HANTU SERI PERDANA



HANTU SERI PERDANA

Malam di ibu kota
yang biasanya ligat dengan kesundalan
lengang
kerana semua mata terpaku
di depan kaca TV
mendengar kiraan undi

Sudah kucanangkan ke seluruh dunia
akulah pemenangnya
dengan kelebihan dua pertiga majoriti
biarpun aku curang dan autokrasi

Undi untukku adalah undi "pembangunan"
kerana tradisiku tetap membasmi si miskin
demi menggemukkan kerabat-kerabat
biarpun muflis perbendaharaan negara


Undi untukku undi "demokrasi"
usah bicara pada
riuh rendah
si langau di parlimen
kerana segala kuasa
sebenarnya di tanganku jua

Undi untukku undi "kepercayaan"
kepada pencoleng-pencoleng yang berteladan
'kan BMF dan UMBC
contoh gemilang?

Sesungguhnya
aku amat bimbang
kerana undiku
adalah undi wang dan ugutan
dan kian hari kian menghebat
bayang-bayang gelap Malacanang
menghantui
senja Seri Perdana yang ngeri.

oleh: Imran
10 Ogos 1986



---
dipetik dari SULUH RAKYAT, Bilangan 22, Julai - Ogos 1986
Akhbar Suluh Rakyat adalah lidah rasmi Parti Kebangsaan Melayu Malaya di bawah pimpinan Abdullah C.D. dan kader bawah tanah Rejimen Ke-10.

Categories

Pengikut