ABDULLAH C.D.: MENUBUHKAN PAPERI


MENUBUHKAN PAPERI
Abdullah C.D.


Dalam sejarah perjuangan untuk kemerdekaan tanah air, berbagai aliran dan berbagai ideologi telah berganding bahu, mengenepikan perbezaan, mencari titik persamaan dalam perjuangan bersama menentang penjajah British untuk kemerdekaan tanah air. Berbagai aliran dan ideologi ini ialah nasionalisme, sosialisme, agama dan komunis.

Golongan ideologi yang berlandaskan Islam juga besar peranannya dalam perjuangan kemerdekaan. Sebelum darurat diisytiharkan, golongan ini pada pokoknya tergabung dalam Hizbul Muslimin di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang berpusat di Gunung Semanggol, Perak.

Dalam satu kongres Islam di Gunung Semanggol pada tahun 1947, berbagai pihak telah dijemput hadir. Saya juga dijemput atas nama PKM, Dr. Burhanuddin dan lain-lain atas nama PKMM, Boestamam atas nama API dan lain-lain lagi. Persidangan telah membincangkan masalah memperkuatkan perjuangan untuk kemerdekaan tanah air daripada penjajah British.

Akan tetapi, gabungan kekuatan yang memperjuangkan kemerdekaan itu telah ditindas dengan kejam oleh penjajah British. Hizbul Muslimin dan lain-lain diharamkan, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan ramai lagi disumbat ke penjara. Sungguhpun begitu sebilangan kecil yang tidak tertangkap menyambung perjuangan seperti Asri Haji Muda, Hassan Adli dan lain-lain. Hassan Adli berasal dari Kampung Gajah. Sebelum Darurat dia aktif menggerakkan kaum tani dari Kampung Gajah, Perak sampai ke Tanjung Karang dan Terengganu. Asri pernah menuntut di Il-Ihya Assyarif, Gunung Semanggol. Kemudian beliau aktif dalam PAS dan pernah menjadi Setiausaha Agung PAS yang memerintah Kelantan. Di samping itu beliau juga menantu kepada Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Berkenaan Dr. Burhanuddin pula, saya telah membuat pengaturan terperinci masalah koordinasi perjuangan antara saya dengan beliau. Sebelum meninggalkan basis Temerloh pada tahun 1943, melalui seorang pemuda bawah tanah yang bernama Harun, saya dan Dr. telah berjanji akan menitik beratkan perjuangan di bahagian utara. Beliau akan bergerak di Terengganu. Kerana Terengganu dekat dengan kawasan sempadan, kami boleh berhubungan. Seorang pemuda progresif yang menyokong pendirian Dr. Burhanuddin ialah Aminuddin Baki. Sebelum Darurat, dia selalu datang ke Rumah Merdeka membaca bermacam-macam buku. Kemudian dia melanjutkan pelajaran ke Rafles School, Singapura. Setelah Darurat, dia bekerjasama dengan Dr. Burhanuddin melancarkan perjuangan kemerdekaan di Singapura. Walau bagaimanapun rancangan koordinasi antara saya dan Dr. Burhanuddin ini menghadapi banyak halangan kerana situasi perjuangan yang amat kusut masai.

Untuk tujuan tersebut, mulai tahun-tahun 1960-an, gerakan bawah tanah Rejimen Ke-10 ke tanah air mulai berkembang. Masa itu saya dapat hubungi pelajar-pelajar Islam progresif di beberapa buah sekolah agama di Kelantan, pokoknya Maahad Muhammadi serta menghubungi tokoh-tokoh agama dalam gerakan kiri dulu.

Di bawah situasi dan perkembangan baru ini, mereka memerlukan satu organisasi mereka sendiri untuk bergabung tenaga. Oleh itu syarat untuk menubuhkan sebuah parti Islam untuk menyambung cita-cita gerakan Islam progresif pada masa sebelum Darurat yang dipelopori Dr, Burhanuddin, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan lain-lain sudah pun tersedia.

Saya mencadangkan nama PARTI PERSAUDARAAN ISLAM MALAYA atau ringkasnya PAPERI. Nama ini diambil berkat nama Persatuan Persaudaraan Islam Sedunia, yang ikut hadir dalam Sidang Serantau Asia di New Delhi pada tahun 1947. Dalam persidangan khas pertubuhan di New Delhi, saya telah dilantik sebagai Pesuruhjaya bagi Malaya. (telah saya jelaskan sedikit dalam Memoir Abdullah C.D. Bahagian Pertama: ZAMAN PERGERAKAN SEHINGGA 1948, ms. 254 - 255).

