PKMM di Semantan. Suriani yang menjadi Ketua Bahagian Wanita pernah berganding bahu bersama Dr. Burhanuddin, Boestamam dan lain-lain pemimpin PKMM selepas Jepun kalah. Ibrahim Chik yang dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda PKMRM pernah menjadi anggota PKMM dan API pada masa aman. Abdullah Sudin pernah menyertai perjuangan kemerdekaan dalam Utusan Melayu, jadi kesemua mereka mempunyai pertalian sejarah dengan PKMM. Di samping itu Saudara Rahman Embong, seorang intelektual yang berpandangan jauh dan cerdas mindanya sebagai Setiausaha PKMRM.

PKMRM menerbitkan lidah rasminya akhbar SUARA RAKYAT serta lain-lain bahan penerangan dan pendidikan bagi masyarakat.

Dalam manifestonya PKMRM menegaskan bahawa:

Tugas semua kaum patriot negara kita dewasa ini ialah membangkitkan dan menyatupadukan seluruh rakyat untuk membela hak-hak demokrasi, memperbaiki kehidupan rakyat dan mendirikan kerajaan campuran patriotik-demokratik. Kita juga harus berjuang untuk mempertahankan keselamatan negara dan keutuhan wilayah tanah air kita.

Dalam situasi yang demikian, perpaduan orang Melayu menjadi istimewa penting. Untuk mencapai tujuan ini, nasionalisme revolusioner dan patriotisme harus dijadikan pegangan politik bersama berbagai aliran.

Nasionalisme revolusioner berpendirian menghapuskan setiap bentuk penindasan dan pemerasan. Ia juga berpendirian melawan setiap bentuk cauvinisme dan menganjurkan persaudaraan rakyat berbagai bangsa baik di dalam negeri mahupun di luar negeri atas prinsip sama darjat. Nasionalisme revolusioner juga berpendirian membangkitkan rakyat ramai bagi melancarkan berbagai bentuk perjuangan dengan mengutamakan perjuangan secara bersenjata. Hanya dengan menghubungkan erat-erat berbagai bentuk perjuangan tanpa bersenjata dengan bentuk perjuangan bersenjata, barulah perjuangan kita akan dapat mencapai kemenangan.

Di samping menganjurkan nasionalisme revolusioner, PKMRM juga menganjurkan patriotisme sebagai landasan perjuangan bersama. Patriotisme yang dianjurkan PKMRM berpendirian menyatukan semua kaum patriot berbagai aliran dan lapisan untuk melawan pencerobohan dan pendudukan kuasa asing demi membela kemerdekaan negara dan kedaulatan wilayah tanah air. Ia menganjurkan taat setia sepenuhnya kepada tanah air dan rakyat hatta rela mengorbankan jiwa raga demi kepentingan tanah air dan rakyat. Di peringkat antarabangsa, ia tegas melawan kolonialisme, imperialisme dan politik perebutan kuasa-kuasa besar yang hendak merajai dunia dan mencetuskan perang. Ia menganjurkan perpaduan dan setia kawan dengan semua rakyat dan bangsa tertindas di seluruh dunia yang menjadi mangsa pencerobohan dan pendudukan kuasa asing. Ia tegas menyokong gerakan mereka untuk kemerdekaan dan pembebasan nasional.

Tiada ulasan:

REJIMEN KE-10 TRM