GST YANG MEMISKINKAN

GST YANG MEMISKINKAN

Nasir Hashim




Asap yang berkepulan, berlumba-lumba menjilat bumbung zink yang sudah berkarat. Sekilas pandang, disangka rokok gudang garam yang punya angkara. Nampaknya tidak begitu. Asap itu adalah wab-wab panas yang membuak-buak dari cawan kopi Si Mamat. Mungkin jenis kopi Tongkat Ali ataupun Kopi Jantan. Mamat dan Mak Minah, tawkeh warung, saja yang mengetahuinya. Namun begitu, bau yang sungguh menawan dan semerbak wangi ini tidak disenangi nyamuk-nyamuk aedis yang berbuntut belang. Sudah pun terbang jauh.

Mamat menghirup kopinya lagi. Kepulan wab itu berdansar dilelubang hidungnya. Dia tak peduli. Khusyuk sangat agaknya. Baunya menggamit selera sesiapa saja yang berani mendekatinya. Terjelir-jelir lidah Mamat cuba menahan kepanasan. Setia meniup dan menghirup kopinya. Ada masanya, dia termenung panjang macam dirasuk candu. Mungkin masih memikirkan gelagat pilihanraya kecil di Hulu Selangor yang lalu. Entahlah. Biarkanlah. Asalkan dia seronok.

Maggi goreng sudah pun sampai dan dihiasi bawang goreng dan sesuku keratan limau kasturi. Baunya juga memancing selera. Mamat terus membaham maggi gorengnya. Lapar sangat anak muda ini. Tadi dia berselisih dengan satu rombongan besar. Mereka berarak membawa sepanduk ‘Hari Pekerja’ bersama beberapa kepingan ‘manila card’ yang memberitakan tentang penghapusan cukai GST dan ISA. Cukai, Mamat tahu, tapi GST dia tidak berapa tahu. Namun dia tidak peduli. Tidak peduli kerana dia bukan pekerja, tidak pernah membayar cukai dan tidak pernah di tahan bawah ISA. Dia meniaga buah-buahan. Tidak sedar dia bekerja untuk orang lain. Mungkin dia tidak mendalami tentang istilah ‘pekerja’, ‘penindasan’ dan ‘demokrasi’.

Pada dirinya, perbuatan kumpulan ini menggangu lalulintas dan menghabiskan masa saja. Menyibuk saja. Lebih elok lagi kalau mereka ini mengunjungi warung buah-buahannya. Dia pasti mendapat keuntungan besar. Namun begitu perasaan Mamat terganggu juga apabila menyaksikan mereka sanggup datang berduyun-duyun bersama keluarga masing-masing untuk menyuarakan keluhan. Mamat tidak faham logiknya. Tak nampak muka orang-orang politik. Ramai juga golongan muda dari berbilang kaum menyertai program ini.

Masih mengunyah serpihan sayur yang tertinggal dalam pinggan maggi goreng tadi. Menggunyah hingga lumat dan menelannya bersama tegukkan kopi. Pinggan sudah licin. Mamat menarik sebatang rokok bengkok yang lama tertenggek di celah telingga kanannya. Lalu membakarnya dengan ‘lighter’ yang sudah diikat rapi oleh sulaman getah yang disambung mati pada kaki meja. Tujuannya adalah supaya pemetik rokok ini tidak di songlapkan oleh pengunjung-pengunjung warung Mak Minah. Rokok Mamat menyala, merecik-recik seperti mini bunga api dan disambut dengan kepulan asap putih. Rokok gudang garam asli sajalah yang mempunyai sifat sebegini. Seperti biasa, meja Mak Minah sarat dengan kuih muih, minuman gas yang berbotol kaca, keropok kering, kekacang dan sebagainya. Maklum sajalah ada satu meja besar saja. Penutup mejanya sudah pun usang dan berlubang-lubang akibat dari percikan rokok atau dibakar oleh pontong-pontong rokok tanpa bertuan.

“Assalamu’alaikum…ASSALAMMU’ALAIKUM” Berdengung warung Mak Minah.

