CIRI-CIRI KHUSUS REVOLUSI MALAYA DALAM KONTEKS ASIA TENGGARA

Perkenalan: Artikel CIRI-CIRI KHUSUS REVOLUSI MALAYA DALAM KONTEKS ASIA TENGGARA asalnya ialah teks ceramah Abdullah C.D. yang disampaikan kepada segenap kader dan perajurit Rejimen Ke-10 pada tahun 1987. Kemudian artikel ini dimasukkan sebagai satu bab dalam Memoir Abdullah C.D. bahagian ketiga.


CIRI-CIRI KHUSUS REVOLUSI MALAYA
DALAM KONTEKS ASIA TENGGARA

(Oktober 1987)

Masyarakat Malaya hari ini adalah masyarakat berbilang kaum yang terbentuk beransur-ansur dalam sejarah sejak akhir abad ke-19. Dalam sejarah, orang Melayu merupakan pengasas masyarakat bertamadun negara kita dan Alam Melayu. Walau bagaimanapun, hubungan antara tiga kaum utama di negara kita - Melayu, Cina dan India - telah terjalin sejak 2,000 tahun dulu dan menjadi lebih kerap sejak berdirinya Kerajaan Melaka pada abad ke-15.

Namun demikian, kewujudan masyarakat berbilang kaum di Malaya adalah hasil langsung pendudukan imperialis British ke atas Tanah Melayu. Dengan pendudukan kuasa-kuasa penjajah ke atas negara kita, khasnya penjajah Inggeris, mereka pun menguasai politik dan ekonomi negara kita. Demi mengeruk keuntungan sebesar-besarnya, imperialis British secara besar-besaran membawa masuk buruh-buruh asing dari China dan India ke Malaya untuk bekerja di lombong-lombong, estet-estet dan lain-lain. Buruh-buruh asing ini merupakan proletariat generasi pertama di Malaya. Akan tetapi, bertolak daripada maksud politiknya sendiri, orang Melayu terus dikekalkan imperialis British sebagai petani dan nelayan. Imperialis British bahkan melaksanakan satu polisi yang licik yang menghalang orang Melayu keluar daripada sektor tradisional ke sektor ekonomi kapitalis moden. Dengan demikian, kelas proletariat yang awal tidak lahir dalam kandungan masyarakat Melayu.

Kemasukan buruh-buruh asing yang begitu pesat ke Tanah Melayu sejak paruh kedua abad ke-19 telah mengubah ciri kependudukan masyarakat negara kita dalam beberapa dekad saja. Pada tahun 1931, penduduk Cina dan India telah pun melebihi jumlah penduduk Melayu. Menurut banci tahun 1931, penduduk seluruh Tanah Melayu (termasuk Singapura) adalah seperti berikut:

Melayu 1,644,173 37.5%

Cina 1,709,392 39%

India 624,009 14.2%

Orang Eropah 17,768 0.4%

Serani 16,043 0.4%

Lain-lain 56,113 1.3%

Jumlah 4,385,346 100%

(Sumber: Li Dun Jen, BRITISH MALAYA: AN ECONOMIC ANALYSIS, Insan, Kuala Lumur, 1982, muka surat 127).

Jelaslah masyarakat berbilang kaum yang lahir di negara kita mempunyai ciri-ciri khususnya sendiri dan rumit. Kekhususan ini memberikan pengaruh yang besar ke atas perkembangan revolusi negara kita. Orang Melayu mempunyai sejarah feudalisme yang panjang serta setia pada raja. Mereka berpegang teguh pada agama Islam, mempunyai bahasa, kebudayaan dan adat resamnya sendiri. Mereka pula terlibat dalam sektor ekonomi yang tersendiri iaitu sektor pertanian tradisional. Di segi taburan penduduk, mereka kebanyakannya mendiami negeri-negeri pantai timur dan utara iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perlis.

