BELAJAR DARI SEMANGAT PERJUANGAN RAKYAT KOREA SELATAN

30 tahun inspirasi Gwangju
Amin Iskandar
Mei 21, 10http://www.malaysiakini.com



Perjuangan untuk menegakkan kebebasan dan demokrasi bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan. Kebebasan dan demokrasi ditegakkan dengan darah dan air mata.

Perjuangan untuk memartabatkan kebebasan dan demokrasi memakan ramai korban.

Itulah yang berlaku di Korea Selatan satu ketika dahulu. Hari ini ramai yang mengenali negara tersebut oleh kerana produk-produk seperti Samsung, Kia, LG, Hyundai dan drama-drama yang romantis.

Namun ramai yang tidak mengetahui di Korea Selatan pernah berlakunya satu peristiwa yang menjadi inspirasi kepada gerakan prodemokrasi di seluruh dunia.

Pada 18 Mei 1980 berlakunya peristiwa bersejarah di wilayah Gwangju, yang menjadi pemangkin kepada kelahiran demokrasi di negara tersebut. Tahun ini genaplah 30 tahun kebangkitan rakyat di Gwangju bagi melawan regim diktator tentera yang dipimpin oleh jeneral Chun Doo Hwan.

Peristiwa tersebut di gelar "Kebangkitan Gwangju 18 Mei" ataupun "The May 18 Gwangju Uprising". Setiap tahun pada tanggal 18 Mei, upacara bagi mengenang tragedi tersebut dilakukan di Gwangju. Ia telah menjadi sambutan tahunan dan diberikan cuti umum.

Gwangju terletak dalam provinsi Jeolla di Selatan negara tersebut. Jika menaiki bas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, perjalanan ke Gwangju memakan masa empat jam. Imbasan kebangkitan 18 Mei

Jeneral Chun Doo Hwan naik ke tampuk kuasa melalui kudeta yang dilakukan oleh pasukan tentera pimpinannya pada 12 Disember 1979 sebaik sahaja selepas presiden Park Chung Hee dibunuh.

Pembunuhan presiden Park Chung Hee telah menggemparkan seluruh negara. Kejutan bertambah apabila kudeta dilakukan oleh jeneral Chun Doo Hwan. Naiknya jeneral Chun Doo Hwan ke tampuk kuasa maka bermulalah pemerintahan diktator tentera. Kudeta tentera secara tidak sah itu tidak disenangi oleh banyak pihak. Ini menyebabkan demonstrasi demi demonstrasi dianjurkan bagi membantah rampasan kuasa tersebut.

Demonstrasi-demonstrasi yang dianjurkan menyebabkan kemarahan Jeneral Chun Doo Hwan. Maka beliau pun mengisytiharkan darurat pada 17 Mei 1980 sebagai langkah untuk melemahkan gerakan penentangannya.

Namun bukan semua yang tunduk terhadap penindasan tersebut. Mahasiswa dan anak muda di Gwangju memulakan perlawanan terhadap undang-undang darurat dengan keluar ke jalan raya bagi membantahnya.

Pada 18 Mei 1980, kira-kira 100 orang mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Chonnam berarak ke pintu pagar universiti tersebut yang dikepung oleh tentera. Mereka membantah tindakan tentera mengambil alih universiti tersebut.

Demonstrasi aman tersebut berakhir dengan respons yang ganas daripada pihak tentera. Para demonstran dipukul, ditahan dan rumah-rumah digeledah bagi menjejaki aktivis mahasiswa.

Manipulasi media

Stesen TV Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) yang dikawal oleh tentera membuat liputan mengenai demonstrasi tersebut. Tetapi laporan dihidangkan menurut selera pemerintah. Para demonstran dituduh sebagai komunis dan agen kepada Korea Utara.

Tindakan ganas tentera dan manipulasi media tidak melemahkan gerakan mahasiswa. Mereka meneruskan demonstrasi bagi membantah tindakan ganas yang dilakukan oleh pihak tentera dengan angka yang lebih besar.

Laporan berat sebelah media dan tindakan ganas daripada pihak tentera telah menyemarakkan kemarahan rakyat Gwangju. Mereka akhirnya menyertai demonstrasi yang dianjurkan mahasiswa untuk melawan kezaliman dan kekejaman pemerintah.

