MASA KECIL YANG PENUH DERITA

Mengapa golongan miskin selalu terpinggir? Sebahagian mereka hidup amat menderita bahkan tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa kehidupannya lebih buruk dari haiwan. Satu jawapan kepada soalan ini ialah kerana penindasan kelas. Kelas kapitalis sememangnya adalah kelas pemeras dan penindas - memeras kaum pekerja untuk mengeruk keuntungan yang melimpah ruah. Akibat wajar dari pemerasan dan penindasan tersebut kaum pekerja terutama kaum buruh dan tani menjadi semakin melarat. Akibat dari sistem kapitalis itu, muncullah bermacam-macam penyakit masyarakat sebagaimana kita lihat hari ini. Hidup berpoya-poya, membazir, sombong dan bongkak menjadi budaya kaum kapitalis.

Yang ingin dikongsi bersama di sini ialah kisah Arwah Dolmat di masa kecil.

Dolmat atau nama sebenarnya Dolah dilahirkan pada tahun 1930 di sebuah tani miskin di Wilayah Patani. Ibunya bernama Timah dan ayahnya bernama Yaakub. Ketika berumur 3 bulan, ayahandanya yang tercinta meninggal dunia. Dolmat yang masih tak mengerti apa-apa lagi itu dipelihara oleh neneknya.

Neneknya seorang pelatah, sedikit terkejut, terus melatah. Kebetulan pada suatu hari, ketika menemani nenek memotong getah, neneknya terkejut oleh sesuatu lalu melatah. Nasib malang bagi Dolmat. Ketika melatah itulah, neneknya menikam mata Dolmat dengan pisau penoreh getah tanpa sengaja. Sebelah mata Dolmat menjadi buta.

Ibarat kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga, ketika berusia 5 tahun, neneknyanya pula kembali menemui Illahi. Dolmat yang masih kecil kembali tinggal bersama ibunya yang ketika itu sudahpun berkahwin semula.

Ibu dan bapa tirinya hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, dan berhutang di sekeliling pinggang. Pada suatu hari ketika Dolmat berusia 6 – 7 tahun, seorang yang berharta di kampung itu datang menuntut hutang 20 gantang padi yang dipimjam oleh ayah tirinya beberapa tahun lepas.

Dolmat telah dijadikan “barang dagangan” sebagai bayaran 20 gantang padi tersebut. Sejak hari itu Dolmat menjadi “hamba’” kepada orang kaya tersebut tanpa sebarang ganjaran.

Di rumah orang kaya tersebut, Dolmat diperlakukan seperti hamba. Setiap hari beliau disuruh membuat bermacam-macam kerja yang berat-berat di luar kemampuannya. Sedikit silap, beliau dipukul dan dimaki hamun. Sudahlah begitu, Dolmat tidak pula diperlakukan dengan adil. Beliau tidak dibenarkan makan bersama keluarga tuan rumah. Makanan yang diberikan pula hanyalah sisa-sia tuan rumah dan amat tidak mencukupi dengan keperluan perutnya. Ada masanya, beliau hanya diberikan nasi yang sudah basi.

Sepanjang masa beliau hidup dalam keadaan perut berkeroncongan. Kerana tidak dapat menahan lapar, beliau terpaksa mencuri makanan di dapur ketika tuan rumah nyenyak tidur waktu malam.Begitulah Dolmat menghabiskan masa bertahun-tahun sebagai hamba.

Keadaan Dolmat yang dipekerjakan sebagai hamba itu telah diperhatikan oleh seorang hamba Allah yang budiman. Pada suatu hari ketika Dolmat menjaga lembu tuan rumah, hamba Allah tersebut telah bertanya kepada Dolmat tentang keadaan sebenarnya. Berceritalah Dolmat penderitaannya dengan linangan air mata. Setelah mendengar cerita tersebut, berlaku dialog antara Dolmat dan hamba Allah tersebut:

hamba Allah: “Apakah kamu tidak berniat melarikan diri dari sini?”
Dolmat: “Pakcik, ke mana saya hendak lari, saya sebatang kara”.
Hamba Allah: “Apakah kamu setuju jika tinggal bersama aku?”
Dolmat: “Pakcik, saya amat berbesar hati jika ada orang yang mahu menyelamatkan saya”.

