SUMBANGAN PASUKAN VOLUNTEER: STRATEGI PENGUNDURAN TENTERA BRITISH

6. Strategi pengunduran tentera secara besar-besaran

Pada 11 Disember 1941, pasukan-pasukan tentera yang berkubu di Kuala Krai , Kemubu diperintahkan berundur ke Bertam, Ulu Kelantan. Ketika itu nampaklah kekucar kaciran dan kegoyangan British. Tentera Jepun dari Kota Bahru terus mara ke Ulu Kelantan tanpa menerima pukulan. Manakala British pula meletup musnahkan satu lepas satu jambatan kereta api. Buat permulaan, British meletup musnahkan Jambatan Kusial iaitu sebuah jambatan kereta api yang terpanjang di Asia, seterusnya meletup musnahkan jambatan kereta api Kemubu, Bertam dan lain-lain.



7. Pelanggaran Kereta Api Yang Paling Dahsyat Di Limau Kasturi

Dalam kekucar kaciran ini, British merancangkan mengundurkan semua pasukan tenteranya ke selatan Tanah Melayu – Singapura sebagai matlamatnya. Oleh yang demikian kereta api British yang dihantar khas untuk memindahkan bala tenteranya termasuk pasukan volunteer di Bertam itu hampir sampai ke Stesyen Limau Kasturi telah berlanggar dengan sebuah kereta api yang bertolak dari utara. Kedahsyatannya melibatkan berpuluh-puluh gerabak bergelimpangan.

Dari Bertam, British pula mengerahkan pasukan volunteer sehari penuh menggalas dan memindahkan senjata, peluru, ubat ledak ke sebuah bukit dekat Limau Kasturi, lebih kurang 15 kilometer dengan berjalan kaki menyusuri jalan kereta api. Kemudian pasukan ini dan pasukan-pasukan yang lain bermalam di pekan Limau Kasturi. Malangnya kira-kira pukul 12 tengah malam, pasukan penyiasat memberitahu bahawa tentera Jepun yang mara mengejar menyusuri jalan kereta api itu cuma sejauh 2 kilometer sahaja lagi jaraknya. Jadi tengah malam itu juga British mengerahkan semua pasukan tentera berundur melepasi kawasan tempat keretapi berlaga, berjalan kaki sejauh 15 kilometer. Di sana kereta api bersambung-sambung memiliki beberapa buah kepala / injin yang panjang gerabaknya kira-kira setengah kilometer sedang menunggu untuk membawa pasukan tentera berundur ke selatan.

Dalam perjalanan pengunduran pada malam itu, kerana hendak cepat, waktu menyeberangi jambatan, British mengeluarkan perintah: Siapa yang tak mampu membawa senjata bolehlah buangkan ke dalam sungai, nanti di selatan akan dibagi yang lain. Mendengar perintah yang demikian, bunyi “cap cup” senapang dibuang tak putus-putus.

Banyak senapang, peluru, ubat ledak yang tadinya dipindahkan dari Bertam ke Limau Kasturi bertimbun-timbun di atas sebuah bukit kecil yang terpaksa ditinggalkan itu beritanya diambil oleh massa rakyat tempatan, sebahagiannya diserahkan kepada gerombolan penjahat atau penyamun Kuomintang yang bergerak di Gua Musang dan sebahagian lagi diserahkan kepada Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) yang kemudiannya beraktiviti di sana.

Dari Limau Kasturi, Kelantan, keretapi yang dibuang kosyen tempat duduk itu dihuni oleh hampir 10,000 orang askar yang duduk bersila rapat-rapat menuju ke Bukit Betong – Kuala Lipis, Pahang. Setelah selesai segala pengaturan termasuk meletup musnahkan jambatan kereta api Bukit Betong, keesokannya pasukan ini terus berundur dan dihantar ke Dunlop Estate, Bahau Negeri Sembilan. Di Bahau, dalam beberapa hari itu pasukan volunteer diatur menahan dan merampas kereta-kereta awam dan basikal-basikal lalu dibakar. Ini katanya untuk mengelakkan daripada dirampas dan digunakan oleh askar Jepun nanti.

bersambung

---

artikel terkait

Categories

Pengikut