LONGMARCH REJIMEN KE-10: BABAK PERTAMA PERJALANAN

Tahun 1953, atas perintah Markas Agung Tentera Pembebasan Nasional Malaya, Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 melakukan perjalanan jauh ke kawasan sempadan. Ini adalah salah satu rancangan strategik yang diputuskan oleh Markas Agung TPNM dan Jawatankuasa Pusat PKM.

Untuk melaksanakan rancangan strategik ini, Rejimen Ke-10 dibahagikan kepada 2 bahagian, satu bahagian dipimpin Abdullah C.D., dinamakan Pasukan Hang Jebat memikul tugas perjalanan jauh manakala satu bahagian lagi dipimpin Jasman mempertahankan basis Temerloh.

Berikut adalah petikan catatan Abdullah C.D. yang dimuatkan dalam Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua: Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10, terbitan SIRD.

Babak Pertama Perjalanan

Pasukan mengorak langkah meninggalkan Temerloh pada 17 Jun 1953. Persiapan pertempuran dan sebagainya telah diatur rapi. Pengakap depan satu regu khas terdiri dari kawan-kawan yang berpengalaman bertempur, antaranya Masin dan lain-lain. Selaras breengun diletakkan di regu ini. Abu Samah, Rosli dan Latif bersama regu ini. Jika berlaku pertempuran secara tiba-tiba, mereka akan segera mengarahkan pertempuran.

Perjalanan diatur mengikut peraturan rapi supaya memudahkan melakukan pertempuran. Regu pertama ialah pengakap depan diikuti oleh regu utusan. Regu utusan ialah regu yang menunjukkan arah perjalanan kami ke tempat yang hendak dituju. Regu kedua ialah saya dan pengawal, regu ketiga ialah Eng Ming Ching dan pengawal kemudian diikuti oleh seksyen-seksyen. Akhir sekali ialah pengakap belakang, 3,4 orang. Tugas pengakap belakang ialah mengawasi keadaan di belakang, menutup kesan-kesan tapak kasut dan sebagainya.

Dalam perjalanan ini, setiap kawan membawa bahan makanan seberat-beratnya. Kira-kira sebulan setengah berjalan, kami melalui Bentong, Teras dan tiba di Raub Pahang Utara. Kebetulan pada masa itu hubungan utusan terputus dan bahan makanan juga telah habis. Massa rakyat di kampung-kampung berdekatan telah dihalau penjajah ke dalam kem kurungan. Tapi di situ banyak pisang. Itulah makanan pokok kami. Di samping itu kami mengalas perut dengan memakan pucuk paku, buah-buahan hutan dan sagu kabung.

Tiada beras merupakan suatu pengorbanan yang cukup berat. Inilah pengorbanan pertama yang dilalui oleh perajurit Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10. Akan tetapi semangat "berani terjang lautan api, berani mendaki gunung belati" menyemangati hati kawan-kawan. Walau bagaimanapun ada 3 orang perajurit yang tak tahan menghadapi pengorbanan ini meninggalkan pasukan kembali ke Temerloh. Seorang daripada mereka bernama Zahari telah menyerah diri kepada musuh. Penyerahan diri Zahari ini memberikan kesan yang buruk ke atas rancangan perjalanan kerana ia telah membocorkan maklumat militeri kami kepada penjajah. Berdasarkan maklumat inilah, penjajah membuat analisa tepat tentang kekuatan kami, pergerakan kami dan mengatur strategi untuk menyerang dan menghapuskan kami.

Di Raub, hubungan utusan terputus. Biasanya dari Raub ke Cameron Highlands ada utusan melalui orang ramai. Tapi masa itu orang ramai telah dihalau ke dalam kem kurungan. Kerana itu kami terpaksa mengubah arah perjalanan untuk menghubungi Markas Besar Rejimen Ke-11 di Pahang Utara.