Dalam keputusan persidangan Paperi kali pertama pada 20 April 1965 / 20 Zulhijjah 1384 berbunyi:

Enam bulan yang lalu, wakil-wakil daripada berbagai gerup pemuda-pemuda Islam yang patriotik telah mengadakan suatu permesyuaratan. Mesyuarat telah memutuskan akan mengadakan suatu sidang perwakilan untuk memusatkan tenaga revolusioner Islam yang patriotik dan menentukan haluan perjuangan yang akan datang.

Tepat pada 10 Zulhijjah iaitu pada Hari Raya Haji tahun Hijrah 1384, di suatu tempat yang bersejarah telah diadakan sidang perwakilan. Persidangan telah membincangkan berbagai-bagai masalah yang menyangkut perjuangan revolusi nasional Malaya; persidangan telah mengambil keputusan akan mencantumkan semua gerup pemuda Islam revolusioner itu dijadikan asas penubuhan sebuah parti politik Islam yang revolusioner di Malaya, persidangan dengan sebulat suara menyetujui parti politik Islam ini dinamakan "PARTI PERSAUDARAAN ISLAM" atau nama ringkasnya PAPERI. Sayap pemudanya dinamakan PEMUDA ISLAM manakala sayap wanitanya dinamakan WANITA ISLAM. Persidangan dengan sebulat suara melantik Saudara Dr. Abdul Latif sebagai Yang Dipertua Parti Persaudaraan Islam manakala Saudara Haji Sulaiman dilantik sebagai Setiausaha Agungnya dan juga merangkap Ketua Pemuda Islam, sedangkan Saudari Zainab telah dilantik sebagai Ketua Wanita Islam.

Selain itu, ditetapkan Undang-undang Tubuh Paperi sebagai berikut:

1. Nama: Parti Persaudaraan Islam, ringkasnya Paperi

2. Tujuan: Berjuang untuk kemerdekaan penuh, bersatu, bebas dan berdaulat bagi bangsa dan nusa; untuk demokrasi rakyat dan kebebasan agama Islam; untuk kemerdekaan ekonomi dan kemakmuran rakyat; membangun tentera Islam dan untuk berkeperibadian di bidang kebudayaan.

3. Syarat Keanggotaan:
3.1. Lelaki dan wanita Islam boleh menjadi anggota dengan syarat bersetuju dengan program Paperi.
3.2. Menurut tatacara jadi anggota.
3.3. Melaksanakan kewajipan.

4. Kewajipan Keanggotaan:
4.1. Mempelajari risalah-risalah Paperi.
4.2.Mendakyahkan perjuangan Paperi dan menegakkan syiar Islam.
4.3. Mmendirikan dan mengembangkan organisasi-organisasi Paperi.
4.4. Memperjuangkan panca program Paperi.
4.5. Mengerahkan rakyat menerjunkan diri dalam perjuangan pembebasan nasional demokrasi ini.

5. Hak-hak Keanggotaan:
5.1. Berhak mengeluarkan fikiran-fikiran, berbincang mengemukakan cadangan-cadangan dan kritik-kritik yang membina dalam mesyuarat-mesyuarat.
5.2. Berhak untuk memilih dan dipilih.

6. Organisasi:
6.1. Tiga orang ke atas boleh mendirikan cawangan Paperi.
6.2. Cawangan Paperi yang didirikan dalam berbagai lapangan dihitung cawangan Paperi bahagian itu, umpamanya di kalangan kaum tani di kampung-kampung dihitung bahagian kerja kaum tani, kalangan kaum buruh di perusahaan-perusahaan dihitung bahagian kerja buruh. Kalangan pelajar-pelajar dihitung bahagian pelajar-pelajar dan sebaginya.
6.3. Segala gerakan dan perjuangan konkrit masing-masing cawangan mengikut arahan atasan.

7. Kekuasaan:
7.1. Kuasa tertinggi pertubuhan Paperi ialah sidang atau kongres.
7.2. Pada ketika kongres tidak berlangsung, Jawatankuasa Pusat merupakan badan tertinggi mengurus pentadbiran sehari-hari. Organisasi-organisasi negeri, daerah dan cawangan ditadbirkan oleh Jawatankuasa-jawatankuasa negeri, daerah dan cawangan.
7.3. Ahli-ahli jawatankuasa dipilih di dalam mesyuarat-mesyuarat cawangan, daerah, negeri dan sidang perwakilan atau kongres.

8. Kewangan:
8.1. Setiap anggota diwajibkan membayar yuran yang tetap (ditetapkan oleh tempat masing- masing).
8.2. Di ketika yang diperlukan mengutip derma-derma khas.
8.3. Segala urusan kewangan diuruskan oleh bendahari.