Orang Cina pula pada pokoknya bangsa Han, menganut agama Budda, mempunyai bahasa, kebudayaan dan adat resamnya sendiri. Di segi ekonomi, mereka terlibat di sektor perlombongan, perusahaan, perdagangan dan lain-lain sama ada sebagai buruh mahupun sebagai pedagang dan usahawan. Mereka kebanyakannya terdapat di kota-kota di negeri-negeri Pantai Barat seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Singapura.

Orang India pula kebanyakannya Tamil, di samping itu terdapat orang Telegum, Malayalam dan Sikh. Mereka menganut agama Hindu serta mempunyai bahasa, kebudayaan, adat resam sendiri. Di segi ekonomi, mereka kebanyakannya menjadi buruh di estet-estet, jalan kereta api dan jalan raya serta sejumlah kecil sebagai ceti. Mereka kebanyakannya mendiami negeri-negeri pantai barat Tanah Melayu. Dengan demikian masyarakat Malaya dan revolusi Malaya rumit sekali.

Pada tahun 1930, di bawah pengaruh Revolusi Oktober Russia, Revolusi China dan Revolusi Indonesia (pokoknya Revolusi China): berdirilah Parti Komunis Malaya untuk memimpin rakyat Malaya melancarkan revolusi. Sungguhpun begitu, PKM pada pokoknya terdiri daripada kaum buruh dan pelajar Cina manakala penglibatan massa Melayu sedikit sekali.

Orang Melayu mempunyai semangat patriotisme yang tebal serta tradisi mulia melawan kaum penjajah asing demi membela tanah air. Ini dapat dilihat dalam sederetan perjuangan yang mereka lancarkan khasnya perang patriotik dan perang tani yang berlangsung berabad-abad lamanya. Pada tahun 1937, tujuh tahun setelah PKM didirikan, berdirilah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang mewarisi tradisi patriotisme orang Melayu dalam sejarah bagi memperjuangkan kemerdekaan Malaya daripada imperialis British.

Ketika fasis Jepun mencerobohi Malaya dalam Perang Dunia Ke-2, meletuslah Perang Pembebasan Nasional Anti-Jepun di bawah pimpinan PKM. Ini adalah perang yang besar untuk membebaskan Malaya daripada pendudukan asing. Sungguhpun ia diikut sertai oleh rakyat berbilang kaum, akan tetapi Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya sebahagian besarnya terdiri daripada kawan-kawan Cina manakala kawan-kawan Melayu dan India kecil jumlahnya. Saya, Rashid Maidin dan lain-lain kawan Melayu menceburkan diri ke dalam perjuangan. Manakala kawan-kawan India diwakili oleh Balan. Kerja bawah tanah di kalangan buruh India agak kukuh dan berkembang. Kawan Ganapathy memimpin kerja bawah tanah massa India telah menyusup ke dalam Cabang Malaya daripada Tentera Nasional India (INA) pimpinan Subhas Chandrabos yang berjuang untuk kemerdekaan India.

Pada bulan Ogos 1945, setelah fasis Jepun menyerah diri, imperialis British menduduki semula Malaya. Kerana kesalahan kanan waktu itu, PKM melepaskan perjuangan bersenjata dan melancarkan perjuangan berperlembagaan melawan imperialis British untuk pemerintahan sendiri menuju kemerdekaan. Tapi, patut diperhatikan bahawa perjuangan berperlembagaan ini bukan saja berlaku di Malaya, tapi juga di Burma dan Filipina di mana parti komunis di negeri-negeri tersebut menghentikan perjuangan bersenjata. Dengan demikian berlangsunglah perjuangan damai selama beberapa tahun di Malaya dan juga di Burma dan Filipina.

Akan tetapi, keadaannya berlainan di Indonesia dan Vietnam. Pada 17 Ogos tahun 1945, kaum revolusioner dan patriot Indonesia di bawah pimpinan Soekarno telah mengisytiharkan kemerdekaan negara mereka dan mendirikan Republik Indonesia. Sungguhpun begitu, imperialis Belanda tidak mahu mengakui kemerdekaan tersebut. Di bawah sokongan Amerika Syarikat dan Britain, Belanda melancarkan perang untuk menghancurkan republik yang baru lahir itu. Bersama-sama kaum nasionalis dan kalangan agama, Parti Komunis Indonesia (PKI) telah melancarkan pemberontakan besar-besaran melawan Belanda hingga akhirnya Belanda dikalahkan pada tahun 1949.

