ABDULLAH C.D.: SEJARAH PENUBUHAN PKM


Mengkaji Sejarah Penubuhan PKM


Pada masa yang sama, saya juga cuba mengkaji sejarah penubuhan PKM di Negeri Sembilan. Mengikut catatan sejarah, PKM ditubuhkan pada 30 April 1930 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Oleh itu saya menganggap Negeri Sembilan sebagai negeri yang bersejarah dan penting bagi gerakan kemerdekaan nasional dan gerakan patriotik-demokratik. Apabila saya tiba di Negeri Sembilan pada tahun 1946, saya berusaha menyingkap kembali sejarah penting yang berlaku 16 tahun sebelum itu.


Zahid yang saya lantik sebagai pembantu dan sebagai salah seorang pimpinan pada peringkat negeri telah membantu saya menghubungi mereka yang pernah terlibat dalam gerakan sebelumnya. Saya selalu pergi ke rumah Zahid dan kadang-kadang bermalam di sana. Isterinya keturunan Tionghua yang memeluk agama Islam, adalah aktivis gerakan anti-Jepun, peramah dan kasih mesra. Dia dengan penuh semangat menyokong gerakan kemerdekaan dan memberikan kemudahan-kemudahan kepada Zahid dan saya dalam menjalankan tugas perjuangan. Oleh itu, rumahnya menjadi tumpuan untuk kerja-kerja Jabatan Kerja Melayu dan PKMM.


Zahid agak luas pergaulannya dengan orang ramai daripada pelbagai kaum. Beliau rapat dengan Pak Sutan Djenain sejak masa Jepun lagi. Dia memperkenalkan dua orang tokoh veteran kesatuan buruh dan membantu saya bertemu dengan mereka. Dua orang ahli kesatuan buruh itu menerangkan bahawa mereka berasal dari Jawa, tetapi menetap di Sumatera dan ikut serta dalam revolusi Indonesia tahun 1926 di bawah pimpinan Parti Komunis Indonesia. Apabila revolusi itu gagal, mereka terpaksa merantau ke Malaya dan menetap di Kuala Pilah, bekerja sebagai penoreh getah. Mereka memberitahu bahawa mereka adalah anggota Kesatuan Buruh Merah iaitu MGLU. Ketika saya menemuinya, mereka masih menjadi anggota kesatuan itu dan membayar yuran tiap-tiap bulan. Mereka menjelaskan bahawa Kesatuan Buruh Merah itu mempunyai hubungan antarabangsa yang luas termasuk dengan Soviet Union.


Saya bertanya tentang peranan mereka dalam kesatuan tersebut. Mereka menjelaskan bahawa mereka hanya anggota biasa saja. Mereka dipimpin oleh seorang kader kesatuan buruh orang Tionghua keturunan Hailam. Kader itu bekerja sebagai orang gaji di rumah seorang pegawai kerajaan di Kuala Pilah dan tinggal di sebuah bilik di belakang rumah pegawai itu. Mengikut orang Jawa itu, mereka berhubung dengan kader itu secara sulit.

Bercakap berkenaan pengalamannya yang lepas, orang Jawa itu menceritakan bahawa menjelang hari buruh antarabangsa pada penghujung April 1930, kader orang Hailam itu menjemput orang ramai dari kesatuan buruh menghadiri satu perhimpunan di dalam sebuah kebun getah di kawasan antara Kuala Pilah dan Batu Kikir. Ramai buruh yang hadir, kebanyakannya adalah buruh penoreh getah Tionghua dan sejumlah buruh penoreh getah Melayu. Kedua-dua orang Jawa itu ikut serta dalam perhimpunan itu.


Mereka menceritakan bahawa di tempat perhimpunan pada hujung bulan April 1930 itu dipasang bendera merah. Pada hari tersebut para pemimpin kesatuan buruh dari berbagai-bagai tempat hadir untuk mesyuarat penting. Tetapi sebelah petangnya, regu berkawal yang memerhatikan keadaan sekeliling tempat perhimpunan itu memberitahu bahawa ada dua orang yang dicurigai melakukan penyiasatan tentang perhimpunan itu. Disebabkan keadaan itu, perhimpunan ditutup secara darurat, dan para pemimpin kesatuan buruh bergegas berpindah ke Johor.


Orang Jawa itu menjelaskan, selepas itu barulah mereka mengetahui bahawa perhimpunan itu adalah kongres untuk menubuhkan PKM. Saya mengemukakan pertanyaan untuk mengetahui di manakah pemimpin-pemimpin itu melangsungkan kongres itu. Mereka menjawab bahawa mereka hanya mengetahui di Johor. Tetapi ada berita yang mengatakan kongres itu dilangsungkan di Buluh Kasap, Johor. Ho Chi Minh selaku wakil gerakan komunis antarabangsa (Comintern) membuat ucapan dan merasmikan penubuhan PKM. Beberapa organisasi bersifat internasional yang menjadi tulang belakang penubuhan itu antaranya ialah Nanyang Provisional Committee, Nanyang General Labour Union dan Nanyang General Seamen’s Union (NGSU). Dalam NGSU terdapat beberapa kader Melayu dari Indonesia. Mereka sering datang ke Malaya menyusun kesatuan buruh dan tani di sini.


Pak Sutan Djenain pernah menceritakan kepada saya bahawa setahun sebelum penubuhan PKM iaitu pada tahun 1929, kaum tani di Tampin, Negeri Sembilan pernah mendirikan Soviet Tani yang bersifat pelbagai kaum. Mengikut Sutan Djenain organisasi itu disusun oleh NGSU melalui orang Tionghua Hailam dan merupakan barisan bersatu buruh tani yang pertama wujud di Malaya bawah pimpinan proletariat.


Saya bertanya kepada orang Jawa itu apakah maksud bendera merah masa itu, apakah bermaksud parti komunis. Dia menjelaskan bahawa bagi kesatuan itu, bendera merah bererti buruh dan tani Soviet.


---

Dipetik dari Memoir Abdullah C.D. bahagian pertama ZAMAN PERGERAKAN SEHINGGA 1948 - terbitan SIRD, 2005

Categories

Pengikut