Pada 20 Mei 1980, demonstrasi yang dianjurkan menjadi semakin besar. Majoriti penduduk Gwangju menyertai demonstrasi itu. Pada tarikh tersebut mereka akhirnya menawan Stesen TV MBC yang menjadi alat pemerintah untuk menyebarkan propaganda.

Stesen TV tersebut dibakar sebagai tanda kemarahan rakyat Gwangju akibat tindakan berat sebelahnya yang sedikitpun tidak melaporkan mengenai keganasan tentera.

Keesokan harinya demonstrasi menjadi semakin besar. Dianggarkan lebih 300,000 rakyat menyertai demonstrasi tersebut. Kali ini mereka tidak akan membiarkan lagi pihak tentera bertindak ganas sesuka hati mereka.

Demonstran menawan balai polis dan tempat simpanan senjata tentera. Senjata-senjata dirampas dan 'tentera rakyat' ditubuhkan untuk melawan tentera-tentera Chun Doo Hwan.

Sebagai reaksi kepada kebangkitan rakyat di Gwangju, jeneral Chun Doo Hwan telah mengirimkan pasukan tentera yang lebih besar. Gwangju telah dikepung oleh tentera pemerintah dan semua jalan keluar masuk ke kota tersebut ditutup.

Ketika kepungan dilakukan, rakyat di Gwangju bergabung membentuk sebuah 'komuniti'. Komuniti tersebut berjalan secara efektif untuk mengawal keamanan dan melakukan perundingan dengan pihak tentera.

Rundingan penduduk Gwangju dan tentera menemui jalan buntu. Kesepakatan tidak dapat dicapai. Pada 27 Mei, unit khas dari 5 divisyen tentera merempuh masuk, tindakan yang menyebabkan ramai yang terbunuh.

Anggota keluarga mengumpulkan mayat saudara mereka dan melakukan pengebumian secara sembunyi-sembunyi. Pada ketika itu, angka rasmi dari pemerintah mengatakan hanya 19 orang terbunuh. Tetapi jumlah sebenar melebihi 2,000 orang.

Peristiwa kebangkitan rakyat di Gwangju menjadi inspirasi kepada pergerakkan prodemokrasi di seluruh negara. Perjuangan untuk melawan kediktatoran Jeneral Chun Doo Hwan berterusan.
Presiden Roh Tae Woo yang menggantikan Chun Doo Hwan akhirnya terpaksa tunduk kepada kebangkitan rakyat yang akhirnya menang pada bulan Jun 1987.

Selepas kebebasan dan demokrasi ditegakkan barulah secara rasminya pemerintah memohon maaf kepada penduduk Gwangju dan mengiktiraf peristiwa tersebut sebagai pemangkin kepada gerakan demokrasi di Korea Selatan.

Pada tahun 1994, Yayasan Memperingati 18 Mei (The May 18 Memorial Foundation) ditubuhkan oleh para pejuang dan ahli keluarganyayang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai oleh tentera. Yayasan ini mendapat dana daripada hasil wang cukai yang dikutip dari rakyat Korea Selatan.

Peristiwa yang berlaku di Gwangju 30 tahun dahulu boleh dijadikan iktibar oleh rakyat di seluruh dunia. Rakyat Gwangju telah menunjukkan kepada dunia bahawa bukan mustahil bagi rakyat untuk melawan satu kekuasaan yang zalim dan kejam.

Sekuat mana sekalipun pemerintah itu, pasti boleh dikalahkan selagi rakyat bersatu untuk melawannya. Akan tetapi pasti ada yang mengalirnya darah dan air mata. Sanggupkah kita?

Amin Iskandar, penulis blog dan penggiat budaya, kini memimpin NGO pemantau pilihan raya NIEI. Beliau menerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) sesi 2009-10 untuk menjalankan kajian sistem pilihan raya di Filipina dan Indonesia.

1 ulasan:

cite psl korea selatan watpe.dieorg demokrat.cite la psl korea utara.pndi wat bom

Reply

Categories

Pengikut