Di Vietnam pula, di bawah pimpinan Ho Chi Minh, Parti Komunis Vietnam mengisytiharkan berdirinya Republik Vietnam di bahagian utara pada tahun 1945 serta meneruskan perang pembebasan melawan imperialis Perancis. Perang ini kemudian berlanjutan menjadi perang melawan pencerobohan imperialis Amerika setelah Perancis dikalahkan pada tahun 1954 dan akhirnya berjaya mencapai kemenangan menyeluruh pada tahun 1975. Akan tetapi, Vietnam kemudian berubah menjadi kaum hegemoni serantau lalu mencerobohi Kampuchea dan mengekang Laos. Ini merupakan titik balik yang amat malang serta sangat merugikan perkembangan revolusi di Asia Tenggara. (gambar kiri: pemimpin rakyat Vietnam, Ho Chin Minh)

Di Malaya, sungguhpun PKM melepaskan perjuangan bersenjata dan melancarkan perjuangan secara berperlembagaan selepas Perang Dunia Ke-2, akan tetapi gerakan buruh, tani dan massa luas berbagai lapisan dan kaum di bawah pimpinan PKM terus berkobar-kobar dan semakin menanjak. Pada masa aman, pengaruh PKM di kalangan massa Melayu dan India berkembang lebih luas. Gerakan buruh India khasnya di bawah pimpinan PMFTU menanjak hebat. Begitu juga di kalangan massa Melayu. Pada tahun 1947, di bawah pimpinan PKM, front persatuan PUTERA-AMCJA, iaitu front persatuan yang paling luas terdiri daripada parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan rakyat semua kaum negara kita telah didirikan. Hasil daripada perjuangan PUTERA-AMCJA, rancangan "MALAYAN UNION" ciptaan imperialis British telah digagalkan dan UMNO menjadi sangat terpencil. PUTERA-AMCJA mengemukakan draf PERLEMBAGAAN RAKYAT bagi Malaya yang merdeka. Akan tetapi, imperialis British dengan keras menolak perlembagaan itu, lantas mendirikan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari tahun 1948 tanpa Singapura menyertainya.

Tidak setakat itu saja. Pada bulan Jun 1948, imperialis British bahkan mengisytiharkan "Undang-Undang Darurat" dan melancarkan perang kolonialnya ke atas parti kita dan rakyat revolusioner semua bangsa. Jelaslah perjuangan perlembagaan telah gagal untuk mencapai matlamatnya. Dengan demikian, Parti kita pun mengubah taktik dan strateginya, lalu mengangkat senjata melawan imperialis British. Dengan itu meletuslah Perang Pembebasan Nasional Anti-British yang berkobar-kobar selama lebih 9 tahun.

Di negara kita, perjuangan bersenjata yang dilancarkan Parti dan Tentera kita bersifat menentukan. Tanpa perang revolusioner demikian, tak mungkin kekuasaan imperialis British dapat ditumbangkan dan tak mungkin ia mengakui kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos tahun 1957.

Sungguhpun begitu, kemerdekaan itu tidak sempurna. Kerana tidak cukup mempelajari sejarah tanah air kita dan ciri-ciri khususnya khasnya di kalangan massa Melayu, parti kita telah melakukan kesalahan-kesalahan dalam masa perang tersebut, iaitu mula-mula kesalahan "kiri" dan kemudian kesalahan kanan. Akibatnya, parti kita tidak cukup mengerahkan massa luas khasnya massa Melayu serta telah menderita kerugian-kerugian yang berat di medan pertempuran. Kerana kekuatan tentera kita telah sangat diperlemah, maka kaum reaksioner mengambil kesempatan itu merampas buah hasil kemerdekaan yang telah dibayar dengan darah oleh kawan-kawan parti dan tentera kita. Kaum reaksioner telah menerima syarat-syarat imperialis British dan meneruskan perang kontrarevolusioner warisan imperialis British itu ke atas parti dan tentera kita hinggalah ke hari ini. Masyarakat negara kita pun berubah daripada masyarakat tanah jajahan dan setengah feudal menjadi masyarakat setengah jajahan dan setengah feudal. Dan Perang Pembebasan Nasional Anti-British berubah menjadi Perang Revolusioner Dalam Negeri melawan kaum reaksioner yang hingga kini terus berlangsung.

