LONGMACH REJIMEN KE-10: MAKAN BUAH-BUAHAN HUTAN DAN SAYURAN LIAR

Makan Buah-buahan Hutan dan Sayuran Liar

Perjalanan kali ini agak luar biasa, tak seperti yang sudah-sudah. Kami tanpa utusan, terpaksa menempuhi kawasan tanpa manusia, dan tanpa ladang Orang Asli. Saya menggunakan kompas dan peta untuk menentukan arah yang hendak dituju. Masalah perbekalan harus bergantung sepenuhnya kepada sumber makanan di dalam hutan rimba.

Pengaturan kami diatur sesuai dengan keperluan. Pengakap depan terdiri dari kawan-kawan yang handal bertempur juga handal berburu dan memanjat pokok serta kenal buah-buahan dan sayur-sayuran hutan. Sepanjang perjalanan, pasukan pengakap depan akan memungut buah-buahan dan sayur-sayuran lalu meletakkan di tepi jalan. Pasukan yang menyusul di belakang mereka akan mengambilnya dan membawa ke tempat bermalam untuk sama-sama menikmatinya.

Nasib baik juga masa itu musim buah-buahan. Banyak buah-buahan hutan seperti petai dan lain-lain kami petik untuk dijadikan makanan. Selain itu kami berburu dan menangkap ikan. Di sungai-sungai besar terdapat ikan tengas, kelah dan sebagainya.

Akhirnya kami tiba di Sungai Tiang. Nasib baik di Sungai Tiang kami bertemu dengan rombongan kader pimpinan yang dihantar Markas Agung. Beliau menugaskan beberapa orang dari rombongannya memandu kami ke Kampung Belum.

lihat KAMPUNG BELUM MANGSA KEKEJAMAN INGGERIS

Dari kampung Belum, kami meneruskan perjalanan ke Kampung Hala. Kami tiba di Hala pada 7 Oktober 1954. Kampung Hala terletak berhampiran kawasan sempadan di sebelah Negeri Thai. Massa di Kampung Hala juga telah dihalau ke Dusun Nyor. Di situ hanya terdapat kesan-kesan rumah dan tanaman yang telah dimusnahkan.

Pihak organisasi Parti telah menyediakan ribuan gantang padi dan seekor kerbau jantan besar untuk kami. Dengan ini tugas perjalanan kami telah selesai. Kami berehat sementara untuk menjalankan tugas baru di kawasan sempadan.

bersambung
---
dipetik dari: Memoir Abdullah C.D (II)- Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10

artikel terkait:

Categories

Pengikut