9. Keluar dari anggota:
9.1. Dipecat dari anggota kerana melanggar disiplin Paperi.
9.2. Atas permintaan sendiri dan diluluskan oleh Jawatankuasa Paperi.

Berkenaan kenyataan Paperi di atas perlulah dibuat sedikit penjelasan di sini. Nama-nama yang disertakan di situ adalah nama samaran. Saya hanya bertanggungjawab menubuhkan dan memimpin untuk sementara saja. Apabila situasi perjuangan mengizinkan, saya rancangkan akan menyerahkan kepimpinannya kepada Aminuddin Baki di bawah bimbingan Dr. Burhanuddin.

Setelah diumumkan penubuhan PAPERI, berbagai pihak memberikan reaksi masing-masing. Pihak kerajaan secara terang-terangan mengatakan bahawa komunis memperalatkan agama.

Seorang bekas anggota API dari Selangor bernama Yunus Yatimi secara terang-terangan mengatakan bahawa Abdullah C.D. yang bertanggungjawab menubuhkan Paperi. Yunus Yatimi rapat dengan Boestamam dan saya pernah berjuang bersama beliau sebelum Darurat dulu. Beliau benar-benar faham hasrat saya menubuhkan Paperi untuk meneruskan perjuangan Islam progresif yang telah ditindas dengan kejam oleh penjajah British.

Walau apa pun yang dikatakan oleh pihak lawan, Paperi adalah benar-benar sebuah pertubuhan Islam progresif menyambung cita-cita perjuangan kemerdekaan aliran agama sebelum Darurat. Paperi tetap dengan prinsip bersatu di atas landasan agama, nasionalis dan sosialis, berjuang untuk sebuah negara yang benar-benar merdeka dan berdaulat dan mengutamakan kepentingan rakyat jelata. Di samping itu, Paperi dengan jelas menyatakan sokongannya kepada perjuangan bersenjata yang dilancarkan Rejimen Ke-10 untuk kemerdekaan nasional dan pembebasan rakyat.

Pihak berkuasa berwar-war bahawa Paperi parti atas kertas sahaja. Akan tetapi kenyataan tidak begitu. Paperi sebuah parti Islam memang benar-benar wujud bergerak secara bawah tanah, menyusun pemuda pemudi Islam, tokoh-tokoh patriotik demokratik, ahli-ahli parti pembangkang dan lain-lain yang progresif, membantu parti-parti pembangkang yang progresif dalam pilihan raya dan lain-lain. Cawangan dan gerup Paperi tersebar di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Ada sebahagian anggota Paperi yang terputus hubungan bergerak secara bebas menyusun massa rakyat. Mereka secara sendiri bangkit berjuang dalam berbagai bentuk menentang kezaliman seperti yang tercermin dalam peristiwa menyerang balai polis Batu Pahat pada 16 Oktober 1980, seramai 15 orang penyerang yang terdiri dari massa rakyat telah terkorban.

Pada tahun 1985, pihak kerajaan bertindak nekad menembak mati 14 orang umat Islam di Kampung Memali Kedah. Ibrahim Libya yang memimpin sekolah agama di situ adalah antara syuhada yang ditembak mati oleh pihak pemerintah. Ibrahim adalah kader Paperi yang mengembangkan gerakan agama progresif di bawah PAS.
---
dipetik dari Memoir Abdullah C.D. bahagian ketiga: Perjuangan di Sempadan dan Penamatan Terhormat.
---
lihat juga:

2 ulasan

Tanpa Nama mod

Pak Mat Amin/ Sdr Pembaca,
Pak Ibrahim Yaacob juga diketahui dalam senarai pejuang kemerdekaan Tanah Air.Trtapi tiada bersama Reg Ke 10 atau PKM. Apakah aliran
idologi beliau....nasionalis? sosialis ?agama ? kominis ?.....

SemanTan

Reply

Pak Ibrahim Yaacob adalah seorang nasionalis sekaligus sosialis. KMM itu sendiri dinaungi oleh tokoh revolusi sekaligus tokoh komunis Indonesia, Pak Sutan Djenain.
Pada masa Jepun, Pak Ibrahim Yaacob pernah bekerjasama dengan PKM untuk mengisytiharkan kemerdekaan Malaya. Akan tetapi Lai Te, seorang sepai berlapis 3 telah mengkhianati program politik PKM dan sekaligus juga mengkhianati rancangan kemerdekaan Malaya.

Rejimen Ke-10 ditubuhkan pada tahun 1949, hampir setahun setelah darurat diisytiharkan. Ketika itu Ibrahim Yaacob tiada di Malaya.

Reply

Categories

Pengikut