Mamat terkejut. Semua dalam warung menyambut salamnya sambil menoleh ke punca suara tersebut. “Waduh, sudah !!. Si Ramli loyar buruk sudah sampai.” (hati Mamat berkata-kata). Ramli memang jenis manusia yang kuat bercakap. Selalu hendak berdebat. Tidak kisah tajuk apa pun asalkan dapat bertengkar.

“APA KHABAR SAUDARA KU YANG KU RINDUI… YANG KU SAYANGI … YANG ..”

“Udah-udahlah tu.(Mamat menyampuk dan memintas puji-pujian kalut Si Ramli itu.) Kau ni kacau daunlah. Nanti orang fikir kau ni ‘girlfriend’ aku pulak. Tak tahu cakap perlahan ke ?”

“Aku, ‘joking’ pun tak boleh. Kau niii Mat (Mamat), kalah orang tua kerepotlah. Kalau tak pandai relaks, cepat mampus tau”

Ramli sudah pun ‘order’ tih tarik dari Mak Minah dan duduk di atas bangku panjang yang bertentangan dengan Si Mamat. Ramli tersengih macam kerang busuk. Mamat di seberangnya terpaksa senyum lalu menghulurkan rokok yang tengah dihisapnya itu. Tidak perlu berjabat tangan. Sudah muak kerana tiap-tiap hari tenguk muka itu juga.

“Whoooi !!!. Kalau nak belanja kasilah rokok baru.” Ramli mula protes.

“Buat ape aku kasi. Kau hisap macam naga. Kalaulah naga tenguk tabiat kau ni, naga sendiri malu dan cabut lari lintang pukang” Mamat sudah gelak. Ramli tersengih saja. Begitulah kerenah kawan lama. Sindir-menyindir. Kutuk-mengutuk. Cuba menggelicik kepintaran masing-masing. Tetap kawan sejati.

“Kalau dah bakhil, bakhil jugak. Tenguk lebar dahi saja orang dah tahu.” Si Ramli merungut kerana tak dapat rokok baru.

“Dahi kepala hotak kau. Itu sajalah rokok ‘reserve’ aku. Bukan nak tahu berterima kasih. Kutuk pulak. Belilah sendiri. Nak kata orang, dia pun sama bakhil. Ape kau buat dengan duit kau. Kau sengaja jahit atau gam dalam kocek ke ? ”

“Li (Ramli), Kau nampak tak rombongan tadi ? Menjerit-jerit sana sini macam orang gila. Macam kena sampuk hantu aje.” Si Mamat membuka cerita baru.

“Whooi !! Jaga sikit mulut tu Mat (Mamat). Aku ada samalah. Aku ‘join’ mereka tu.”

“Yang kau sibuk kat sana, buat ape. Kau pun dah ikut gila” Mamat mengutuk Ramli.

“Sebenarnya aku terserempak dengan kawan ku Si Hamzah, semasa berselisih perhimpunan itu. Kawan bangku sekolah. Bukan kaki bangku ...OK”.

Ramli cuba membatalkan sampukan kelakar bodoh Si Mamat. Mamat pula tidak menyampuk. Terpaksa ‘adjust’ punggung sedikit. Lemak punggungnya kena hempit agaknya. Dia ingin mendengar penjelasan Ramli. Hendak tahu tentang Hamzah. Peranannya dalam perhimpunan itu.

“Soalan aku pada Hamzah samalah seperti soalan yang kau tanya kepada aku. Aku juga nak tahu kenapa dia masuk perhimpunan ini. Tapi cara aku bertanya dan cara aku mendapatkan maklumat adalah lebih halus, lebih lembut, lebih kelas. Taklah macam orang tertentu yang menyakitkan hati orang lain aje.” Ramli mencebik bibir melepaskan cemuhan terhadap Mamat. Mamat pula buat tak perasan. Buat derk aje.

“Ape dia jawab ?” Mamat mendesak.

“Dia cerita tentang tujuan perhimpunan itulah. Juga tentang cukai GST yang memangsakan rakyat.”

“GST tu makhluk ape ?”