Perjuangan berbagai parti komunis di Asia Tenggara termasuk PKM telah menempuh jalan yang rumit lagi berliku-liku. Mereka juga bahkan telah memberikan pengorbanan yang amat besar, khasnya Parti Komunis Indonesia. Di Indonesia, PKI pernah mencapai kemenangan besar selepas Perang Dunia Ke-2. Akan tetapi, ia telah dua kali menderita pukulan yang amat berat akibat komplotan kaum reaksioner. Dalam Peristiwa Madiun pada akhir tahun 1948, sejumlah kawan pimpinan PKI termasuk Kawan Musso telah terkorban. Sejak itu, PKI telah disusun semula dengan dipimpin oleh kawan Aidit. Akan tetapi, dalam Peristiwa 30 September 1965, ratusan ribu kaum komunis (termasuk kawan Aidit) serta simpatisan parti telah terkorban akibat penyembelihan besar-besaran oleh klik fasis Suharto yang merampas kuasa dan menggulingkan Soekarno. Peristiwa ini amat menyedihkan kita.

Di Filipina, perjuangan bersenjata telah diberhentikan dan revolusi terkandas. Akan tetapi, pada tahun 1967, Parti Komunis Filipina telah dibangunkan semula serta telah mendirikan sayap tenteranya iaitu Tentera Rakyat Baru. Sejak itu, perjuangan bersenjata di Filipina telah berkobar-kobar dan mencapai kemajuan-kemajuan yang menonjol dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Di samping terdapat perjuangan bersenjata yang dilancarkan oleh Tentera Rakyat Baru di bawah pimpinan PKF, terdapat pula perjuangan bersenjata rakyat bangsa MORO yang beragama Islam di Filipina Selatan yang dipimpin oleh Barisan Pembebasan Nasional MORO (MNLF). PKF dan Tentera Rakyat Baru mempunyai kawasan bebas di Pulau Davao dan lain-lain, manakala MNLF mempunyai kawasan bebas di Kepulauan Mindanao, Sulu, Basilan dan Palawan. PKF dan MNLF telah menjalin front persatuan untuk melawan rejim reaksioner Manila. Pada bulan Disember 1986 telah diwujudkan gencatan senjata selama 2 bulan antara pemerintah Manila dengan PKF untuk membolehkan perundingan diadakan antara dua pihak. Akan tetapi, rundingan itu telah gagal kerana rejim reaksioner enggan memberhentikan perang dalam negeri, sebaliknya menuntut PKF membubarkan tenteranya. PKF dan Tentera Rakyat Baru dengan tegas menolak tuntutan tidak munasabah itu lalu meneruskan semula pertempuran-pertempuran dan telah mencapai hasil-hasil besar. Sementara itu, perundingan juga telah diadakan antara pemerintah Manila dengan MNLF yang menuntut pemerintahan autonomi bagi bangsa MORO. Perundingan itu juga telah gagal.

