SUMBANGAN PASUKAN VOLUNTEER NEGERI-NGERI BERSEKUTU MEMPERTAHANKAN MALAYA DARIPADA SERANGAN FASIS JEPUN

SUMBANGAN PASUKAN VOLUNTEER NEGERI-NGERI BERSEKUTU MEMPERTAHANKAN MALAYA DARIPADA SERANGAN FASIS JEPUN

Oleh: Abu Samah Mohd. Kassim

(Kenang-kenangan ulangtahun ke-50 kekalahan fasis Jepun)

Pasukan Volunteer (Tentera Sukarela) Negeri-negeri Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) ditubuhkan pada tahun 30-an oleh penjajah British untuk mempertahankan tanah jajahannya Malaya daripada diceroboh oleh kuasa-kuasa asing. Negeri-negeri Yang Tidak Bersekutu iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor, imperialis British juga ada mendirikan tentera sukarelanya.

Tentera sukarela ini menjalankan latihan setiap satu atau dua kali di daerah masing-masing dan mengadakan latihan bentuk battalion di markas masing-masing setiap 6 bulan sekali yang memakan masa 2 hingga 3 minggu, manakala setahun sekali diadakan latihan secara besar-besaran apa yang dikatakan mobilais keluar daripada Negeri Bersekutu masing-masing. Tentera sukarela ini tidak mempunyai gaji, cuma diberi elaun 50 sen sehari sewaktu mengadakan latihan manakala makan dan unifom diberi percuma.

Kira-kira pada bulan Oktober tahun 1941 British telah mengerahkan Pasukan Volunteer Pahang berkumpul di markasnya di Raub, Pahang, kemudian pasukan atau battalion ini dipecahkan menjadi dua, satu bahagian dihantar ke Kota Bharu, Kelantan manakala satu bahagian lagi tinggal di Raub meneruskan latihan dan kemudian dihantar ke Port Diction untuk melakukan latihan secara intensif di sana. Saya ditempatkan di sana.

Kira-kira pada bulan awal bulan Disember tahun 1941 barulah pasuikan ini dihantar ke Kelantan bergabung dengan pasukan induknya. Dalam perjalanan ke Kelantan, pada pukul 10 pagi, 8 Disember 1941, pasukan ini telah dibom dan dimesingan oleh kapal terbang Jepun di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.

Di sini saya akan menceritakan sumbangan tentera sukarela Negeri Pahang yang bermarkas di Raub yang saya sendiri ikut serta berjuang di garis depan – di Negeri Kelantan yang menjadi salah satu pintu masuk pendaratan askar Jepun pada subuh 8 Disember 1941 itu.

1. Rancangan Penyerangan Fasis Jepun Di Luar Dugaan Imperialis British

Oleh kerana licinnya usaha diplomatik fasis Jepun yang menyembunyikan strateginya untuk menakluki negeri-negeri Tenggara Asia, menyebabkan Amerika Syarikat dan Inggeris menganggap Jepun tentu akan menyerang kawasan sebelah utara iaitu terhadap Siberia, Soviet Union. Ini difahamkan dari beberapa kenyataan berikut:

Pada bulan September 1940, Jepun telah menandatangani perjanjian 3 pihak dengan Jerman dan Itali. Menurut perjanjian itu, Jepun akan menyerang Soviet Union selewat-lewatnya pada bulan Ogos tahun 1941. Untuk maksud itu, Jepun telah memperbesar Tentera Kuangtung di Manchuria, kira-kira berjumlah 1.2 juta orang yang terdiri daripada 42 divisi infantry dan 7 divisi kavalari, 22 brigade infantry dan 2 brigade kereta kebal, sebuah brigade berani mati, 5,400 buah meriam, 1,200 buah kereta kebal dan 1,800 bual kapal terbang.

Kira-kira dalam bulan Julai tahun 1941, pihak Jerman Hitler memberitahu Duta Besar Jepun ke Jerman bahawa Jepun harus segera menyerang tentera Soviet Union di Timur Jauh. Juga sesudah serangan Jerman terhadap Soviet Union dimulakan, Menteri Luar Negeri Jepun Matsusako mendesak kerajaan Jepun supaya serta merta menyokong Jerman dengan mencetuskan serangan terhadap Soviet Union di Timur Jauh.

Oleh kerana cita-cita Nazi Hitler dan fasis Jepun ialah menghancurkan Soviet Union maka cita-cita bersama ini sesuai dengan polisi Amerika Syarikat, Inggeris dan Peranchis. Apatah lagi dengan menggunakan tangan orang lain sebagai godamnya.

Baik Inggeris mahupun Amerika Syarikat dengan lantangnya menyatakan sikap mereka yang berkecuali atau tidak campur tangan. Sebenarnya mereka bersekongkol dengan nazi dan fasis. Mereka mengharapkan Soviet Union di satu pihak, Jerman dan Jepun di lain pihak akan sengsara sendiri dalam perang yang berlanjutan tersebut.

Dalam kenyataan akhbar sehari setelah Jerman menyerang Soviet Union, Senator Harry Truman (kemudian menjadi Presiden Amerika Syarikat) mengatakan: Jika kita lihat pihak Jerman akan menang, maka kita harus menolong Russia, dan jika Russia akan menang, maka kita harus menolong Jerman. Dengan cara itu biarlah mereka berbunuh-bunuhan sebanyak mungkin. Manakala rakannya lebih terbongkar lagi apabila dia berkata bahawa kemenangan nazi Hitler terhadap Soviet Union lebih disukai oleh Amerika Syarikat.

Dari banyak fakta di atas jelaslah bahawa baik Inggeris mahupun Amerika Syarikat meyakini bahawa Jepun pasti akan melakukan serangan ke utara iaitu Soviet Union dan tidak menyangka Jepun akan menyerang ke selatan. Oleh yang demikian, kedua-dua imperialis itu tidak membuat persiapan yang sewajarnya bagi menghadapi serangan fasis Jepun.

bersambung

---

artikel terkait

PERKENALAN: SUMBANGAN PASUKAN VOLUNTEER NEGERI-NEGERI BERSEKUTU

Categories

Pengikut