“Cukai… cukai barangan dan perkhidmatan… buat tak faham pulak”

“Yalah cukai. Kan kita dah ada cukai. Sibuk dengan benda yang sudah ada, buat ape”

“Kau ni Mat, tak ikut perkembangan semasalah … tak canggihlah.. ‘backward’lah”

“Alah hai, kau pun sama. Kalaulah dah tahu tentang GST buat ape tanya Si Hamzah tu lagi”

“Pasal itulah aku tanya Si Hamzah. Pasal nak tahu cerita selanjutnya” Ramli menepuk meja dan membeliakkan matanya. Cuba meyakinkan Si Mamat.

Bergegar botol-botol kaca dan melompat-lompat kuih apam Mak Minah. Mak Minah senyum selalu. Lagi lama duduk, lagi lama bising, lagi banyaklah ‘order’ makanan. Lagi banyaklah wang masuk !!

“Samalah macam aku tanya kau tadi, aku pun nak tahu cerita selanjutnya, betul tak.” Mamat berdegil. Ingin mempertahankan kebenaran.

“Ok.. Oklah tu. Kau menang. Nak tahu tak” Ramli ingin menyambung lagi.

“Ok “ Jawab Mamat. Dia sudah pun ‘order’ satu ’round’ lagi kopi semerbak wangi itu.

“GST ini tetap memiskinkan rakyat … mencekek rakyat…membunuh rakyat.”

“Wah, wah waaah. Ganasnya kata-kata kau tu, macam bahasa politik aje ?. Kau tengah berpolitik ke ? Kan dah ada cukai. Pakai ajelah”

“Kau Mat, memang benak bendullah. Kerajaan Pusat, Kerajaan BN, Kerajaan kesayangan kau tu, tak syonk dengan cukai lama. Nak tukar dengan cukai baru, cukai GST.. faham tak ?”

“ Baguslah tu. Mesti nak kurangkan cukai untuk semua”

“Bagus macam mana. Cukai ini, bertujuan mengurangkan cukai pada yang kaya, orang korporat. Tapi mengenakan cukai kepada rakyat biasa, rakyat miskin”

“Tak kanlah BN buat begitu cik ooooii !!. Bebal sangatlah kalau depa buat begitu. Macam nak bunuh diri sendiri aje. Mustahillah. Aku rasa kau ni tidak dapat maklumat yang sahih.” Mamat menunding jari. Berpuas hati kerana Ramli telah terkeliru maklumat atau mengelirukan maklumat.

“Sebenarnya Kerajaan BN sudah tidak ada jalan pintas, tidak ada jalan keluar lagi. Sudah bertahun-tahun berhutang berjuta-juta ringgit. Ekonomi makin merosot. Tidak dapat pelaburan asing dan tidak berupaya mentadbirkan ekonomi Negara. Maka itulah BN merasakan pendapatan Negara boleh ditingkatkan sekiranya semua orang, S-E-M-U-A O-R-A-N-G (Ramli mengulangi, mengeja dan menekankan lagi) dikenakan cukai. Tak kira kaya atau miskin. Petani atau nelayan. Penoreh getah atau pekerja kelapa sawit. Selagi kau boleh bernafas, selagi itulah kau dipaksa membayar cukai.”

“’Ok’lah tu. Barulah adil. Semua bayar cukai. Barulah betul !!” Mamat memang sengaja hendak mencari nahas.

“ Whooiii !!! Kau faham tak cerita aku ni ? Kau ni biar betul ke. Dah buang tabiat ke ?. Dah nak mampus ke ?”

“Whoooiiiii, Mulut celupah kau tu, boleh tapis sikit tak ?. Tuduhan liar tu ? Aku ‘joking’ aje. Kau ni terlalu seriuslah. Kau ingat aku gila ke ? Aku pun miskin. Sudah tentu aku tak nak miskin lagi”

“Syukur Alhamdullilah. Tahu pun. Pandai pulak. Kalau betul-betul nak mampus aku sudah nak ‘order’ batu nesan ‘special’ dan tanam kau hidup-hidup. Habis cerita.” Ramli sudah ketawa. Mamat turut ketawa. Menghulur tangannya. Berjabat tangan, mencuit ibu jari dan ketawa lagi. Mak Minah tersenyum lagi. Yang lain langsung tak peduli.

