SEJARAH DAN MESIN TAIP UMNO

Oleh: Minda Panji Darman

Sejarah bukanlah suatu ilmu yang berguna jika ia bukan pengalaman sebenar sebuah bangsa. Jika ia hanya sebuah fitnah pula, pastinya bangsa itu akan terhukum berkali ganda di kemudian hari. Berapa lama ia boleh dibohongi ? dan berapa lama pula hukuman itu boleh ditangguhkan.

UMNO sebenarnya bukanlah juara. UMNO atau United Malays National Organization adalah sebuah parti gerombolan daripada 41 buah persatuan-persatuan Melayu yang kecil yang muncul pada tahun 1946, bergabung kemudian membentuk sebuah parti tanpa perlembagaan. Parti ini kemudiannya dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar (gambar kanan) yang berjuang atas nama perpaduan Melayu di bawah pengaruh Inggeris dengan semboyan lunak “Hidup Melayu” .

Yang menjuarai Kemerdekaan ialah PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya). Dr. Burhanuddin (gambar kiri) adalah pemimpin ulung PKMM. Pada 22 Februari 1947 beliau telah pun menjelajah berkempen di seluruh negara untuk membakar semangat rakyat untuk merdeka. Dalam Kongres Ketiga UMNO yang diadakan di Perak, PKMM telahpun mengemukakan usul merdeka dengan bendera merah putih sebagai lambang Malaya Merdeka. Akan tetapi kongres telah menolak usul tersebut. Kerana perbezaan hakiki inilah PKMM menarik diri dari gabungan itu.

Hari ini bendera ini dipakai oleh UMNO dengan disisip keris. Daripada namanya Sang Saka Merah Putih di ubah UMNO menjadi Sang Saka Bangsa tanpa makna. Daripada dua keris bersilang kini tinggal satu kerana sering bertelagah. Kebanyakan ahli UMNO tidak memahami bahawa bendera parti ini adalah saduran PKM-PKMM.

Antara aktivis progresif paling ikhlas dalam sejarah ialah Pak Sako, (gambar kanan) masuk keluar penjara kerana menentang penjajah. Di bawah kerajaan UMNO beliau hanya dikenali sebagai sastrawan dan bukan seorang pejuang kemerdekaan tulen. Pak Sako memimpin PUTERA, pernah menggugat kuasa British di Malaya. Menggabung aktivis kiri Melayu, menyemarak tuntutan merdeka secara perlembagaan. Bersama Dr. Burhanuddin al-Helmy beliau menjelajah seluruh negara berkempen membakar semangat rakyat menuntut merdeka.

Anggota PKMM sahaja sudah melebihi 100,000 dan kekuatan PUTERA-AMCJA keseluruhannya lebih kurang 1 juta ramainya pada ketika itu. Gabungan ini terdiri daripada PKMM, API yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam, AWAS (Angkatan Wanita Sedar) oleh Shamsiah Fakeh, Gerakan Angkatan Muda (GERAM) di bawah Aziz Ishak dan A.Samad Ismail dan BATAS (Barisan Tani Semalaya) pimpinan Musa Ahmad. Majlis Tertinggi Semalaya telah membentuk Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA yang dipimpin oleh Pak Sako. PUTERA kemudiannya telah membentuk Barisan Bersatu bersama AMCJA ( All Malayan Council Join Action) membina ikatan aktivis merdeka PUTERA –AMCJA .

Seluruh rakyat Malaya bangkit dan Inggeris menjadi cemas. UMNO belum ada bendera untuk dikibarkan. Kebangkitan rakyat menentang Malayan Union adalah tajaan PUTERA-AMCJA, justeru tidak hairan apabila tidak kelihatan bendera UMNO pada hari itu. Gabungan PUTERA – AMCJA telah mengemuka sepuluh pasal perlembagaan rakyat untuk membentuk sebuah negara Merdeka. Gabungan ini ialah bagi membina wadah perjuangan kemerdekaan ke suatu tahap yang lebih tinggi. Inilah barisan bersatu golongan patriotik – demokrasi untuk kemerdekaan tanah air paling perkasa yang pernah terbentuk dalam sejarah perjuangan Kemerdekaan Malaya.

UMNO di bawah pimpinan Dato Onn bukan saja tidak mahu merdeka tetapi menentang gerakan kemerdekaan dengan pelbagai ejekan yang menghinakan seperti ; “Di bawah Inggeris kita boleh makan daging” , “jika merdeka kita makan ubi kayu”, “Orang Melayu tidak ada yang boleh jadi menteri atau duta dan orang Melayu tidak tahu membuat jarum pun bagaimana hendak memerintah negara”.

Parti yang dipimpin oleh Datuk Onn ini juga adalah landasan untuk British bagi memaksa raja-raja Melayu menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Perjanjian ini telah ditandatangani oleh raja-raja Melayu pada 21 Januari 1948 di King House dan diumumkan oleh kerajaan British dan Sir Edward Gent, sebagai wakil Kerajaan British. Persekutuan Tanah Melayu sama sekali tidak menyentuh isu kemerdekaan Malaya malah menutup pintu perjuangan rakyat untuk kemerdekaan.