Di Burma, Parti Komunis Burma (PKB) telah melancarkan perang revolusioner melawan kaum reaksioner sejak bulan Mac 1948 hingga sekarang. Pada tahun 1986, PKB berhasil menjalin front persatuan anti-rejim reaksioner Ne Win dengan kekuatan-kekuatan bersenjata bangsa-bangsa minoriti yang bergabung dalam Barisan Demokratik Kebangsaan (NDF). Ini adalah satu kemajuan besar menentukan dalam revolusi Burma. Kawasan bebas PKB serta NDF terbentuk secara luas di timur dan timur laut Burma yang bersempadan dengan China. Dulu PKB pernah berulang kali mengadakan perundingan dengan pemerintah Rangoon tapi gagal. Ini disebabkan kerana kaum reaksioner berdegil menghendaki PKB menyerah diri beramai-ramai dan membubarkan tenteranya. PKB menolak syarat yang tidak munasabah itu dan tetap mempertahankan perjuangan bersenjata berjangka panjang sampai selesai.

Satu ciri yang sama antara parti-parti komunis di Asia Tenggara khasnya antara PKM dan PKB ialah mereka telah melancarkan perjuangan bersenjata dalam masa yang panjang dan tetap meneruskannya sampai selesai. Selain itu, pucuk pimpinan mereka juga sudah berusia dalam lingkungan 60-an dan 70-an. Namun begitu, mereka mempunyai pengalaman yang kaya-raya dalam memimpin perjuangan di negeri masing-masing.

Di Burma dua kali pucuk pimpinannya (iaitu Thakin Tan Tun dan Thakin Zin) terkorban. Akan tetapi, mereka telah diganti dengan pimpinan yang baru dan pertukaran pimpinan berlaku dengan baik. Jelaslah terdapat darah-darah baru mengambil alih tugas memimpin kawan-kawan pimpinan yang sudah terkorban. Kini mereka dengan teguh melancarkan perjuangan serta telah mencapai hasil-hasil yang amat menggembirakan.

Tentera kita bertekad teguh meneruskan perjuangan bersenjata sampai akhir dan sekali-kali tidak akan tunduk pada komplotan penyerahan diri musuh. Kita juga telah menghimpun pengalaman-pengalaman yang berharga untuk terus melawan kempen kepung-basmi musuh. Pangkalan kita tetap kukuh, panji merah tetap berkibar-kibar megah. Kita yakin penuh sebarang serangan baru musuh pasti dapat dikalahkan dan kita akan mencapai kemenangan yang lebih besar!

1 ulasan:

        ▂▃▅▅▅▃▂     ▲◢◤▀◥◣▃ ▍◢◤
       ▂▅▓▓▅██████▇▅◢██▀   〓 ★ 〓
      ◢▓▓▅███■▀████▓▓█◤    ◢◤ ▍◥◣
    ◢▓▓▆███▀▐ ▊▀▓▀█▓  ▓▲
   ◢▓▓▆██▀ ▼▍▍▲▌▐▓◥█▓▓██◣
 ▃ ▓▆███▓ ▍▎▌▍▍▼▍▌▓ █████▅
▐█▓█████▃▼▌▐ ▐ ▌▍▼ ◢█████▓█◣
█▊■██████◣▓ ▌▍▲◥◤ ▅██████▓█▊
◥■ ████████▅▼▀▃▆███████▓▓▼
◢█▲▓████████▆█▀▓▓▓█■▀▓▓▓█▅
███▓▓▀██■▀    ▀■▓▓█▓▓▓▓███
▐██◣▓▓■▀   ▍▎     ▀■▓▓▓▓█■▀
  ▀■◢▅▂▅▃ ▐ ▍ ▃▅▂▃▅ ▼◢▓██◤
    ▌ ▀█■▆▓▓▇■█■▀  ▲█▀
    ▲▀▓◣▀ ◢▍ ▐◣▀ ◢〓◤ ◢■▀
    ◢▓█◣ ◥〓▌ ▐◥〓◤  ▃▓◢▉
  ▐▓█▓◣  ◢▍  ▂◣   ◢▓███▋
   ███▓▓ ▐◣▃▅█▅  ▃▓████
   ▼██▆▇█▅ ▀██▅▓▓▓████
   ▀███■▀   ◥▌▀■▇█■▀
    ███▀▓▓〓▃〓▓▓▀■▀
    ▀■▓▓▓▓▓▓▓▓〓▀
        ▀■▓▓〓▀

Reply

Categories

Pengikut