SUMBANGAN PASUKAN VOLUNTEER: KEZALIMAN JEPUN MENYEDARKAN RAKYAT BANGKIT BERJUANG

8. Perasaan Tak Puas Hati Pasukan Volunteer Mendalam

Anggota-anggota pasukan volunteer yang mempunyai semangat bencikan Jepun yang meluap-luap dan keazaman menghentam pasukan Jepun itu sangat tak puas hati kepada dasar British yang takut dan tak berani bertempur terhadap Jepun itu berkata “orang putih yang bertubuh tinggi itu penakut, tak mahu melawan si pendek Jepun yang zalim”. Anggota-anggota pasukan volunteer dari pegawai hingga ke perajurit sangat tak puas hati terhadap British yang mengambil sikap lari, lari tak mahu melawan Jepun itu telah berputus asa. Oleh itu selama 2 malam berturut-turut , lebih 50 orang termasuk pegawai peringkat sarjan dan koperal telah melarikan diri balik menuju kampung halaman masing-masing. (gambar kiri: tentera British menyerah diri kepada tentera fasis Jepun)


Pada 25 Januari 1942, kapal terbang Jepun telah melakukan pengeboman dan memesingan ke atas pasukan volunteer di Dunlop Estate. Setelah selesai pengeboman tersebut, pegawai British mengumpulkan pasukan volunteer dengan memberitahu bahawa Inggeris akan berundur ke Singapura, siapa yang suka ikut ke Singapura bolehlah pergi dan di sana akan dibayar gaji atau elaun yang selama 4 bulan tidak dibayar itu dan siapa yang tak mahu ikut ke Singapura boleh balik ke negeri masing-masing dengan berjalan kaki dan tidak akan diberi apa-apa bayaran.

Keesokan harinya, beribu-ribu askar Penjab dan askar Australia dipindahkan dari Dunlop Estate Bahau, Negeri Sembilan ke Labis, Johor dan dari sana akan dihantar ke Singapura, manakala 500 orang lebih anggota pasukan volunteer dari Batalion Ke-4 yang berasal dari Pahang, dengan tangan kosong dan pakaian preman secara berkelompok-kelompok (40-50 orang satu kelompok) meninggalkan Dunlop0 Estate menuju ke Negeri Pahang dan balik ke kampung halaman masing-masing dengan membawa perasaan kesal terhadap British dan benci terhadap Jepun. Tak lama selepas itu, lebih kurang setengah bulan, iaitu pada 15 Februari 1942 kedengaranlah bahawa di Singapura pihak berkuasa tentera British telah mengaku kalah dan menyerah diri tanpa syarat kepada pihak berkuasa tentera Jepun.

9. Kezaliman Jepun Menyedarkan Rakyat Bangkit Berjuang

Di mana-mana tempat yang dilalui tentera fasis Jepun di awal pencerobohannya ke atas tanah air kita, di sana rakyat segala bangsa menderita, ditimpa bala bencana. Banyak rumah dibinasakan, harta benda dirompak, binatang ternakan ditangkap, wanita-wanita dirogol, laki-laki ditampar dan ditendang. Yang lebih menyayat hati umat Islam ialah masjid-masjid dan tempat-tempat ibadat dicemari, Al-Quran dan kitab-kitab suci dijadikan pengesat najis, barang-barang purba dijahanamkan. Ini telah menimbulkan kemarahan dan kebencian orang ramai terhadap askar-askar Jepun dan mereka telah mengenal akan watak kaum fasis Jepun yang sangat zalim itu.

Orang ramai di kampung-kampung Melayu di sepanjang Sungai Semantan, Pahang, iaitu kampung halaman saya sendiri, mereka tidaklah mendiamkan diri bila menghadapi askar-askar Jepun yang mengganas di hadapan matanya. Pada penghujung bulan Februari 1942, 3 orang askar Jepun yang bersenjata lengkap telah menaiki rumah di kampung Jambu Rias , Batu 21, Jalan Mentakab-Karak dengan tujuan melakukan angkara. Tetapi dajal-dajal itu mendapat tentangan hebat. Dalam pergelutan itu tuan rumah berjaya menetak mati seorang askar Jepun dan mengundurkan 2 orang yang lain. Keluarga kaum tani itu berjaya mengundurkan diri bersembunyi di dalam semak. (gambar kanan: tentera fasis Jepun menyerah diri kepada pihak bersekutu)

Untuk menyekat dan memadamkan semangat patriotik dan rasa benci orang-orang Melayu Semantan terhadap fasis Jepun, pada penghujung bulan Januari 1943, fasis Jepun telah menangkap dan membunuh Penghulu Semantan, Mohd. Maidin, cucu Allahyarham Datok Bahaman. Tetapi perhitungan fasis Jepun itu meleset. Ketika orang ramai menerima mayat Datok Penghulu yang dihantar balik oleh fasis Jepun dari Mentakab, Pahang, ketika itu juga suara berontak menagih dosa dari fasis Jepun telah kedengaran. Suara khidmat ini telah meniup dan menyalakan bara api yang tak pernah padam, yang melekat di jiwa ribuan orang-orang Melayu di Semantan. Mereka segera menyambutnya. Tetapi disebabkan keadaan tertentu, pemberontakan itu buat sementara tak dapat dilakukan. Bagaimanapun setelah terbentuknya Jawatankuasa Lembaga Rakyat Anti-Jepun, hampir-hampir setiap pemuda dan lelaki dewasa masuk menjadi ahli tersebut dan telah memberikan sokongan besar kepada Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya pimpinan PKM. Akhirnya pada 15 Ogos 1945, fasis Jepun telah mengisytiharkan menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu.


Abu Samah Mohd. Kassim

Bekas Lans Copral

No. 18370 FMSVF


tamat

---

artikel terkait

Categories

Pengikut