PERKAUMAN ADALAH STRATEGI WARISAN PENJAJAH

UMNO mengasuh Melayu dengan asabiah sempit.

ISU perkauman di Malaysia amat mudah ditiup dan mudah dihidupkan. Golongan yang malas berfikir dan berusaha untuk mencapai cita-cita politik mereka, perkauman adalah paling mudah untuk dijadikan alat.

Sesuatu kaum lebih superior dari kaum lain, alat yang paling mudah untuk mendapat penyokong kaum tertentu bagi kaum mereka, tanpa perlu melalui ideologi tertentu.

Arab memainkan semangat kebangsaan Arab, sehingga berlaku kebencian masyarakat Arab terhadap bangsa lain walaupun mereka sesama Islam secara umumnya.

Bahkan lebih dahsyat lagi masyarakat Arab sanggup mengambil dan menyokong British untuk menghalau Turki yang dianggap sebagai penjajah kepada orang Arab. Di Turki pula bangun seorang pejuang kebangsaan yang hebat, Kamal Ataturk membawa slogan Turki untuk Turki. Buat apa Turki berbelanja begitu besar untuk menjaga Arab, lebih baik khazanah Turki digunakan untuk kemajuan negara dan rakyat Turki.

Pertarungan puak dan keturunan akhirnya negara dan orang Arab ditelan oleh Kristian Eropah dan Turki sendiri terpaksa melepaskan tanah jajahannya dan kembali bersendirian dan “ditelan” oleh Nato.

Kita juga mahu bangsa Melayu maju, Melayu cerdik dan berdikari. Kita suka kepada Melayu yang amanah dan berintegriti.

Melayu yang berintegriti sudah tentu akan menjulang nama Islam kerana orang Melayu adalah beragama Islam. Kita berbangga diatas nama Islam dan mengamalkan ajaran itu menjadikan seseorang yang berbangsa Melayu itu dihormati dan disanjung.

Melayu yang berjaya dalam politik, dalam pelajaran dan berkedudukan tinggi perlu dihormati dan disanjung walaupun mereka jahat, rasuah dan tidak berakhlak Islam.

Inilah doktrin yang cuba diterapkan oleh pejuang kebangsaan bangkrap. Asalkan Melayu, apa yang mereka buat adalah betul belaka walaupun merugikan bangsa dan agama.

Bayangkan jika Perdana Menteri Malaysia sepuluh tahun dulu adalah Lim Kit Siang, setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, langkah awal dalam kerajaannya ialah menyekat peruntukkan kerajaan pusat kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Sudah tentu orang Melayu khasnya UMNO akan mengamuk. Kit Siang akan dituduh anti Melayu dan Islam. Barangkali secara merangkak dan tidak sempat berkenderaan orang Melayu akan ke Kuala Lumpur untuk tunjuk perasaan anti Kit Siang dan DAP. Tetapi orang Melayu tidak berbuat apa-apa apabila yang mengumumkan penarikan bantuan ke SAR adalah Perdana Menteri Melayu.

Orang Melayu penyokong kerajaan tidak menuduh Perdana Menteri Melayu pengkhianat Melayu dan Islam.

Bayangkan Menteri Besar Johor 15 tahun yang lalu Dr. Boo dari DAP. MB dari DAP ini membuat perubahan dengan menukar cuti dari hari Jumaat kepada Ahad. Barangkali kita boleh bayangkan reaksi orang Melayu khasnya dari UMNO.

Mereka akan menuduh Dr. Boo anti Melayu dan anti Islam kerana merendahkan hari kemuliaan orang Islam, tetapi yang menukar cuti dari Jumaat kepada Ahad adalah Menteri Besar dari UMNO maka orang Melayu diam sahaja dan boleh mereka terima.

Cukup sekadar dua contoh diatas bahawa orang Melayu khasnya dari UMNO bertindak menentang sesuatu perkara berdasarkan kaum dan perkauman dan bukan dari hujah rasional.

Kalau SAR itu tempat orang Melayu yang agak miskin belajar, sesiapa sahaja yang menyekat bantuan ke institusi tersebut perlu ditentang walaupun dibuat oleh mana kaum atau pemimpin.

Hari Jumaat hari yang mulia, dunia Islam menghormati hari tersebut. Kebanyakkan negara orang Islam menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti umum. Siapa saja yang menukar hari kemuliaan hari Jumaat perlu ditentang, tidak kira dari mana kaum mereka.

Inilah masalah di Malaysia, rakyat yang dikuasai oleh pemerintah UMNO-BN menerapkan rakyatnya untuk berfikir secara perkauman bukan secara rasional.

Jauh sekali untuk membentuk rakyat berfikir untuk menegakkan keadilan berasaskan Islam atau keadilan sejagat. Lebih 50 tahun merdeka, fahaman perkauman sempit masih berleluasa dalam fikiran rakyat bahkan kebelakangan ini disuburkan oleh media BN untuk rakyat khasnya orang Melayu supaya berfikiran perkauman sempit.

Sampai bila rakyat Malaysia khasnya kaum Melayu sanggup diasuh oleh ajaran asabiah sempit ini?

MEMBEDAH DEMOKRASI – HAJI MOHAMAD BIN SABU.


---
dipetik dari: http://penjualubat.wordpress.com/2010/05/15/umno-mengasuh-melayu-dengan-asabiah-sempit/

1 ulasan:

Tanpa Nama mod

btul tu....

Reply

Categories

Pengikut