SUMBANGAN PASUKAN VOLUNTEER: PERMULAAN SERANGAN FASIS JEPUN

4. Permulaan serangan fasis Jepun

Tatkala rundingan Jepun – Amerika Syarikat sedang berjalan di Washington bagi menyelaraskan dasar mereka yang berkaitan dengan negeri-negeri Asia Tenggara, pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat amat gembira agar dapat menyalurkan agresi Jepun menyerang ke utara iaitu Soviet Union. Di ketika itulah pada 7 Disember tahun 1941, awal-awal pagi, angkatan tentera laut Jepun terdiri dari lebih 30 buah kapal termasuk 6 buah kapal pengangkut, 360 buah kapal terbang pengebom jenis menjunam, pembom tropedo melancarkan serangan mengejut terhadap Pearl Harbour, memusnahkan separuh daripada angkatan laut Amerika Syarikat termasuk lapan buah kapal perang dan seluruh angkatan udara tentera Amerika Syarikat di Hawai, beribu-ribu orang mati dan cedera.



Pada 8 Disember 1941, barulah Kerajaan Jepun mengisytiharkan perang terhadap Kerajaan Inggeris dan Amerika Syarikat. Pada hari itu juga tentera Jepun telah mendarat di utara Semenanjung Tanah Melayu, di pantai Sabak, dekat Kota Bahru, Kelantan.Pada hari berikutnya kapal terbang Jepun telah mengebom dan memesingan ke atas pasukan volunteer di Kemubu, Kelantan dan di Padang Tengku, Pahang.

5. Pendaratan Tentera Jepun di Pantai Sabak

Kawasan pantai Sabak yang luas dipenuhi dengan tanaman kelapa. Di sanalah British menempatkan 1 batalion askar Penjab (India), satu platun askar Melayu dari AS Company (pasukan mesingan) dan 1 platun tentera volunteer.

Kira-kira pukul 12 malam, 7 Disember 1941, api lampu beberapa buah kapal Jepun di tengah samudera telah kelihatan. Penjajah British di samping memerintahkan pasukan mesingan menembak ke arah kapal-kapalyang bergerak itu juga menjamu askar-askar Penjab dengan minuman keras (wiskee dan brandi) hingga mabuk-mabuk. Jepun yang memainkan taktik memancing, dengan menempatkan kapal kosong di tengah samudera itu rupa-rupanya telahpun selesai menerjunkan askar-askarnya yang menggunakan pelampung merayap ke pantai Sabak, memotong kawat berduri dan menyerang ke arah perkubuan pasukan Penjab yang sedang mabuk itu kira-kira pukul 2.00 pagi, 8 Disember 1941. Pertempuran sengit berlaku selama kira-kira selama 2 jam. Askar-askar Jepun bertempur menggunakan benet manakala askar-askar Penjab menggunakan parang (setiap askar Penjab dilengkapkan dengan sebilah parang bersarung yang diletakkan di pinggang). Dalam pertempuran ini kedua-dua pihak banyak yang mati dan luka-luka, khususnya askar Penjab yang lebih banyak mati, luka dan tertawan. Mayat yang bergelimpangan di pantai Sabak itu berbulan-bulan bau busuknya tak hilang dan telah menjadi baja yang sangat baik menyuburi pohon-pohon kelapa.

7 – 8 bulan kemudian saya berkesempatan melihat pokok-pokok kelapa yang daunnya menghijau dan sangat subur.Pada pukul 4.00 pagi 8 Disember 1941, semua askar British di Pangkalan Chepa dan di sekitar Kota Bahru diperintahkan berundur ke Kuala Krai, Ulu Kelantan, manakala pasukan volunteer ditempatkan berkubu di Kemubu, Ulu Kelantan. Pada pukul 10.00 pagi 8 disember 1941 itu, perkubuan pasukan volunteer di Kemubu dibom dan dimesingan oleh kepal terbang Jepun. Pesawat terbang Jepun itu telah dibalas tembak oleh Pasukan Luisgan volunteer. Sementara itu, pada masa yang sama kapal terbang Jepun juga telah mengebom dan memesingan pasukan volunteer di stesyen keretapi di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang yang sedang dalam perjalanannya dari Kuala Lipis ke Kelantan.

Nampaknya British masih beroptimis menjadikan Ulu Kelantan sebagai garis pertahanan strategic bagi mempertahan dan menghalang kemaraan askar Jepun ke selatan, apa lagi melihat semangat juang dan semangat anti-Jepun yang tinggi dari pasukan volunteer yang sedia berkhidmat dan berkorban untuk bangsa dan pertiwi. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka berlakunya perpistiwa 10 Disember 1941 di mana dua kapal perag besar angkatan laut British bernama Prince of Wales dan Repulse yang baru datang ke Singapura untuk menambahkan kekuatan tentera laut British di sebelah timur, yang sedang dalam pelayaran di Laut China Selatan menuju ke utara hendak ke Teluk Siam telah diserang dan dibom oleh kapal-kapal terbang angkatan tentera udara Jepun di laut lepas bersetentangan dengan Kuantan, Pahang hingga kedua-dua kapal perang besar British yang sangat dimegah-megahkan itu tenggelam ke dasar laut. Ini menyebabkan British sangat pasimistik, luntur semangat dan mengubah strategi bertahan kepada lariisme.

bersambung

---

artikel terkait


Categories

Pengikut