LONGMACH REJIMEN KE-10: SERANGAN UDARA TERBESAR DI ULU KINTA

Pada 8 Julai 1954, penjajah British melancarkan serangan udara secara besar-besaran ke atas Rejimen Ke-10 di Ulu Kinta. Serangan ini diarahkan secara langsung oleh Gen. Bonn, Panglima Gerakan British di Malaya dari udara dan adalah serangan udara terbesar dalam sejarah Perang Pembebasan Nasional Anti-British. Penjajah British yang mendapat maklumat terperinci daripada pengakuan penyerahan diri Sulaiman Songsang telah merangka satu rancangan kempen kepung basmi besar-besaran ke atas Markas Besar Rejimen Ke-10 di Ulu Kinta.

Pada pagi 8 Julai, kapal-kapal terbang penjajah mengaung-ngaung di udara perkhemahan kami menggugurkan bom tepat di gua batu tempat saya melakukan penyelidikan ke atas Orang Asli. Bunyi bom dan meriam musuh menggegarkan bumi diikuti dengan asap hitam yang berkepul-kepul ke udara. Saya tidak mengetahui bom jenis apa yang digunakan, tapi beberapa tempat yang kami jumpa, dari tempat ledakan bom itu keluar mata air.

Serangan udara itu disiarkan secara menyeluruh oleh media massa pihak penjajah. Mengikut pengumuman yang dibuat oleh penjajah 55 buah kapal terbang pengebom datang menggugurkan bom dan berulang alik mengangkut bom dan peluru sebanyak 22 kali sehari suntuk.

Selepas pengeboman, penjajah British menurunkan askar payung terjun untuk melakukan serangan ke atas kami. Di kawasan tersebut penuh dengan askar penjajah.

Penjajah British membesar-besarkan serangan itu di radio dan mengumumkan bahawa Rejimen Ke-10 telah dihancurkan. Chen Ping memberitahu dia mengetahui serangan itu dari radio. Masa itu, beliau juga merasa khuatir akan keselamatan Rejimen Ke-10.

Walaupun serangan udara besar-besaran itu tepat mengenai sasaran di gua batu tempat saya tinggal bersama Orang Asli, tetapi saya telah berpindah tak jauh dari situ. Dari tempat kami berkhemah, boleh nampak jelas kapal terbang lalu lalang, menggugurkan bom, menembak mesingan, menggugurkan askar payung terjun dan menggugurkan bahan perbekalan untuk askarnya.

Melihat keadaan musuh ini, saya memastikan bahawa musuh selain mengebom juga menghantar pasukan infantrinya melakukan penggeledahan di dalam hutan. Kerana itu saya putuskan supaya pasukan tinggalkan kawasan itu segera, biar penjajah tidak menemui apa-apa. Dengan itu, saya mengarahkan pasukan secepat kilat berpindah ke Ulu Kelantan.

Apabila kami tiba di Ulu Kelantan, kami berjaya menghubungi Orang Asli. Di situ ladang Orang Asli bertaburan. Orang Asli ini melarikan diri dari kurungan penjajah dan membangun ladang baru. Oleh itu kami masih mendapat bahan makanan sumbangan massa Orang Asli.

Walau bagaimanapun hubungan kami dengan pihak organisasi terputus sama sekali. Kerana hubungan sudah terputus, maka saya merasa Pasukan Hang Jebat harus meneruskan perjalanan ke kawasan sempadan secara berdikari.

bersambung
---
dipetik dari: Memoir Abdullah C.D (II)- Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10

artikel terkait:




3 ulasan

Tanpa Nama mod

Pak Mat Amin....Berapa Ramaikah Pembelot Daripada Reg Ke 10 dan apa Kesan Pembelotan Mereka ?

SemanTan
Marc 2010

Reply

Tidak ada banci kokrit tentang pembelot, tetapi dalam jumlah kecil sahaja.

Ada dua sebab pembelotan berlaku:
1) Goyang pendirian kerana tak tahan menderita susah payah. Tidak dapat dibayangkan betapa besar pengorbanan peribadi setiap orang yang mengikuti perjuangan. Justeru itu sejumlah kecil mereka gugah pendirian. Sebetulnya mereka yang termasuk golongan ini tidak berniat mengkhianati perjuangan. Akan tetapi, apabila mereka keluar ke pangkuan keluarga, pihak kerajaan telah memaksa mereka membuat berbagai pengakuan.
2) Mereka yang dihantar oleh intelijen menjadi mata telinga musuh di dalam pasukan. Kebanyakan dari mereka ini tertipu oleh hadiah lumayan yang ditawarkan. Ada sebahagian orang yang menerima tugas intelijen tak sampai hati melakukan kerosakan ke atas pasukan setelah melihat sendiri keadaan kehidupan di dalam pasukan yang bagaikan adik beradik, baik pemimpin tertinggi mahupun perajurit biasa. Mereka kemudian telah membuat laporan kepada pasukan dan pihak pasukan tidak mengenakan apa-apa tindakan disiplin ke atas mereka. Mereka ini menjadi perajurit yang baik akhirnya.

Akibat yang ditimbulkan oleh pengkhianat memang amat besar. Seperti contoh dalam posting ini, akibat dari pembelotan Sulaiman musuh melancarkan pemboman dari udara secara besar-besaran. Tak dapat dibayangkan betapa dahsyatnya keadaan itu.
Berdasarkan pengalaman perang gerila dalam jangka panjang, kami ada cara tersendiri menghadapi masalah ini. Sekurang-kurangnya ambil langkah awal mengelakkan serangan musuh dengan menghindar dari kawasan yang telah diketahui oleh pengkhianat.
Pembelotan juga berlaku ke atas organisasi bawah tanah sehingga pimpinan pun tertangkap. Sejumlah anggota bawah tanah juga pernah menjalani hukuman gantung oleh kerajaan Malaysia.

Semoga jawapan saya memuaskan Saudara SemanTan

Reply
Tanpa Nama mod

Terima Kasih Pak Mat Amin

SemanTan 03/2010

Reply

Categories

Pengikut