PUTERA–AMCJA kemudiannya telah membangkitkan rakyat semua kaum berjuang menentang rancangan tersebut pada tahun 1947 dengan melancarkan hartal di seluruh negara. Tindakan ini telah mencemaskan Inggeris hingga telah merancang Undang-Undang Darurat dan pengharaman ke atas parti-parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan. Pemimpin dan aktivis politik yang berjuang untuk merdeka telah ditangkap. UMNO adalah satu-satunya parti yang tidak diharamkan dan bersekongkol dengan British. Undang-undang darurat bukan sahaja berjaya menangkap, memenjara dan menggantung mati ribuan para pejuang kemerdekaan pada ketika itu malah berjaya melumpuhkan perjuangan nasionalisma kemerdekaan Malaya yang sebenar. Beberapa kerat pemimpin seperti Abdullah CD, Abu Samah dan lain-lain yang menyedari perkara ini dari awal telah menyelamatkan diri ke dalam hutan dan bergerila. Yang tidak berkesempatan seperti Kamarulzaman Teh, Boestamam, dan ribuan yang lain terpaksa merengkok dalam penjara sebagai tahanan politik. Turut tertangkap juga pemimpin-pemimpin kesatuan buruh. Mereka disiksa malah ramai yang digantung mati. (gambar kiri: Ahmad Boestamam digiring ke penjara)

Strategi penangkapan aktivis politik yang progresif dan pengharaman parti-parti yang berjuang untuk kemerdekaan ini dikira satu langkah British paling licik dan mendahului. Dr. Burhanuddin, setelah bersepakat dengan rakan-rakan seperjuangan daripada PKM dan API; dan memutuskan hanya satu jalan sahaja yang terbuka iaitu bergerila walaupun pada ketika itu tiada bersenjata. Apabila para aktivis politik ditangkap dan parti-parti progresif diharamkan maka bermulalah propaganda British terhadap PKM yang disifatkan sebagai Pengganas. Seperti biasa orang Melayu akan menelan segala propaganda itu. Kini ia telah tumbuh menjadi tulang, darah dan daging - “PKM adalah pengganas dan anti- Islam” Seperti biasa, sesetengah ulama akan menjadi seperti ular sawa yang melengkar kenyang bila dijamu telur. Mereka mula bekerja keras mem“brain wash” orang Melayu menghidang pelbagai jenis candu supaya rakyat jangan bangun menentang penindasan. Media UMNO mungkin telah dipaksa oleh tuannya supaya memperkemaskan dakyah ini dengan pelbagai fitnah terhadap para pejuang hinggalah ke hari ini.

Satu lagi bukti bahawa UMNO bukanlah juara ialah seperti yang disebut oleh Mustapha Hussein dalam Memoirnya hal 342 “ Pada tahun 1951, UMNO yang dipimpin oleh Datuk Onn setelah enam tahun tamatnya perang telah mengirim satu deligasi ke London untuk mengemukakan beberapa permohonan antaranya; memohon agar British mempertimbangkan pengambilan lebih ramai pegawai kerajaan serta polis terutama anggota yang berpangkat ASP serta isu-isu tentang pelajaran orang Melayu. Deligasi ini langsung tidak menimbulkan soal merdeka.”

Kesedaran untuk merdeka kepada aktivis PKM, PKMM dan Kesatuan Buruh telah bersemarak lebih awal lagi malah sebelum perang. Pada tahun 1947 tatkala UMNO usianya baru setahun, dalam satu persidangan di New Delhi mereka telah mengemukakan usul Kemerdekaan Malaya dengan Bendera Merah Putih berbintang 12 sebagai lambang Malaya Merdeka. Datuk Onn menolak untuk hadir dalam persidangan itu bagi menjaga kuasa British kerana itu lebih baik daripada Merdeka. Faktor Ini juga antara sebab beliau pernah menentang KRIS dulu yang mahu merdeka bersama Indonesia pada tahun 1945 ketika Jepun kalah. Akhirnya Kemerdekaan Malaya tertunda dan Inggeris kembali mencengkam bumi Malaya yang kaya. Di akhir episod ini kita akan saksikan UMNO dan orang Melayu akan terhukum kerana kebutaannya terhadap sejarah yang kononnya kemerdekaan ini adalah atas kebijaksanaan Tunku dan mesin taipnya.

---







7 ulasan

Salam.
Sedih saya dan mungkin sahabat-sahabat yang lain mengenang nasib para pejuang di Malaya ini.
Kini dapat kita lihat propaganda yang dicanang selama ini sudah agak berjaya hingga ramai kaum-kaum generasi muda buta sejarah tidak kenal akan pejuang-pejuang terdahulu.
Lebih memilukan anak-anak muda ini ramai juga yang terdiri daripada bangsa Melayu sendiri.
Namun saya masih percaya, api perjuangan yang pernah dinyalakan oleh pejuang-pejuang terdahulu ini masih lagi berbara dan panas serta hanya bila-bila masa sahaja ia akan menyala kembali.
Menantikan saat ini.
Wahai seluruhnya, sedarlah kita akan realiti ini.
Bersatu padulah segenap baka,
membela hak keadilan pusaka.(memetik baris akhir pantun pusaka Dr. Burhanuddin al-Helmi)
Wassalam.