“Tahu tak ?”

“Tak” Mamat pantas menjawab lalu ketawa besar lagi hinggakan batuk terbahak-bahak.

Ramli sudah menggeleng kepala. Terpaksa senyum. Cuba melayan telatah Mamat gila ni.

“Tahu tak ?” Ramli mengulangi soalannya, lalu menjeling ke arah Mamat. Tunggu seketika. Mamat tidak berani menjawab. Senyum sedikit. Seronok mengusik Ramli. Ramli mudah ‘hot’. Lagi lagi kalau buat pasal terhadap tajuk yang digemarinya.

“Sekarang semua kena cukai, semua barang kena cukai, semua perkhidmatan kena cukai”

“Tak betul tu. Tak betul tu. Makanan tak kena cukai dahhh. Ooi !!! Cik Ramli, si intelektual sesat. Kau ingat aku tak tahu ke. Otak aku kosong ke… ‘syari pucik elek’ ke. Aku pun baca surat khabar tau. Aku sengaja nak ‘test’ engkau. Engkau ‘fail’lah.”

Mamat sudah gelak besar. Dia rasa dia sudah menguasai keadaan. Dapat mematahkan pendirian Ramli. Sungguh yakin dengan kenyataannya. Ramli pula makin dalam dilema. Tidak tahu hendak tompang gelak ataupun hendak terkam saja Si Mamat ini dan cekik-cekiknya sampai mati. Atau dia ini benar-benar bodoh ataupun memang bodoh sombong. Atau kesemuanya sekali. Ramli bertenang dan menarik nafas panjang.

Memang benar makanan seperti beras, gula tak kena cukai. Akan tetapi… kau ingat beras timbul putih melepak, begitu saja ke. Siapa nak bajak sawah padi. Siapa nak beli baja dan menaburkannya. Siapa nak beli ubat serangga dan menyemburkannya. Siapa nak tuai padi. Siapa nak kopek kulit padi nak jadikan beras. Siapa nak beli guni beras. Siapa nak hantar beras ke kilang-kilang dan gudang-gudang. Kau tahu tak, semua ini kena cukai. C-U-K-A-I (Ramli mengejanya). Cik Mamat oooiii !!!, segala transaksi jual beli atau segala perkhidmatan dikenakan cukai. C-U-K-A-I (Ramli sengaja mengejanya sekali lagi). Sudah pasti harga beras akan naik. Betul tak ?”

“Habis, Negara-negara lain boleh bayar cukai, cukai GST. ‘So’ Negara kita mestilah boleh, ‘Malaysia Boleh’. Saudara ku, yang aku tidak sanjung tinggi. Aku juga membaca tau”. Mamat mengangguk-angguk kepala dan mencemek mukanya sambil meraba-raba kocek mencari rokok yang tidak wujud. Tidak membenarkan Ramli meremehkannya.

Ramli tidak pasti. Hendak marah Si Mamat, hendak sekeh atau jotos saja kepalanya. Mamat tahu sebanyak sedikit tentang cukai. Mungkin dia tidak faham istilah GST sebagai singkatan kata ‘ Goods and Services Tax’. Ramli tetap bersabar kerana dia pun pernah bertanya soalan-soalan yang bodoh seperti itu. Ramli menyambung lagi.

“Negara-negara yang kau sebut itu adalah Negara-negara yang sudah kaya. Faham tak saudara ku yang sudah hilang pedoman ?”. Mamat tidak menjawab. Menunggu balasan Ramli.

“Lebih lapan puloh peratus (80%) rakyat dalam Negara-negara kaya yang kau banggakan itu memang sudah berpendapatan tinggi dan mampu membayar cukai. Dalam keadaan sebegini cukai GST bolehlah dikenakan. Itupun rakyat Negara kaya ini sudah mula mengeluh panjang kerana peratus cukai GST telah ditingkatkan tahun demi tahun. Ada yang meningkat sikit demi sikit dari empat peratus (4%) menjadi dua puluh peratus (20%) seperti Negara New Zealand. Kau tau tak, berapa peratus rakyat dalam Malaysia yang mampu bayar cukai ? ”

Mamat tidak menjawab lagi. Dia memang tidak tahu.Tunggu saja penjelasan Ramli.

