MELI KAPAK JANGAK: TERIMA BUKU SUMBANGAN HAJI ABDULLAH C.D.

Terima buku sumbangan Haji Abdullah CD
Saturday, March 27, 2010
http://melikapakjangak.blogspot.com/2010/03/muncul-kembali-715.html

SIFAT semula jadi saya, akan berusaha untuk tahu tentang sesuatu perkara sehingga jelas lagi jilah walaupun ianya sukar dan mengambil masa yang lama.

Saya mendapat gambaran tentang komunis Melayu dari Dollah Sulong tokcik saya jauh berbeza dengan apa yang dianggap oleh kebanyakan rakyat Malaysia serta apa yang terkandung dalam catatan sejarah dan juga apa yang difilem serta yang didramakan.

Untuk itu saya pernah beberapa kali ke perkampungan penempatan bekas anggota Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional dan merupakan antara sayap Parti Komunis Malaya (PKM) yang kesemua anggotanya beragama Islam.

Saya pernah menulis secara bersiri dalam akhbar mingguan dan menyiapkan buku mengenainya yang saya akan terbitan nanti bila saya rasa ianya lengkap supaya rakyat negara ini tidak terus terdodoi oleh ulitan catatan sejarah versi penjajah.

Saya sempat berjumpa beberapa kali dengan Haji Abdullah CD selaku Pengerusi PKM, Suriani Abdullah atau Eng Ming (isteri Abdullah CD) selaku jawatankuasa kerja pusat PKM, Rashid Maidin dan isteri serta Abu Samah Mohd. Kassim.

Saya mendapat cerita lisan tentang perjuangan mereka dan juga penjelasan tentang kenapa mereka memilih memikul senjata dan setelah termentrai perjanjian damai, kenapa mereka memilih bermastautin di Selatan Thai, bukannya kembali ke Malaysia.

Pada satu ketika saya pernah bersama Ustaz Akhir Hay dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu, Haji Wan Jamil Wan Mahmood mengunjungi Rashid Maidin di Perkampungan Malaysia di Yala. Seorang exco kerajaan negeri yang patut ikut serta telah membatalkan hasrat mengunjungi Rashid Maidin pada saat-saat akhir, mungkin kerana takut.

Di samping itu saya pernah menemani seorang bekas ketua pengarah kepada sebuah jabatan kerajaan mengunjungi Abdullah CD di Shukhirin selain dari turut membawa beberapa orang penulis berjumpa dengan Abdullah dan Abu Samah.

Ketika kunjungan pertama kali saya, kebetulan Abdullah CD, Surian, Abu Samad dan Siti Norkiah isterinya serta Rashid Maidin dan Selamah (Cina Muslim) isteri Rashid baru kembali dari Mekah menunaikan fardhu haji yang ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

Kemunculan blog http://www.matamin02.blogspot.com yang menjadi saluran maklumat Rejimen Ke-10 menjadikan Rejimen Ke-10 terasa dekat dengan saya dan kematian Abu Samah misalnya saya dapat maklumatnya dari blog berkenaan. Ketika kematian Rashid Maidin rasanya blog berkenaan blog wujud.

Seorang guru yang merupakan cicit kepada seorang pejuang bernama bernama Manaf berasal dari Temerloh yang mahu saya cuba kesan Manaf melalui seorang cikgu yang merupakan cucu saudara kepada Yahya (anggota Rejimen Ke-10) berasal dari Pasir Puteh, saya telah menghubungi Mat Amin melalui email.

Yahya berjaya dikesan dan beliau menetap di Panga, Phuket. Yahya ada isteri dan anak di sana tetapi tidak boleh berbahasa Melayu. Yahya pernah balik ke Kampung asalnya Gong Serai (Padang Pak Amat) beberapa kali tetapi tidak ada siapa yang tahu ke mana keluarganya berpindah. Yahya telah meninggal dunia di Panga beberapa tahun lepas.

Manakala Manaf belum dapat dikesan kerana saya tidak diberi maklumat lengkap untuk disalurkan kepada Mat Amin bagi memudahkan pengesananan. Kebanyakan anggota Rejimen Ke-10 dan anggota PKM mengguna pelbagai nama. Saya difahamkan cicit kepada Manaf merupakan seorang guru dan kini mengajar di sebuah sekolah di Gua Musang.

Permintaan pencarian itu telah membawa tuah kepada saya apabila Abdullah CD melalui Mat Amin telah menjanjikan menghadiahkan bukunya kepada saya bagi membantu saya menyiapkan buku saya tentang Rejimen Ke-10.

Semalam , 27hb. Mac, 2010, saya telah menerima sumbangan itu yang dipos oleh Yaakob Ibrahim. Terima kasih Bong Dollah dan terima kasih juga Yaakob Ibrahim dan Mat Amin atas sumbangan yang bagi saya lebih bernilai dari jongkong emas itu.

Melalui 1 set menangungi tiga buah buku Memoir Abdullah CD, maka dapatlah saya kenali dengan lebih mendalam beberapa orang tokoh yang pernah ada kaitan dengan Rejimen Ke-10. Kebanyakan tempat yang tercatat dalam memoir berkenaan pernah saya kunjungi dalam mendapatkan maklumat untuk buku saya.

Antara tokoh yang saya dapati ada kaitan dengan Rejimen Ke-10 adalah Dr Burhanuddin Al-Helmy yang pernah menjadi Yang Dipertua Agung Pas dan Kamarulzaman Teh yang rupanya adalah abang kepada sahabat saya Haji Alang Ahmad Teh, bekas ketua Biro Utusan Melayu Pahang dan pernah menjadi bekas Ketua Biro Harian Watan ketika saya menjadi Ketua Biro Harian Watan di Kelantan.

Posted by melikapakjangak at 11:48 PM
---
dipetik dari: http://melikapakjangak.blogspot.com

3 ulasan

Lawak betul bila seorang Exco Kerajaan Kelantan tarik diri saat akhir.. Saya kenal sangat dengan orang jual agama ni..pengecutnya mereka ni tak ada siapa boleh tumpang. Bukan apa tu takut nanti jadi isu.. Nanti tak pasal2 kena letak jawatan exco. Hilanglah RM yang puluh ribu sebulan tu.

Reply
zack_m_png mod

betul la tu, exco banyak duit, duit lebih leh derma kat PASTI lagi berkat

Reply

nape dia takut??? cerita la abis...

Reply

Categories

Pengikut