Reply

yang menjadi masalah utama ialah apabila sejarah dijadikan alat propaganda bertujuan untuk mencuci otak anak bangsa guna (kononnya) mengekalkan kekuasaan umno.
sejarah yang diajar disekolah sejak sekian lama memaparkan jasa dan budi umno (barang diingat dimaksudkan ialah umno tahun 1946 bukannya umno 'reincarnation' di tahun 1987)semata-mata dan meminggirkan peranan,jasa,sumbangan yang lain.
dan ini memualkan.maka itu jangan terkejut jika anakbangsa hilang jati diri,dituduh tidak patriotiks dan nanar.kesemua ini antaranya kerana distortasi (distortations) fakta dan kejujuran sejarah demi survival politik umno semata-mata.
bukankah yang membentuk psikik dan keperibadian bangsa itu dari aspek pensejarahan bangsa itu sendiri?
dan pak sako,sang pemula yang bohemian,siapakah yang mengenang budi dan jasa beliau?bangsa ini yang diperjuangkan oleh pak sako dengan keringat,airmata dan darah,kelihatanya terlalu miskin akalbudi dan penghargaan.di temerloh,tanah tumpah darahnya,hanya selorong jalan kecil diberi nama jalan pak sako!itu sahaja harga seorang pejuang.
maka upaya untuk menjernihkan sejarah harus di mulakan tanpa tangguh.

Reply
zack_m_png mod

harap pihak tuan dapat membukukan semua artikel yg ditulis agar mudah dijadikan rujukan dan PASTI boleh diajdikan koleksi

Reply

Satu pendedahan yang menarik, p/s : tahniah pak amin kerana berjaya muncul kembali setelah "dibenamkan"

Reply

Assalamualaikum,

Saya merupakan generasi baru yang lahir 30 tahun selepas 1957.

Memang benar, sukar bagi kami memahami sejarah yang sebenar lantaran kami melihat 63 tahun lalu dengan kanta yang berbeza.

Begitu juga dengan hari ini. Bagaimana lah agaknya generasi 50 tahun akan datang melihat Tun Mahathir, Dato Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Nik Aziz? Allah saja yang Maha Mengetahui.

Terima kasih atas artikel ini. Malangnya saya belum dapat memberi ketetapan, versi mana yang perlu dipercayai. Semoga Allah memberikan hidayah kepada kami semua, generasi muda

Reply

Sejarah negara ini ditulis mengikut acuan dan kepentingan British. Kita merdeka mengikut acuan yang sama. Perlembagaan yang selalu dijulang keluhurannya bersadurkan perlembagaan Negara India. Sampai sekarang acuan itu tidak diubah. Tidak ada siapa yang mengusiknya. Yang berpendidikan dan mengerti, maklum akan pencongan sejarah. Yang tidak berpendidikan terus hanyut dibawa arus sejarah yang sudah tentu silapnya.

Reply

salam...saya tidak myokong mane2 parti.tetapi UMNO dulu,kini selamanya akan kekal teruk begini.. hampir kesemua buku gerakan kiri ini telah saya dapati.Saya seorang yg muda berumur 22thn.sejak dari bangku sekolah saya hairan dengan sejarah kita.umur saya 16thn saya mula mencari kebenaran dengan surf internet mnaip nama almarhum ulama kita rashid maidin.Saya katakan dia ulama kerana saya ada sebuah buku yg bertajuk Tokoh Ulama Kemerdekaan.nama beliau ada di sebut.kini kita boleh bertanya,adakah komunis ini anti-agama? daripada mereka yg UMNO ini byk minum-minum setan??saya juga ajk UMNO di kawasan saya.Jadi saya tahu la semuanya..haaha.dan yg paling best hampir kesemua ilmu hutan yg mereka gunakan adalah pengalaman dr ilmu PENGAKAP sendiri..mereka praktik kan.tiada tentera luar yg mengajar mereka..sape cakap komunis jahat maknanya Pengakap pun jahat..saya seorang ahli pengakap.Sardon jubir pun Pengakap tulen tak sama macam menteri sekarang yg masuk Pengakap.hipokrit.kesian kepada almarhum dr. burhanuddin meningal di dalam tahanan ISA.ISA ni negara islam punya ker?? 1malaysia 1Isa?? Bila la nak bubarkan..nanti alasan kakak2 dan abang2 saya mesti jawab,nanti cina india mengamuk kita nak tahan dorang bg masuk ISA la..kalau ISA bubar negara kita akan kucar kacir.. -kepala hotak hang...yg baik dtg drpd Allah,yg buruk dtg drpd diri kita sendiri.

Reply

Categories

Pengikut