“Lima belas peratus (15%) aje. Ini bermakna lapan puloh lima peratus (85%) rakyat Malaysia adalah berpendapatan rendah dan kurang dari RM 3,000.00 sebulan. Ramai lebih rendah dari itu, kurang dari RM 1500 sebulan. Mereka ini memang tidak mampu membayar cukai. Wang pendapatan yang mereka terima, memang tidak cukup untuk menampung kehidupan seisi keluarga. Ini juga bermakna sebahagian besar kekayaan Negara sudah pun dibolot oleh segelintir orang kaya yang berjumlah lima belas peratus (15%) itu. Cuba bayangkan macam mana saudara mara kau di kampung nak hidup. Dulu tak kena cukai sekarang dipaksa membayar cukai. Tak kisah warga emas, ibu tunggal, berpenyakit kronik. Kalau beli mesti kena cukai. Bukan mereka nak beli barang mewah pun. Tapi hendak beli barang keperluan harian aje. Slogan ‘Satu Malaysia’ yang ‘mendahulukan rakyat’ memang tidak boleh pakai langsung. Lebih memiskinkan rakyat yang sudah pun miskin.” Ramli berhenti untuk seketika. Menatap wajah Mamat. Mamat masih mendengar. Ramli berpuas hati dan menyambung lagi.

“Kau tahu tak, mengikut maklumat badan Bangsa-Bangsa Bersatu, ‘The United Nations’, jurang antara orang kaya dan miskin di Malaysia, Negara kita yang tercinta ini, amatlah luas sekali. Iaitu yang kaya menjadi kaya raya dan yang miskin papa kedana. Malaysia, saudara ku, mempunyai jurang yang amat besar. Dapat nombor satu di Asia Tenggara dan nombor dua di Asia selepas Papua New Guinea. Sungguh memalukan. Sungguh menyedihkan”

“Wah !!! Mana kau dapat maklumat ini. Kau cakap macam pensyarah aje.” Mamat memang terkejut dengan penjelasan Ramli dan cuba berseloka sinis.

“Aku baca dari Lapuran Debat Bajet di Dewan Parlimen dan melayari berita internet… laman web. Lagi pun Hamzah juga ‘confirm’ bahawa perkara ini memang benar.”

“Habis macam mana dia orang kata cukai ini menguntungkan rakyat.” Mamat sudah keliru. Tidak mahu berseloka lagi. Kerana maklumat yang dibentangkan itu sungguh menggerunkan dan mempunyai logika yang boleh diterima akal.

“Bukan menguntungkan rakyat biasa tapi membelai dan menguntungkan orang kaya belaka. Cukai korporat diturunkan, cukai barangan dan perkhidmatan diturunkan, cukai ekspot diturunkan, peniaga dapat rebat. Pendekata segala transaksi jual beli dan perkhidmatan dapat rebat. Kita dapat ape ? ‘Elek’. Kita membeli aje. Malahan kita terpaksa tanggung semua cukai yang dikenakan kepada peniaga-peniaga ini. Peniaga bawah ‘pass’ cukainya ke orang atas. Peniaga atas ‘pass’ cukainya ke orang yang lagi atas hinggalah sampai dekat kita sebagai pengguna. Kita nak jual kat siapa, nak ‘pass’ kat siapa ?. Kita perlukannya. Kita menggunakannya. Maka kita tidak dapat rebat dan menanggung segala cukai peniaga yang dilonggok dan dibebankan kepada kita. Rakyat biasa, rakyat yang miskin dipaksa melangsaikan semua cukai mereka. Lagi pun segala cukai ini diserapkan, diabadikan ke dalam harga barangan yang kita beli itu.”