Untuk ke tempat Markas Besar Rejimen Ke-11, ada 2 orang pengawal Melayu boleh memandu kami. Akan tetapi kami harus memilih di antara 2 jalan, satu jalan lambat tetapi selamat dan satu jalan lagi bahaya tetapi cepat. Jalan yang selamat ialah dengan berputar-putar mengelakkan ladang-ladang dan kampung- kampung baru (kampung berkurung) yang memakan masa satu bulan lebih. Jalan yang bahaya pula ialah harus melintasi beberapa tempat bahaya seperti menyeberangi jalan raya Raub - Benta yang sentiasa dipatrol oleh musuh, menyeberangi Sungai Lipis yang deras arusnya, dan melalui pos kawalan musuh. Jalan ini memakan masa 2 hari sahaja.

Untuk mempercepat perjalanan pasukan saya memilih jalan kedua iaitu jalan yang bahaya ini untuk menuju ke tempat Markas Besar Rejimen Ke-11. Sebelum bertolak, saya mengerahkan segenap kader supaya memberikan teladan yang baik kepada perajurit, di samping itu juga mengobarkan semangat perajurit. Bila ditanya, setiap kawan termasuk kawan-kawan wanita sanggup menghadapi tempat-tempat bahaya yang disebutkan.
Kami memulakan perjalanan lebih kurang pukul 4.30 petang. Sebelum melintasi jalan raya satu regu kawan diatur berkawal untuk menjaga keselamatan kawan-kawan yang sedang melintasi jalan raya. Kami mengambil masa kira-kira 2 jam menyeberangi jalan raya dan Sungai Lipis dengan lancar dan selamat.

Di depan kami masih ada satu tempat bahaya iaitu melalui kawasan pos kawalan musuh. Pos-pos pengawal musuh hanya berjarak 5 minit (berjalan kaki) saja dengan jalan yang kami lalui. Kerana jarak kami dengan pos pengawal musuh dekat, maka kawan-kawan telah diberitahu supaya patuh pada beberapa peraturan seperti tidak boleh bercakap, tidak boleh memasang api, tidak boleh merokok dan sebagainya.

Kami mulai bergerak melalui pos kawalan musuh pukul 9 malam. Kebetulan masa itu baru lepas hujan, gelap pekat. Selang beberapa langkah saja sudah tak nampak. Untuk mengelakkan daripada tersesat, kawan-kawan mengikat tali antara satu sama lain bersambungan. Kami berjalan perlahan-lahan melalui kawasan kawalan musuh. Ketika lampu musuh menyuluh ke arah kami, semua kawan meniarap rapat-rapat di tanah. Apabila lampu suluh musuh memusing ke arah lain, barulah kawan-kawan berjalan semula. Begitulah berulang-ulang kali. Kerana jarak kami dengan musuh sangat dekat, ada kawan merasa pertempuran tak dapat dielakkan lagi. Akan tetapi kerana kawan-kawan bersemangat tinggi dan ketat mematuhi peraturan, pada pukul 3 pagi kami berjaya melalui kawasan bahaya ini dengan selamat. Saya memerintahkan pasukan berehat sebentar menanti hari cerah untuk meneruskan perjalanan. Sebelah pagi, awal-awal lagi kami meneruskan perjalanan. Bila diperiksa, Nusi masih tertidur, tak sedar pasukan sudah mulai berjalan. Kami mengharungi kebun pisang yang luas dan tiba di pasukan Markas Besar Rejimen Ke-11 waktu tengah hari.

Kawan-kawan di Rejimen Ke-11 merasa kagum dengan kecekapan Pasukan Hang Jebat melalui jalan bahaya itu dengan selamat. Mereka memberitahu, mereka tak pernah melalui jalan itu dalam jumlah yang ramai begini. Biasanya hanya regu kecil saja yang menggunakan jalan itu.

Musa Ahmad dan beberapa kawan Melayu bersamanya juga datang menyambut kedatangan kami. Mereka bergabung dengan Pasukan Hang Jebat untuk sama-sama meneruskan perjalanan ke utara.

- bersambung -
---
Kepada pembaca yang ingin penjelasan lebih lanjut, sila emel ke matamin48@live.com atau tinggalkan pesanan di ruangan ulasan.

1 ulasan:

ada sambung cerita ini??? saya cukup berminat

Reply

Categories

Pengikut