Sejak dari masa tersebut, Dolmat ikut bersama manusia budiman itu ke kawasan Resak, Narathiwat. Dolmat diberikan sebuah bilik tidur dan dicarikan kebun getah untuknya mendapatkan nafkah. Di sini juga lah Dolmat disunatkan (masuk jawi). Kebetulan juga ketika itu 2 orang anak hamba Allah itu telah berumah tangga dan tinggal berasingan. Beberapa tahun kemudian, dengan bantuan hamba Allah tersebut, Dolmat telah menemui jodohnya. Dan sejak itu jadi Dolmat sebagai manusia selayaknya.

Pada penghujung tahun 1950-an, Pasukan Rejimen Ke-10 telah tiba di kawasan Yala - Patani untuk menyusun dan menyedarkan kaum tani Melayu di kawasan pendalaman dan membangun pangkalan gerila. Dari pengalamannya yang penuh derita, beliau cepat menerima penerangan kawan-kawan regu penyusun massa. Sedarlah Dolmat mengapa beliau mengalami hidup yang penuh derita.

Kerana kegiatannya yang aktif sebagai anasir cergas regu penyusun massa, beliau menjadi perhatian ejen penjajah British yang ketika itu telahpun membentuk kerjasama dengan Bangkok untuk memerangi PKM dan Rejimen Ke-10.

Untuk mengelakkan dari tangkapan kaum reaksioner, pada awal tahun 1960-an, beliau menyertai perjuangan bersenjata bersama Rejimen Ke-10 TPNM yang bergerak di kawasan Yala. Di dalam pasukan, beliau melihat sebuah dunia baru di mana setiap orang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, susah senang hadapi bersama-sama, tidak ada darjat tinggi dan rendah. Peningkatan kesedaran kelas ini telah mendorongnya menjadi seorang anggota Parti Komunis Malaya.

Beliau pernah membuat bermacam-macam pekerjaan yang ditugaskan seperti menyusun massa, kerja dalam pasukan, kerja utusan, kerja logistic, membuat stor strategic dan lain-lain. Pada tahun 1969 dan 1970, beliau berturut-turut menyertai 2 kali pasukan penggempur bergerak di kawasan Ulu Kelatan di bawah pimpinan Abu Samah Mohd. Kassim.

Pada tahun 1973, beliau ditukarkan pula ke Pasukan Penggempur Ke-15 di bawah pimpinan Rashid Maidin yang bergerak di kawasan sempadan Kelantan – Perak – Thailand. Beliau telah dilantik sebagai salah seorang kader pasukan tersebut.

Dalam perjuangan yang berliku-liku, beliau pernah 2 kali terkena periuk api dan sekali terkena panahan petir. Beliau juga pernah beberapa kali diserang hendap, beberapa kali bertempur secara berhadap-hadapan dengan tentera upahan kerajaan reaksioner dan pernah patah tangan terkena peluru. Berbagai ujian dan dugaan tersebut telah menempa tekad beliau menjadi semakin teguh dan tabah mempertahankan perjuangan sehinggalah termaterinya perjanjian perdamaian antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya di Hadyai pada 2 Disember 1989.
---

Catatan: Kisah MASA KECIL YANG PENUH DERITA yang dipaparkan di atas diceritakan sendiri oleh Allahyarham di dalam majlis yang diadakan di Pasukan Penggempur Ke-15. Ketika mendengar kisah ini, ramai kawan menitis air mata, termasuk Allahyarham Rashid Maidin. Siapakah hamba Allah dalam kisah di atas tidak pula diterangkan beliau.

Categories

Pengikut