“Wah teruknya. Kenapa orang lain tak tahu” Mamat sudah gelisah dan rasa bersalah kerana meremeh-temehkan dan mengentengkan isu GST. Dia tidak sangka GST ini membantu orang kaya dan memangsakan orang miskin.

“Macam mana nak tahu. Dia orang, kerajaan kesayangan kau itu, ‘control’ media massa, TV, agensi-agensi kerajaan dan entah ape lagi. Kelentong sepanjang hayat. Kaburkan mata rakyat.”

“Habis kalau begitu, macam mana Kerajaan BN nak dapat duit mentadbirkan Negara“ Soalan cepu emas Si Mamat yang harus dijawab.

“ Mestilah mengatasi kebocoran”

“Ape yang bocor ?”

“Macam kau tak tahu pulak. Kebocoran, ketirisan, pembaziran sebutlah nama-nama yang buruk, semuanya kena. Bermakna kena hapuskan rasuah, kroni, nepotisma, keistimewaan kepada kroni-kroni tol, projek-projek mewah, salahguna kuasa polis, kehakiman, SPR dan MACC. Tahu tak kalau tidak ada ketirisan kita boleh selamatkan 30% pendapatan Negara. Kalau kita ‘tender’kan lesen AP, kepada peniaga-peniaga yang ingin membeli kereta mewah di luar Negara, kita boleh selamatkan RM 2.4 billion. Walhal pungutan GST, baru mencecah RM 1 billion saja. Nak mentadbir dan melaksanakan program GST ini menelan belanja RM 5 billion pulak. Maka rakyat biasa terpaksa menanggung lagi bebanan RM 6 billion itu. Kita tak perlukan GST kalau Kerajaan Pusat mengatasi kebocoran ini. Aku langsung tak faham, macam mana pakar-pakar ekonomi BN ini berfikir dan membuat kira-kira. Aku mati akal. Mereka ini patut dihukum kerana mengkhianati rakyat miskin. Maka menggelupurlah rakyat miskin di Bandar dan Luar Bandar kerana kerajaan BN sudah pilih kasih”

“ Wooi Li (Ramli). ‘Macho’lah. Aku setuju. Makan akal jugak. Macam mana kau dapat maklumat ini. Aku kagumlah” Mamat mengaku kalah dan sanggup mendalami isu ini.

“ Sebenarnya aku ikut seminar dan kursus tentang ekonomi Negara oleh pakar-pakar yang benar-benar cintakan rakyat dan negara. Aku tak mahu cerita. Nanti kau ingat aku nak ajar kau. Aku gerun bagaimana kita diuli-uli dan dibodoh-bodohkan hingga kita percaya semua yang dilakukan itu adalah untuk membantu orang miskin. Jauh panggang dari api !!!”

“Kau Li (Ramli), bulat-bulat sudah tipu aku. Kau patut bertaubat.” Mamat menuduh Ramli menyorok cerita.

“Kau tipu aku dulu. Kau tau tentang GST tapi kau sengaja buat tak tau. Nak perangkap aku, kononnya” Ke dua-dua ketawa. ‘Order’ secawan minuman lagi.

“Sebenarnya Mat (Ramli menyambung lagi), semua tindakan ini tidak akan berhasil sekiranya kita tidak mempertikaikan acuan sistem kapitalis yang menindas, yang mempertuhankan kepada keuntungan.” Pernyataan yang sungguh padat sekali.

“Acuan sistem kapitalis? Mana kau dapat istilah baru ni?“ Mamat membeliakkan matanya, makin berminat, makin ingin tahu tentang makhluk kapitalis ini. Tapi cemburu sedikit kerana Si Ramli tahu lebih banyak dari dia.

“Ikutlah aku. Kan ku tunjukkan gedung ilmu dan pengalaman yang menyedarkan kita tentang perjuangan, tentang memperkasakan rakyat” Ramli menjawab dengan penuh keyakinan yang bersalut misteri terhadap realiti.

Mamat terpinga-pinga. Tidak sangka ada cara lain, pendekatan lain yang dapat menangani kekusutan ini. Makin terpengaruh dengan hujah-hujah Ramli.

Nasir Hashim

PSM

Categories

Pengikut